Akhlak,
amanah mengisi jati diri jiwa merdeka
(Petikan dari
web Zakat MAIWP)
Oleh Prof Dr Sidek Baba
JIWA merdeka
adalah matlamat hidup seorang insan. Berjiwa merdeka bukan bermakna
seseorang manusia itu boleh lepas bebas melakukan apa saja tanpa
batasan.
Berjiwa merdeka
ialah keupayaan mengatasi belenggu diri yang bercanggah dengan
fitrah manusia.
Allah turunkan
al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan bagi yang bertakwa
kepada-Nya.
Maksud petunjuk
ialah manusia tidak boleh memahami segala-gala dalam hidup tanpa
petunjuk daripada Allah.
Memahami makna
diri, kehidupan, hubungan kehidupan dan persekitaran memerlukan
bantuan Allah. Tanpa bantuan Allah, tidak mungkin manusia mempunyai
kemampuan secara ilmu mengenai penciptaan-Nya.
Hanya dengan
petunjuk Allah, manusia mampu memahami erti kemerdekaan dalam
erti kata sebenar. Sebab itu, konsep hamba dan khalifah memberikan
asas taklif atau tanggungjawab.
Melaksanakan
taklif memerlukan pedoman dan petunjuk. Dalam al-Quran Allah
memberikan batasan mengenai halal haram, dosa pahala dan baik
buruk sesuatu perkara.
Sekiranya pedoman
ini menjadi amalan, jiwa merdeka akan sentiasa subur dengan
fitrah insani.
Rasulullah membebaskan
manusia jahiliah di Makkah supaya kembali kepada fitrah diri
iaitu kepercayaan kepada tauhid. Jahiliah Makkah dibelenggu
fahaman kekabilahan dan keberhalaan yang menyebabkan mereka
hilang pertimbangan keinsanan dan timbul amalan kenafsian yang
menyebabkan permusuhan dan kejahilan terus berlaku.
Kembalinya mereka
kepada agama fitrah, memberikan makna merdeka dalam erti kata
yang cukup bermakna.
Watak seperti
Bilal Ibn Rabbah adalah gambaran manusia yang memiliki jiwa
merdeka yang amat kental. Apabila diseksa kerana memilih jiwa
merdeka, semangatnya tidak pernah patah dan lafaz "Ahad!
Ahad! Ahad!" menjadi kekuatan baru dirinya untuk bertahan.
Cerminan peribadi
merdeka ini jugalah yang menambat hati Najasi untuk kembali
kepada fitrah.
Dalam konteks
bina negara, jiwa merdeka amat dituntut. Dengan jiwa merdeka,
kita kembali kepada diri dan kembali kepada harga diri. Apabila
Melaka menerima Islam, asas kemajuan dan perubahan berlaku dengan
baik sekali.
Dalam kepemimpinan
Tun Perak umpamanya, Melaka terserlah dalam hubungan dagang,
perkembangan ilmu dan pendidikan serta perkembangan Islam dan
kestabilan kepemimpinan.
Jiwa merdeka
yang ada pada Tun Perak ialah menjadikan amanah dan keadilan
sebagai asas kepemimpinan bagi mempertahankan jiwa merdeka.
Kejatuhan Melaka selepas Tun Perak akibat daripada jiwa umara'
yang sudah dibelenggu amalan nafsu-nafsi dan kebendaan diletakkan
sebagai matlamat, bukannya alat.
Kisah peminangan
Puteri Gunung Ledang adalah gambaran sinis penulis silam terhadap
jiwa dan peribadi yang terbelenggu yang menyebabkan kemusnahan
sebuah peradaban dan dijajah sehingga ratusan tahun.
Kemerdekaan yang
kita terima adalah rahmah yang amat besar. Ia menuntut dukungan
tinggi dan keinsafan mendalam bahawa penjajahan boleh datang
lagi serta menguasai minda dan budaya kita dalam bentuk berbeza.
Oleh itu, mengekalkan
jiwa merdeka memerlukan pembangunan diri dan sistem dengan kualiti
ilmu dan ketrampilan yang mendukung nilai agama yang bersifat
tamadun, nilai bersama yang tidak bercanggah dengan fitrah dan
nilai sejagat yang selari dengan proses 'litaarrafu' atau kekenalan.
Tanpa nilai kukuh
ini, tidak mungkin kita mampu bertahan dengan penerobosan pengaruh
sistem maklumat dan komunikasi yang amat agresif, pengaruh media
cetak dan elektronik yang membentuk minda kita dan pengaruh
konsumerisme-hedonistik yang menebalkan jiwa kebendaan.
Jiwa merdeka
harus memiliki jati diri dan jiwa pelopor yang memungkinkan
tidak saja kita sebagai umat pengguna, malah umat penyumbang.
Jiwa merdeka
mempersiapkan diri kita dengan kekuatan jati diri yang berasaskan
akhlak dan amanah. Kekuatan akhlak yang bertunjangkan 'karamah
insan' iaitu takwa dan amanah kepemimpinan serta kepengikutan
adalah teras utama kestabilan dan kemajuan sesebuah negara.
Bangsa dan tamadun
yang mempunyai jiwa pelopor tinggi mampu bertahan menghadapi
cabaran dalam lingkungan mahupun cabaran dari luar lingkungan.
Malaysia sebagai
sebuah negara merdeka tidak dapat mengelak dirinya daripada
mempunyai warga yang mesti berjiwa merdeka. Hanya jiwa yang
merdeka mempunyai kejelasan arah tuju perjuangan.
Maksud Wawasan
2020 umpamanya meletakkan keseimbangan tasawwur iaitu melihat
hala tuju perjuangan dengan pandangan yang tepat dan pembabitan
yang seimbang.
Konsep 20 di
mata kanan dan 20 di mata kiri pada pandangan doktor mata ialah
suatu penglihatan yang tepat dan sempurna. Sekiranya keseimbangan
visi 2020 dijadikan sandaran membina jiwa merdeka, kita boleh
menterjemahkan bahawa tidak akan wujud jiwa merdeka sekiranya
faktor duniawi menjadi lebih utama dan menafikan kepentingan
faktor ukhrawi.
Lebih tidak seimbang
sekiranya dalam membangunkan kekuatan fizikal, kita melupakan
kepentingan rohaniah. Dan lebih pincang lagi dalam memanfaatkan
faktor menyumbang dari Barat, kita melupakan faktor yang patut
digilap, tradisi dan tamadun kita sendiri.
Jiwa merdeka
harus mampu merintis jalan ke arah membangun negara berasaskan
acuan kita sendiri.
Jihad ilmu dan
pendidikan sewajarnya menjadi perkara pokok dalam pembinaan
sistem pendidikan dan pembangunan sumber tenaga manusia. Usaha
kita akan menjadi sia-sia sekiranya dalam membina sikap benci
kepada amalan negatif Barat, kita menjadi penganut dan pemeluk
setia tamadun kebendaan dan nafsu-nafsinya.
Lebih tidak memberi
makna apa-apa sekiranya dalam menghadapi arus globalisasi, kita
tidak berbuat apa-apa dalam memberikan jalan alternatif ke arah
wawasan yang lebih bermakna.
Justeru, jiwa
merdeka harus dipancarkan dalam konteks proses bina negara yang
berasaskan nilai murni, terbuka kepada kesediaan menerima amalan
baik daripada orang lain, kesediaan memajukan keunggulan tradisi
dan budaya sendiri.
Di samping itu,
kita perlu mempunyai kualiti strategik yang bijak merancang
dan melaksana mendepani kerenah zaman yang dinamik berubah.
Jiwa merdeka sewajarnya terpancar sepanjang masa supaya warga
Malaysia memiliki daya dorong tinggi untuk terus maju. Ini perlu
berasaskan acuan Malaysia iaitu pembangunan kebendaan yang bergerak
seimbang dengan pembangunan insan dan model kemajuan Malaysia
yang bakal menjadi model alternatif terhadap kemajuan umat manusia. |