Saudara Pengarang,
SAYA ingin menarik perhatian Kementerian Pelajaran
berkaitan dengan program pemulihan khas di sekolah.
Program ini telah lama
dijalankan dan mengguna pelbagai nama. Namun
pelaksanaannya kurang diberi perhatian.
Tidak seperti program
lain seperti Pendidikan Khas, Bahasa Inggeris
untuk Pengajaran Sains dan Matematik (ETeMS)
serta lainnya yang mendapat perhatian dan peruntukan
besar daripada kementerian.
Buat masa ini dianggarkan
beribu orang murid yang sangat memerlukan pemulihan
khas.
Ini berdasarkan kepada
purata setiap sekolah terdapat 10 orang murid
pemulihan dan jumlah sekolah rendah di seluruh
negara pula lebih daripada seribu buah.
Masalah ini akan berterusan
ke sekolah menengah yang mana wujud kumpulan
murid yang masih tidak tahu membaca, menulis
dan mengira.
Walau bagaimanapun mereka
ini agak dipinggirkan untuk mendapat kemudahan
pembelajaran yang lebih baik.
Jika kementerian boleh
memperuntukkan jumlah kewangan yang besar untuk
Pendidikan Khas serta ETeMS mengapa murid pemulihan
khas tiada peruntukan khusus. Mengapakah mereka
disisihkan?
Terdapat juga sekolah
yang tidak menyediakan kelas serta guru pemulihan
khas. Malah jika wujud pun, kelengkapan serta
keperluannya pula kurang.
Hanya beberapa buah sekolah
sahaja yang mempunyai kemudahan bilik pemulihan
khas yang lengkap kerana disokong oleh pentadbiran
sekolah yang baik serta kewangan Persatuan Ibu
Bapa dan Guru (PIBG) yang kukuh.
Bukan itu sahaja, guru
program pemulihan khas sendiri terabai. Mereka
tidak mendapat apa-apa imbuhan seperti rakan
yang mengajar ETeMS ataupun Pendidikan Khas.
Malah sering kali diabaikan
oleh guru besar dalam penilaian prestasi tahunan
sedangkan duit gaji seringkali dilabur untuk
kelas tersebut.
Untuk meningkatkan taraf
akademik guru-guru pemulihan khas, kementerian
juga perlulah mewujudkan Program Khas Pensiswazahan
Guru (PKPG) secara Pengajian Jarak Jauh (PJJ)
supaya murid pemulihan ini tidak terabai.
Buat masa ini, peluang
untuk guru-guru pemulihan menyambung belajar
juga agak terbatas kerana tempat yang terhad.
Semoga apa yang diutarakan
ini mendapat perhatian sewajarnya oleh semua
pihak yang terlibat dalam bidang pendidikan.
- GPK, Kuantan, Pahang.