







|
|
Perempuan,
Akal Setipis Rambutnya
Jangankan
lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka, hati,
fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walaupun sudah ada
segala-galanya. Apa lagi yang tidak ada di syurga, namun Nabi Adam a.s
tetap rindukan Siti Hawa.
Kepada wanitalah
lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang
rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki. Tetapi kalau lelaki
sendiri yang tak lurus, tak mungkin mampu nak meluruskan mereka. Tak
logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus.
Luruskanlah
wanita dengan cara yang ditunjuk Allah, kerana mereka dicipta sebegitu
rupa oleh Allah. Didiklah mereka dengan panduan dari-Nya. Jangan cuba
jinakkan mereka dengan harta, nanti mereka semakin liar. Jangan hiburkan
mereka dengan kecantikan, nanti mereka semakin menderita. Yang sementara
itu tidak akan menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada zat Allah
yang kekal, disitulah suisnya.
Akal setipis
rambutnya, tebalkan dengan ilmu. Hati serapuh kaca, kuatkan dengan iman.
Perasaan selembut sutera, hiasilah dengan akhlak. Suburkanlah kerana
dari situlah nanti mereka akan nampak nilaian dan keadilan Tuhan. Akan
terhibur dan bahagialah hati mereka, walaupun tidak jadi ratu cantik
dunia, presiden ataupun perdana menteri negara atau 'women gladiator'.
Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan. Itu
bukan diskriminasi Tuhan. Sebaliknya disitulah kasih sayang Tuhan,
kerana rahim wanita yang lembut itulah yang mengandungkan lelaki-lelaki
waja : negarawan, karyawan, jutawan dan "wan-wan" yang lain.
Tidak akan lahir 'superman' tanpa 'superwoman'.
Wanita yang lupa
hakikat kejadiannya, pasti tidak terhibur dan tidak menghiburkan. Tanpa
ilmu, iman dan akhlak, mereka bukan sahaja tidak boleh diluruskan,
bahkan mereka pula membengkokkan.
Lebih ramai
lelaki yang dirosakkan oleh perempuan daripada perempuan yang dirosakkan
oleh lelaki. Sebodoh-bodoh perempuan pun boleh menundukkan
sepandai-pandai lelaki. Itulah akibatnya apabila wanita tidak kenal
Tuhan. Mereka tidak akan kenal diri mereka sendiri, apalagi mengenal
lelaki. Kini bukan saja ramai boss telah kehilangan 'secretary', bahkan
anak pun akan kehilangan ibu, suami kehilangan isteri dan bapa akan
kehilangan puteri.
Bila wanita
derhaka dunia lelaki akan huru-hara . Bila tulang rusuk patah, maka
rosaklah jantung, hati dan limpa. Para lelaki pula jangan hanya
mengharap ketaatan tetapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin
wanita menuju Allah pimpinlah diri sendiri dahulu kepada-Nya.
Jinakkan diri
dengan Allah, nescaya akan jinaklah segala-galanya dibawah pimpinan kita.
Jangan mengharap isteri seperti Siti Fatimah, kalau peribadi belum lagi
seperti Sayidin Ali.
|
|




|