Pecahkan rekod
kelembapan pelajar Melayu
PADA masa
kini, terdapat banyak berita dan tulisan di dalam media yang
mendedahkan tentang kelemahan pelajar kita dalam pelajaran dan
pengajian mereka.
Dalam dua tiga
minggu ini terdapat berita yang menjelaskan tentang satu kajian
yang menunjukkan bahawa prestasi pelajar Melayu di dalam peperiksaan
akhir peringkat ijazah di universiti amat rendah dan tidak memberangsangkan.
Jika dibandingkan
dengan pelajar-pelajar bukan Melayu ternyata peratusan pelajar
Melayu yang mendapat kelas pertama atau kelas dua atas di peringkat
ijazah adalah terlalu jauh ketinggalan di belakang.
Hal ini menjadi
lebih ketara lagi apabila dilihat kepada jurusan pengajian aliran
sains dan teknologi, maka peratusan tersebut lebih merosot lagi
iaitu menunjukkan satu pencapaian yang amat mengecewakan, terutamanya
apabila disedari hakikatnya bahawa pelajar-pelajar Melayu itulah
yang banyak mendapat kemudahan bantuan biasiswa, pinjaman dan
sebagainya.
Menurut satu
tulisan yang disiarkan dalam jangka waktu yang sama, seorang
pegawai bahagian hal ehwal pelajar sebuah universiti membuat
kesimpulan bahawa jika pada hari pertama pendaftaran di universiti
terdapat bilangan pelajar Melayu seramai 600 orang umpamanya,
maka pada hari konvokesyen mungkin hanya kira-kira 400 orang
sahaja pelajar tersebut yang berjaya menamatkan pengajiannya
dan menerima ijazah. Yang bakinya mungkin telah keguguran di
tengah jalan atau mengambil keputusan menyerah kalah kerana
sebab-sebab yang hanya mereka sahaja yang mengetahuinya.
Hal ini sebaliknya
berbeza dengan pelajar bukan Melayu, iaitu kalau 600 orang yang
mendaftar diri maka seramai itu pulalah yang berjaya hingga
ke akhir dan mendapat ijazah.
Sama ada hal
ini merupakan hakikat yang betul atau tidak dari segi perangkaan
dan peratusannya, namun inilah hakikat yang berlaku dalam masyarakat
pelajar Melayu pada masa kini.
Sesiapa sahaja
yang pernah menghadiri majlis konvokesyen di universiti, mereka
akan dapat menyaksikan keadaan ini dengan mata kepala mereka
sendiri, dan mereka juga akan dapat menatapnya dalam rakaman
buku-buku cenderamata konvokesyen tersebut yang terpampang dengan
nama-nama pelajar cemerlang kelas pertama atau kedua tinggi,
merebut hadiah buku, pingat dan berbagai-bagai hadiah lain yang
menunjukkan pencapaian terbaik pelajar-pelajar tersebut. Nama-nama
itu biasanya tidak banyak yang tertera sebagai nama pelajar
Melayu.
Maka dalam menghadapi
keadaan yang menyedihkan ini, saya percaya pihak kerajaan dan
masyarakat umumnya termasuk para ibu bapa dan tenaga pengajar
universiti yang prihatin tentang hal ini, telah mempunyai berbagai-bagai
idea untuk memperbaikinya.
Saya pernah membaca
banyak teori dan fikiran yang dikeluarkan untuk menganalisis
dan menyelesaikan kelemahan ini, cuma yang belum dilihat atau
ditemui ialah perubahan yang benar-benar berlaku hasil daripada
teori dan fikiran yang baik itu.
Rasanya telah
berpuluh-puluh tahun kita membicarakan hal ini dan pelbagai
bengkel dan seminar telah dijalankan untuk membincangkannya,
namun satu perkara yang tidak dapat kita saksikan secara nyata,
ialah perubahan dan anjakan paradigma yang sebenar-benarnya
berlaku di kalangan masyarakat pelajar Melayu itu sendiri.
Pada hari ini
nampaknya kita masih memerlukan kajian, kita masih meneliti
kajian itu dan kita masih membicarakan hal ini dengan angka
dan fakta yang menjurus kepada pendedahan kelemahan dan kemunduran,
sedangkan sebab-sebab dan kaedah untuk mengatasinya kelihatan
amat rapuh dan tidak berdaya untuk mewujudkan perubahan yang
kita perlukan.
Jadi nampaknya
kita akan terus membuat kajian dan akan terus menatap angka
dan fakta kelemahan dan kemunduran pelajar-pelajar kita dalam
kebingungan dan kehairanan.
Kalau kembali
kepada ajaran agama kita, ternyata bahawa kita mempunyai banyak
fakta dan perintah yang menjurus ke arah peningkatan ilmu dan
pengetahuan umat.
Al-Quran amat
kaya dengan fakta ilmu dalam semua bidang dan disiplin, dan
penuh dengan dorongan dan perintah yang menjadi tuntutan agama
untuk mempelajari ilmu dan mencapai tahap kecemerlangannya.
Sejarah Nabi
Muhammad s.a.w dan para sahabatnya juga tidak kurang dengan
contoh dan panduan yang amat banyak tentang kecemerlangan yang
harus dicapai oleh penganut Islam dalam bidang ilmu pengetahuan.
Dalam keadaan
ini saya cadangkan supaya para pelajar kita sendiri yang seharusnya
merasakan keinsafan dan kesedaran untuk meningkatkan kecemerlangan
mereka. Mereka sendiri seharusnya merangka program dan agenda
sendiri bagaimana hendak meningkatkan prestasi mereka.
Mereka seharusnya
mempunyai pemikiran yang strategis dalam merangka rencana keutamaan
mereka di dalam pengajian dan mengurus waktu mereka secara yang
lebih berkesan.
Malah ketika
para pelajar kita yang nampaknya amat ghairah menghayati ajaran
agama maka mereka seharusnya menjadikan ajaran dan idealisme
agama sebagai dorongan dan pembakar semangat mereka untuk maju
dalam pelajaran.
Mereka mestilah
mempunyai semangat yang tinggi dalam persaingan dan daya ketahanan
diri ketika menghadapi cabaran dan halangan seperti yang dituntut
oleh Islam.
Justeru dalam
konteks ini juga, saya fikir terdapat kebenarannya kata-kata
seorang pembaca yang menulis kepada pengarang sebuah akhbar
Inggeris baru-baru ini yang merasa terharu dengan rekod yang
dicapai oleh pelajar-pelajar Melayu di sebuah universiti, iaitu
berjaya membakar lemang yang paling panjang mengalahkan mak
cik kita di kampung-kampung.
Cuma keluhannya
agak relevan iaitu katanya ketika pelajar-pelajar bukan Melayu
berbangga dengan kejayaan reka cipta yang canggih di dalam bidang
lain yang lebih mencabar, apakah pelajar-pelajar kita hanya
akan berlumba-lumba dengan mak cik kita di kampung untuk mencipta
lemang yang paling panjang itu?
Saya rasa dalam
konteks yang sama banyak lagi orang lain yang akan menulis kepada
media dalam nada dan esakan yang sama, iaitu ketika orang lain
telah mencapai kecemerlangan yang amat tinggi di dalam bidang
matematik, sains teknologi, perubatan, kejuruteraan dan sebagainya,
apakah kita hanya akan berbangga dengan pencapaian sekumpulan
pelajar kita di sebuah universiti yang berjaya mencipta dan
mendirikan sirih junjung yang paling tinggi yang juga memecahkan
rekod negara baru-baru ini?
Bagaimanapun
nampaknya inilah trend baru di dalam masyarakat kita sekarang
ini, iaitu memecahkan rekod yang ada, tidak kira apa sahaja
projeknya. Semoga aliran baru ini akan dialihkan oleh pelajar-pelajar
kita ke arah memecahkan rekod kemunduran dan kelembapan mereka.
Inilah rekod yang seharusnya dipecahkan bukan rekod yang diciptakan
di pedalaman dan di ceruk-ceruk kampung. |