.
Ilmu umpama air yang mengalir, tadahlah dengan hati yang ikhlas |
| -PENAFIAN-
PANDANGAN
DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN SIKAP PENGENDALI
WEB.
Paparan
terbaik menggunakan Internet explorer 4.0 dan ke atas dengan
resolusi
1024 X 768 px
Tiada Hakcipta Terpelihara
.Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat
didalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai.
© PeNdiDik Pendidikmy@yahoo.com
|
|

Bil. 07/2005
50 000 guru
dikecuali hadiri Kursus Kenegaraan
[Berita
Harian]
Oleh
Syuhada Choo Abdullah
HAMPIR
50,000 guru seluruh negara layak mendapat pengecualian
mengikuti Kursus Kenegaraan di bawah Penilaian
Tahap Kecekapan (PTK) untuk dipertimbangkan anjakan
gaji dan kenaikan pangkat, berkuat kuasa 1 Januari
lalu.
Jumlah itu anggaran Kesatuan Perkhidmatan Perguruan
Kebangsaan (KPPK) berdasarkan surat pekeliling
terbaru Jabatan Perkhidmatan Awam mengenai kelonggaran
syarat mengikuti kursus berkenaan.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Jamaluddin
Ahmad Damanhuri, berkata selaras usaha pemantapan
PTK, kerajaan bersetuju syarat lulus Tahap Kecekapan
(TK) 1, Kursus Kenegaraan perlu dihadiri dua kategori
pegawai.
Pertama katanya, pegawai lantikan pertama dalam
perkhidmatan awam belum disahkan perkhidmatan,
manakala kedua, yang sudah disahkan tetapi tempoh
perkhidmatan kurang tiga tahun pada 1 Januari
lalu dan belum mengikuti Kursus Kenegaraan.
Bagi pegawai lantikan pertama belum disahkan perkhidmatan,
beliau berkata, mereka perlu mengikuti Modul Kenegaraan
dalam Kursus Induksi Umum atau Kursus Praperkhidmatan
atau yang seumpamanya.
“Pegawai sudah disahkan dalam perkhidmatan (seperti
dinyatakan) tetapi belum menghadiri Kursus Kenegaraan,
perlu mengikuti kursus itu yang dikendalikan Biro
Tatanegara (BTN) seperti kandungan Surat Pekeliling
Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2003.
“Jabatan ini sedang menghalusi proses pelaksanaan
Modul Kenegaraan dalam Kursus Induksi Umum atau
Kursus Praperkhidmatan atau yang seumpamanya.
Pekeliling mengenainya akan dikeluarkan secara
berasingan.
“Ketua jabatan diminta mengambil maklum mengenai
pemantapan PTK berkaitan Kursus Kenegaraan ini
dan membuat tindakan sewajarnya dalam memastikan
pegawai dapat mengikutinya,” katanya dalam surat
pekeliling bertajuk `Pelaksanaan Pemantapan PTK
Mengenai Kursus Kenegaraan’ bertarikh 17 Januari
lalu itu.
Sebelum ini, guru perlu lulus PTK dan Kursus Kenegaraan
untuk layak dipertimbangkan anjakan gaji serta
kenaikan pangkat di bawah Sistem Saraan Malaysia.
Sementara itu, Setiausaha Agung KPPK, Lok Yim
Pheng, menyifatkan kelonggaran syarat itu sebagai
langkah mengurangkan masalah ramai guru meninggalkan
sekolah untuk mengikuti Kursus Kenegaraan yang
diadakan.
Sambil menjelaskan KPPK pernah mengemukakan pandangan
mengenai kursus yang dianggap tidak praktikal
kerana guru terpaksa meninggalkan kelas, katanya,
berdasarkan syarat baru, hanya segelintir guru
terbabit.
“Ini berita baik kerana dapat mengurangkan tekanan
guru yang banyak komitmen di sekolah, sekali gus
memberi mereka lebih banyak masa dengan pelajar,”
katanya kepada Berita Harian, semalam.
Mengenai langkah BTN memanggil guru mengikuti
Kursus Kenegaraan ketika sesi persekolahan yang
boleh menjejaskan proses pembelajaran pula, beliau
berkata, pihaknya mengadakan perbincangan dengan
BTN, hari ini.
“KPPK berterima kasih kepada BTN dan berharap
setelah perbincangan ini, masalah teknikal berkaitan
dapat diperbetul dan diselesaikan.
“Antara harapan kesatuan ialah BTN memaklumkan
guru terbabit dengan kursus, dua atau tiga minggu
lebih awal. Ini bagi membolehkan mereka membuat
persiapan sebelum meninggalkan sekolah.
“Selain itu, proses dan prosedur memanggil serta
mendaftar peserta diharap tidak mengambil masa
terlalu lama. Ketika ini, ada guru yang terpaksa
menunggu sehingga setahun. Ini akan melewatkan
anjakan gaji dan kenaikan pangkat mereka,” katanya.
Berita Harian difahamkan, Kementerian Pelajaran
juga memaklumi kesulitan guru terbabit, terutama
terpaksa meninggalkan sekolah dan berhasrat membincangkan
perkara itu dengan BTN.
|
|