Saudara Pengarang,
SEBAGAI seorang bekas kakitangan jabatan kerajaan,
saya turut tersentuh apabila Perdana Menteri
menegur tentang sikap, tahap disiplin serta
prestasi kakitangan awam masa kini.
Sememangnya diakui apa
yang dibangkitkan beliau ada kebenarannya, namun
begitu persepsi umum masyarakat berhubung isu
ini perlu diperbetulkan.
Tidak dinafikan terdapatnya
segelintir kakitangan awam yang menjadikan kerja
harian mereka sebagai separuh masa, manakala
urusan peribadi seperti perniagaan jualan langsung
sebagai sepenuh masa.
Ada yang melayan orang
awam seperti `bola' dan ramai juga yang menghabiskan
waktu pejabat di rumah atau di tempat-tempat
yang tidak berkaitan. Tidak ketinggalan ada
juga yang tidak tahu hendak buat apa-apa dan
banyak menghabiskan masa di kedai-kedai kopi
membincangkan hal dunia seolah-olah mereka tahu
segala-galanya.
Kakitangan sebegini sebenarnya
`duri dalam daging' yang mencemari imej dan
profesion kakitangan awam.
Pelbagai slogan dan kempen
yang diperkenalkan kerajaan tidak akan berkesan
selagi mana golongan ini terus dibiarkan berselindung
di sebalik tabir perkhidmatan awam.
Di mana salah dan silapnya
sehingga kini ia tidak dapat diatasi?
Pada pandangan saya, penyebab
utama ialah kelemahan dari sudut pengurusan.
Sebahagian ketua jabatan dilihat tidak komited
atau tidak faham terhadap tugas dan tanggungjawab
mereka.
Pengalaman saya setelah
lebih 30 tahun sebagai kakitangan awam, mendapati
kebanyakan ketua jabatan lebih mementingkan
`glamour' dan kenaikan pangkat mereka.
Sebab itulah masalah-masalah
di peringkat dalaman akan dipendamkan dan hanya
yang baik-baik sahaja akan ditonjolkan bagi
menyerlahkan kredibiliti mereka.
Lebih malang lagi terdapat
juga ketua jabatan yang mempunyai ego tinggi
serta memandang rendah terhadap kakitangan bawahan.
Mereka yang kreatif dan
proaktif akan dibekukan kerana dianggap boleh
menimbulkan ancaman manakala yang pandai `ampu'
dan `bodek' akan diberi perhatian lebih.
Suasana sebegini akhirnya
mewujudkan suasana bekerja yang tidak harmoni
dan berterusan kepada kerenah-kerenah birokrasi
yang tidak sepatutnya wujud.
Saya berpendapat sudah
sampai masanya kerajaan mewujudkan mekanisme
tertentu bagi menilai prestasi serta keberkesanan
ketua-ketua jabatan dari semasa ke semasa.
Penilaian di peringkat
dalaman tidak akan berkesan kerana wujudnya
`pertalian mesra' atau `hubungan baik' sesama
mereka.
Perlu adanya penglibatan
pelbagai pihak termasuk orang awam atau pelanggan
agar penilaian lebih telus dan nyata.
Ketua-ketua jabatan yang
gagal berfungsi dengan baik perlu diberi peringatan
bahawa rakyat berhak untuk mendapatkan perkhidmatan
terbaik atau yang sewajarnya.
Oleh kerana mereka dibayar
gaji bulanan yang lumayan, adalah menjadi satu
kewajipan mereka untuk membalasnya secara bijaksana
kepada rakyat, kerajaan dan negara. - ORANG
LAMA, Alor Star, Kedah.