Bahasa Jiwa
Bangsa
Petikan Hikayat Abdullah :
``Bermula adalah sebesar-besar hairan dalam hatiku sebab
melihatkan adat orang-orang kita Melayu itu, yang tiada
diperbuat oleh bangsa yang lain-lain dalam dunia ini
diperbuatnya!
``Adakah
segala manusia dalam dunia ini membuangkan bahasanya sendiri,
tiada bertempat belajar bahasanya itu, melainkan yang kulihat
orang Melayulah yang tiada mengendahkan...
``Bermula
adalah yang kudengar beberapa bangsa di dalam dunia ini menjadi
besar dan pandai sebab mereka itu pandai membaca surat dan
menyurat dan mengerti bahasanya serta memeliharakan bahasanya,
iaitu daripada bangsa Arab atau bangsa orang putih, baik
daripada Cina atau Hindu, maka sekelian mereka sentiasa
memeliharakan dan memuliakan bahasanya.
``Maka
makin sehari makinlah diluaskannya dan ditambahinya dan
dibaikinya dan dihaluskannya sampailah zaman ini, kerana
sesungguhnya bahasa itulah menjadikan manusia itu berakal dan
menambah kepandaian dan ilmunya dan boleh menjalankan segala
pekerjaannya dan boleh membaiki akan dirinya sendiri dan boleh
pula mengajar akan orang lain.
``Maka
dengan dia itulah sahaja dijadikan Allah yang dapat mengeluarkan
barang suatu rahsia dalam hati manusia.
``Syahadan
dapat tiada kalau ada suatu bangsa yang besar itu maka bahasanya
pun besarlah, kerana sekelian perkara yang ada dalam dunia dan
akhirat itu semuanya terbit daripadanyalah, menjalankan
pekerjaan dan memberi nama tiap-tiap suatu itu dengan bahasa dan
mencari kehidupan itu pun dengan bahasa dan mendatangkan
beberapa kekayaan dan kemuliaan.
``Kebesaran
bagi manusia itu pun daripada bahasa datangnya.
``Maka
bahasa itulah yang besar gunanya bagi manusia ini dunia akhirat.
Maka patutkah iaitu tiada engkau endahkan.''
|