Berita-bil. 13/2003
 
 
Pendidikan daripada perspektif Tajul Ariffin
(Petikan dari Utusan Malaysia)

PENDIDIKAN di Malaysia tidak perlu terlalu kebaratan, kata Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Dr. Tajul Ariffin Noordin.

Katanya, `acuan Malaysia' perlu mendekati falsafah bersepadu di antara ilmu konseptual dengan kemahiran praktikal.

Matlamat pendidikan hendaklah mengutamakan pembangunan manusia daripada memenuhi keperluan-keperluan kerjaya.

Kurikulum pula, tambah beliau, hendaklah berkonsepkan holistik bukannya spesifik.

``Utamakan konsep berguru, bukan berpusatkan pelajar yang keterlaluan,'' katanya.

Katanya, pendidikan di era globalisasi amat dipengaruhi oleh agenda ekonomi, politik, sains, teknologi, kuasa dan penjajahan yang dilakukan oleh negara-negara besar.

``Ini menyebabkan pendidikan berubah begitu pantas dan kepentingannya hanya dilihat daripada sudut aplikasi dan keuntungan material,'' katanya.

Penyelidikan-penyelidikan bersifat praktikal dengan orientasi kuantitatif dan empirikal sentiasa menjadi keutamaan sehingga menjadi tepu.

Ilmu yang menyeluruh katanya, memerlukan pemikiran dan penyelidikan kualitatif seiring dengan penyelidikan kuantitatif.

``Keperluan semasa terlalu ditekankan, iaitu memenuhi kehendak-kehendak sektor perniagaan, swasta dan korporat menyebabkan ilmu yang diberi akan bersifat terlalu mengkhusus,'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk Pemikiran Dalam Pendidikan: Adaptasi Menurut Pendidikan Bersepadu sempena Wacana Pemikiran dalam Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, baru-baru ini.

Dalam kertas kerja yang dibentangkan bersama-sama Nor'Aini Dan dan Nor Sakinah Mohamad itu, beliau mencadangkan agar matlamat pendidikan dirancang dengan memberi keutamaan kepada pembangunan manusia.

``Apabila manusia yang dibina itu mempunyai sifat-sifat seimbang, harmonis dan bersepadu maka dengan sendirinya mereka akan menguasai dengan baik ilmu dan kemahiran untuk kerjaya,'' ujarnya.

Beliau turut menegaskan matlamat pendidikan untuk kerjaya menyebabkan kurikulum yang disajikan bersifat terlalu spesifik.

``Hanya kursus-kursus dan tajuk-tajuk yang bersifat kemahiran, praktikal, proses dan operasi yang diberi keutamaan dengan fokus spesifik kepada disiplin tertentu sahaja,'' katanya.

Keadaan tersebut menyebabkan pelajar-pelajar mementingkan kerjaya, diri sendiri dan keluarganya sahaja.

 
     
PENAFIAN-
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN SIKAP PENGENDALI WEB.
Paparan terbaik menggunakan Internet explorer 4.0 dan ke atas dengan resolusi 1024 X 768 pixel
Tiada Hakcipta Terpelihara
.Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai.
PeNdiDik 2000-2003© Pendidikmy@yahoo.com