Nukilan Kreatif

Cerita "Lucah"

Ah Seng berbangsa Cina tetapi telah lama menetap di Terengganu. Di kalangan rakan-rakan Melayu dia dikenali dengan nama Hashim. Pada malam minggu biasanya mereka berkumpul di warung sambil menonton video gusti.

Hari itu hujan lebat dan Ah Seng datang agak lewat. Dia berlari terbongkok-bongkok sambil memeluk beg plastik. Sampai sahaja di warung, tanpa berlengah si Ah Seng mengeluarkan video tape dari beg plastiknya sambil berkata, "Geng! Hujang-hujang (hujan-hujan) ni tengok cerite ni le best!" Sambil menunjukkan tape berwarna biru.

"Best wooo! Lucoh ohh!" tambahnya lagi. Memandangkan warung tersebut agak terlindung dan tuan warung pun kawan-kawan mereka juga, semua bersepakat untuk menonton filem lucah yang dibawa Ah Seng.

Ah Seng duduk di depan sekali. Cerita pun bermula. Kelihatan sebuah lorong gelap dengan jalan berbata. Tiba-tiba muncul lampu spotlight menerangi sebahagian jalan seperti UFO hendak mendarat. Ah Seng menekup mulutnya, mungkin malu untuk melihat adegan seterusnya.

Seterusnya, sekujur tubuh dengan pantas jatuh ke ruang yang diterangi lampu tersebut. Ah Seng ketawa terbahak-bahak seperti orang gila. Rupanya sekujur tubuh dalam filem tadi ialah Mr. Bean.

Ah Seng, tanpa menoleh ke belakang memberitahu rakan-rakannya yang sedang meninggalkan warung perlahan-lahan, "Geng! Ini Misteb Bing aahh, manyak lucu ohh! Lucuu ohh!" sambil ketawa berseorangan. Itulah, lain kali cakap biar terang!