KANGAR
1 Feb. - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan
(NUTP) menggesa kerajaan mewujudkan satu undang-undang
khas bagi melindungi guru yang kini terdedah kepada
tindakan saman berikutan masalah disiplin pelajar.
Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng berkata,
satu kertas cadangan akan dikemukakan kepada
kerajaan tidak lama lagi bagi memastikan kepentingan
guru dilindungi daripada dakwaan perundangan
khususnya daripada ibu bapa pelajar yang tidak
berpuas hati terhadap tindakan sekolah menyelesaikan
masalah disiplin.
Beliau berkata, cadangan itu dibuat setelah
terdapat segelintir ibu bapa yang bertindak
menyaman guru kerana menghukum anak-anak mereka
yang nakal di sekolah.
``Tiada peraturan khusus dalam udang-undang
bagi melindungi guru dan ada di antaranya mengalami
tekanan akibat keadaan itu dan untuk itu, NUTP
bercadang kerajaan dapat mewujudkan satu peraturan
khas bagi membela guru,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas
menghadiri seminar khas anjuran NUTP Perlis
berhubung masalah disiplin para pelajar di negeri
ini, baru-baru ini.
Dalam satu kejadian awal bulan lalu, seorang
ibu membuat laporan polis berikutan anaknya
yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan
Kepala Batas di Alor Star, Kedah mendakwa dirotan
18 kali oleh gurunya sehingga menyebabkan punggungnya
cedera.Pelajar tingkatan dua terbabit mendakwa
dirotan kerana gagal menyiapkan sembilan daripada
10 karangan Bahasa Melayu yang diberikan guru
berkenaan.
Yim Pheng berkata, ketika ini guru yang menghadapi
tindakan undang-undang daripada ibu bapa diberi
khidmat kaunseling bagi memastikan mutu perkhidmatan
mereka tidak terjejas.
``Golongan guru juga harus
dilindungi supaya mereka tidak dibebankan dengan
dakwaan-dakwaan yang menyulitkan masa depan
mereka,'' katanya.