Berita-bil. 1/2003

 
 

Buku teks - Masih tetap relevan

12/06/2003 Utusan Malaysia

Rajmah Hasan Shirat

APABILA memperkatakan ilmu tanpa had, penggunaan Internet sebagai alat bantuan pembelajaran merupakan mekanisme paling efisien.

Menerusi Internet, perkembangan isu semasa dapat diperoleh kerana maklumat yang disediakan sentiasa terkini.

Justeru masih relevankah penggunaan buku teks untuk tujuan pembelajaran pada abad ini.

Mengulas perkara itu, Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru-Guru Besar Malaysia, Abu Hassan Sidek tidak menolak kepentingan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada masa kini.

Begitupun katanya, sistem dokumentasi pembelajaran iaitu penggunaan buku teks masih penting malah ia amat diperlukan oleh pelajar-pelajar di negara ini.

"Kita tidak tolak ICT penting tetapi buku teks juga sama penting apatah lagi dengan senario sistem persekolahan di Malaysia kini yang mana penggunaan LCD, e-Booknya masih belum diperluaskan di semua sekolah sebagaimana di sesetengah negara luar seperti Jepun dan United Kingdom," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menjelaskan kesesuaian dan keberkesanan penggunaan buku teks, Abu Hassan berkata, sistem persekolahan sedia ada masih belum mampu menyediakan kemudahan ICT secukupnya.

"Kita bercakap mengenai pelaksanaannya (penggunaan ICT) untuk semua sekolah secara keseluruhan.

"Ketika ini, sekolah di bandar sekali pun masih ada yang tidak mempunyai kemudahan ICT lengkap apatah lagi sekolah di luar bandar," katanya.

Selain itu tambah beliau, tahap kecerdasan pelajar yang berbeza juga merupakan antara faktor buku teks masih relevan.

"Dari segi penggunaan pembelajaran, peranan buku teks amat baik dan berkesan.

"Ia masih relevan kerana pencapaian murid tidak sama, ada cepat dan ada lambat," katanya.

Tambah beliau lagi, buku teks juga adalah sumber bahan bacaan untuk proses ulang kaji secara berterusan dan boleh dibawa ke sana ke mari berbanding LCD atau e-Book.

"Justeru dalam apa-apa pembelajaran, sistem dokumentasi tidak boleh ditinggal begitu saja.

"Ini kerana bahan kandungan buku boleh dirujuk kembali," jelasnya.

Ditanya sejauhmanakah peranan buku teks ketika ini masih relevan dengan sistem pendidikan negara, beliau menegaskan bahawa pembangunan sukatan mata pelajaran adalah mengikut silibus berdasarkan keperluan semasa.

Sebagai contoh katanya, menyedari keperluan mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, kerajaan kini melaksanakannya secara wajib di semua sekolah yang bermula dengan murid tahun satu dan tingkatan satu.

"Kalau dahulu mata pelajaran Sains contohnya, hanya mula diajar ketika murid masuk darjah empat," katanya.

Abu Hassan juga tidak nampak mengapa perkaitan penggunaan buku teks di abad ini perlu dipersoalkan.

"Saya yakin sekarang dan sehingga tahun 2005, buku teks masih penting tetapi tidak mustahil menjelang tahun 2020 penggunaan buku teks tidak lagi relevan.

"Pada masa itu, pelajar yang tidak berupaya ke sekolah disebabkan sakit masih mampu mengikuti pelajaran yang diakses menerusi komputer," katanya.