Air Mani & Tahap Kesuburan Lelaki

Apabila disebut tentang air mani, secara tidak langsung ia dikaitkan dengan kaum lelaki. Air mani ialah sejenis cecair yang terhasil apabila seseorang lelaki itu terangsang syahwatnya ataupun apabila mereka mencecah tahap klimaks dalam sesuatu hubungan seksual.

Untuk pengetahuan anda juga, air mani merupakan kombinasi sperma dan cecair hasilan pundi prostat ataupun pundi “seminale”. Selain itu, air mani juga ada mengandungi cecair hasilan pundi kencing yang cair. Cecair jernih ini dikenali sebagai air mazi yang juga terhasil apabila seseorang itu terangsang. Akan tetapi ianya berlainan daripada air mani kerana air mani hanya keluar apabila seseorang lelaki itu sampai kemuncak dalam suatu hubungan seks manakala air mazi pula terhasil apabila seseorang itu berada dalam keadaan seronok ataupun khayal.

Keadaan ini tidak hanya terjadi kepada kaum lelaki sahaja, malahan wanita turut mengeluarkan air mazi apabila mereka terangsang. Biasanya bagi wanita, air mazi yang terhasil boleh dibahagikan kepada dua, yang pertamanya ialah cecair yang keluar dari faraj. Cecair ini berfungsi untuk melembapkan persekitaran faraj lalu memudahkan proses persetubuhan.

Keduanya pula ialah air mazi yang keluar di pembukaan faraj hasil daripada rangsangan pada pundi “bartholin”. Selain itu, wanita juga berpotensi untuk memancutkan air mazi bila mencapai klimaks. Cecair kekuning-kuningan itu berbau seakan-akan air kencing yang kadangkala tidak disukai oleh wanita. Namun, keadaan seperti ini tidak selalu berlaku dan bukan semua wanita berpeluang merasainya.

Bila bercakap tentang kesuburan seseorang lelaki itu pula, ia tertumpu kepada keadaan spermanya. Oleh itu, untuk memastikan seseorang lelaki itu subur atau tidak, perlulah dibuat kajian air maninya dahulu. Ini bertujuan untuk melihat bilangan sperma yang aktif dan berkualiti.

Bagi seorang lelaki yang normal, ia mempunyai bilangan sperma sebanyak 20 juta/cc air maninya. Daripada jumlah itu, 50 peratus mestilah aktif dan 40 peratus daripada sperma tersebut adalah dalam bentuk yang normal. Jika seseorang itu gagal mencapai seperti yang ditetapkan kebarangkalian besarnya, mereka kurang subur.