Nukilan Kreatif

Melayu Takkan Lupa 2

Belum pernah tercatat dalam sejarah 
suatu bangsa dihina dicemari demikian hebat 
mulia peribadinya dilumuri najis jijik busuk 
seluruh institusi kerajaannya dicengkam 
pemikiran bangsa diperbudak diperbodohkan 
diasak dengan kata-kata dan imaginasi lucah.
Belum pernah dalam sejarah 
pemimpin sendiri lumuri najis di muka bangsa 
pemimpin sendiri menelanjangi maruah bangsa 
yang warak dijijak yang sundal disanjung 
belum pernah dalam sejarah, kecuali 
sejarah Melayu akhir abad 20 

mereka fitnah dia mereka pukul dia mereka 
fitnah dia mereka kurung dia mereka fitnah 
dia mereka bohongi rakyat - mereka fikir 
Melayu yang dimaterialistikkan jiwanya 
akan terima fitnah mereka dan melupakan 
peribadi mulia yang dizalimi itu - kerana 
mereka fikir Melayu mudah lupa 
dan dia itu pun mengharapkan 
Melayu lupakan dosanya 
kerana ingat dia Melayu itu mudah lupa 
dan dia pun terus menghina Melayu 
menghina datuk nenek Melayu dengan berkata 
"dulu bangsanya haprak - dulu bangsanya hina 
- tiada daulat, tiada maruah, tiada bebas" 

apa begitu sekalikah hinanya bangsa Melayu? 
apa baru beberapa tahun ini sajakah 
Melayu menjadi bangsa yang berdaulat? 
dan dia masih mengharapkan Melayu lupa 
kebiadabannya menghina Rasul menghina Islam
menzalimi Anwar menyanjung sundal memper- 
bodoh bangsa dan cuba memperhamba dan 
menjadikan Melayu khadam dia 

Wahai Melayuku 
Apakah Melayu akan melupakan 
orang jahat yang memfitnah Anwar? 
Apakah Melayu akan melupakan 
Attartukis yang memfitnah PAS? 
Apakah Melayu mudah lupa? 
Apakah Melayu akan melupakan Anwar? 

Melayu takkan lupa 
pembangkit kesedaran ummat itu 
penjulang keadilan yang merelakan 
dirinya dikurung bertahun itu 
Melayu takkan lupa!