Saudara Pengarang,SAYA seorang guru di salah
sebuah sekolah menengah di daerah Pasir Mas,
Kelantan. Saya mewakili sebahagian besar guru
di seluruh negara.
Seorang guru diberi
kepercayaan dan harapan tinggi oleh ibu bapa,
masyarakat dan negara manakala tujuan murid-murid
hadir ke sekolah pula adalah untuk belajar.
Saya sering di peringatkan
oleh pentadbir sekolah tentang core business
di sekolah ialah `guru mengajar dan murid
belajar'. Tetapi, kenapa masih terdapat ramai
pelajar tidak boleh membaca dan menulis di
sekolah menengah?
Kebanyakan pelajar bila
tidak boleh menguasai 3M (membaca, menulis
dan mengira), secara automatik akan buta al-Quran
(pelajar Islam).
Yang saya musykilkan
ialah kenapa pelajar-pelajar ini berada enam
tahun di sekolah kebangsaan masih tidak menguasai
3M sedangkan guru dan kelas pemulihan ada
di sekolah kebangsaan? Guru pakar bahasa pun
ada di sekolah kebangsaan. Kenapa?
Kini, pelajar buta 3M
berada di sekolah menengah. Bagaimana pelajar
ini hendak mengambil peperiksaan Penilaian
Menengah Rendah (PMR)? Sebahagiannya boleh
jawab soalan kerana kebanyakan subjek berbentuk
objektif.
Pelajar boleh `tembak'
atau meniru. Mereka boleh lulus. Apabila sampai
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), soalan kebanyakan
berbentuk esei. Bagaimana?
Belum lagi hendak mengikuti
pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa
Inggeris bagaimana hendak memahami tulisan
jawi dalam buku teks tingkatan empat dan lima?
Punca pertama masalah
ini ialah sistem pendidikan terlalu berorientasikan
peperiksaan. Peratus lulus dalam peperiksaan
dan pelajar cemerlang sering mendapat perhatian
oleh pihak kerajaan, sekolah dan masyarakat.
Faktor itu telah menyebabkan
guru terlalu tertekan untuk menghabiskan sukatan
pelajaran dan memberi penumpuan kepada pelajar
cemerlang. Fenomena ini menyebabkan pelajar
yang lemah terabai. Apatah lagi pelajar yang
tidak dapat menguasai 3M.
Punca kedua, beban tugas
guru semakin berat. Guru bukan ditugaskan
untuk mengajar sahaja.
Guru perlu menjalankan
tugas sebagai guru data, pendaftar, kantin,
pusat sumber, majalah, buku teks, disiplin,
Hal Ehwal Pelajar, sukan, permainan, unit
beruniform dan lain-lain.
Guru ke hulu ke hilir
menghantar pelajar menyertai pelbagai pertandingan
kokurikulum di pelbagai peringkat. Jika sekolah
menyertai pertandingan juara, guru berpenat-lelah
mengemas kini fail panitia, organisasi, kebersihan,
keceriaan dan lain-lain.
Semua sekolah hendak
cemerlang dalam semua aspek. Guru saban hari
dipanggil berkursus. Malah, ada sekolah mengadakan
kelas tambahan di sebelah malam. Akibatnya,
pelajar buta 3M terabai lagi.
Punca ketiga, ibu bapa
tidak langsung mengambil tahu tentang pengetahuan
3M anak-anak.
Mereka sentiasa sibuk
dan menyerahkan bulat-bulat kepada sekolah
untuk mengajar anak-anak mereka.
Jadi untuk mengatasinya
diwujudkan guru-guru pemulihan di sekolah
menengah. Guru-guru ini dan guru-guru Pendidikan
Islam tidak dibebankan dengan pelbagai tugas
seperti guru-guru lain.
Mereka diberi tugas
khusus memulihkan pelajar buta 3M dan buta
al-Quran.
Menteri Pelajaran, Ketua
Pengarah, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN),
Pegawai Pelajaran Daerah (PPD), Pengetua Guru
Besar turunlah ke padang dan jengok-jengok
di sekolah kampung-kampung dan pedalaman.
Cuba analisis berapa
jumlah pelajar buta 3M, buta al-Quran di seluruh
negara.
Merekalah sebahagian
besar pelajar yang berkemungkinan akan tercicir.
Mereka tidak berminat untuk belajar di sekolah
yang bertaraf dunia.
Merekalah yang berisiko
untuk terlibat dengan gejala sosial yang memeningkan
kepala rakyat. - GURU PRIHATIN,
Pasir Mas, Kelantan