SETIAP
pelajar mempunyai tahap pencapaian akademik yang berbeza-beza
iaitu cemerlang, sederhana dan tidak kurang pula yang gagal
dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/Sijil Pelajaran
Malaysia Vokasional (SPMV) seperti yang diumumkan baru-baru
ini.
Bagi pelajar yang mencapai keputusan yang sangat cemerlang,
misalnya memperoleh 10A atau lebih, mereka lebih mudah untuk
berjaya mendapat tempat melanjutkan pengajian ke prauniversiti
atau matrikulasi sama ada dalam atau luar negara.
Tetapi,
bagi yang mendapat keputusan yang sederhana atau gagal janganlah
beranggapan bahawa masa hadapan anda telah kabur atau hancur.
Sebenarnya,
banyak cara yang boleh anda lakukan untuk menebus kekurangan
atau kegagalan masa lepas.
Di
ruangan kali ini saya akan memberi panduan kepada pelajar
yang mendapat kelulusan SPM yang sederhana dan gagal ataupun
kepada yang tidak mendapat sebarang tempat di peringkat
Asasi Sains Universiti Malaya (UM), matrikulasi atau prauniversiti
walaupun keputusan SPM mereka layak untuk berbuat demikian.
Gagal
mendapat tempat di universiti dan lulus sederhana
Pelajar
yang gagal mendapat tempat di universiti atau memperoleh
keputusan sederhana (memperoleh keputusan antara cemerlang
dan gagal) boleh memohon memasuki maktab-maktab perguruan,
Kementerian Pelajaran sekiranya berminat untuk menjadi guru.
Bagi
pelajar yang lebih cenderung kepada bidang teknikal dan
kemahiran, Kementerian Pengajian Tinggi melalui 20 politeknik
menawarkan pengajian di peringkat sijil dan diploma; manakala
34 kolej komuniti menawarkan pengajian di peringkat sijil.
Prauniversiti
Pelajar
juga boleh mengikuti pengajian di peringkat prauniversiti
atau diploma di universiti dan kolej-kolej swasta yang kini
berjumlah lebih 500 buah di seluruh negara. Universiti dan
kolej tersebut menawarkan pelbagai bidang pengajian yang
mungkin bersesuaian dengan minat dan kelulusan pelajar.
Selain
itu, pelajar boleh meneruskan pengajian ke tingkatan enam
dan seterusnya menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan
Malaysia (STPM). Atau, pelajar juga boleh menduduki semula
peperiksaan SPM. Mungkin pelajar akan memperoleh keputusan
yang cemerlang.
Pilihan-pilihan
yang dinyatakan di atas sebenarnya adalah peluang untuk
pelajar melanjutkan pengajian ke universiti awam atau pun
swasta pada masa hadapan. Ini kerana universiti masih menerima
calon-calon yang mempunyai sijil atau diploma serta pengalaman
kerja di bidang berkaitan dengan kursus yang dipohon di
peringkat sarjana muda kelak.
Bagi
yang sangat berminat dengan ilmu kemahiran, para pelajar
juga boleh memohon memasuki institusi latihan kemahiran
anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara), Institut Kemahiran
Tinggi Belia Negara, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan
Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang menawarkan pelbagai
kursus kemahiran.
Dengan
berbekalkan sijil kemahiran tersebut, ia dapat memudahkan
pelajar mencari dan mendapatkan pekerjaan berbentuk kemahiran
dalam bidang berkaitan dengan kelulusan pelajar kelak.
Para
pelajar yang meminati bidang keusahawanan boleh memohon
mengikuti kursus atau program keusahawanan anjuran Kementerian
Pembangunan Usahawan (KPU).
Minat
serta keazaman yang mendalam mampu membawa pelajar untuk
lahir sebagai seorang usahawan yang berjaya pada masa hadapan.
Pelajar
juga boleh memilih untuk menceburi terus bidang pekerjaan
mengikut kelulusan dan minat masing-masing sama ada di sektor
awam atau swasta.
KELULUSAN YANG SANGAT RENDAH ATAU GAGAL
Para
pelajar dalam kumpulan ini seharusnya tidak kecewa atau
berputus asa, sebaliknya, jika pelajar mempunyai minat dan
kecenderungan dalam aspek kemahiran, pelajar boleh mengikuti
latihan kemahiran melalui institusi-institusi anjuran Mara,
KBS dan KSM menggunakan sijil SPM/SPMV atau Penilaian Menengah
Rendah (PMR).
Pelajar
juga boleh memasuki bidang keusahawanan anjuran KPU sebelum
menceburi bidang keusahawanan dan perniagaan.
Selain
itu, pelajar boleh bekerja di sektor awam atau swasta menggunakan
sijil PMR.
Bagi
yang ingin terus belajar, pelajar boleh mendaftar di Jabatan
Pendidikan Negeri masing-masing untuk mengulangi dan memperbaiki
keputusan peperiksaan SPM. Kegagalan masa lalu dapat ditebus
sekiranya pelajar tekun dan bersungguh-sungguh belajar.
Maklumat
mengenai peluang-peluang yang dinyatakan di atas boleh diperolehi
dari semasa ke semasa di akhbar-akhbar utama termasuk Utusan
Malaysia dan Mingguan Malaysia atau melayari laman web universiti
atau institusi tersebut di Internet.
Jelaslah,
di sini bahawa pelajar mempunyai banyak pilihan untuk difikirkan
dalam menentukan kerjaya dan masa hadapan masing-masing
walaupun keputusan SPM yang diperolehi kurang cemerlang
atau gagal.
Anda,
walaupun tidak berpeluang untuk melangkah ke menara gading
yang menjadi idaman setiap orang bernama pelajar, namun
anda juga mempunyai haluan lain yang boleh membawa kejayaan
pada masa hadapan asalkan tahu bagaimana untuk merebut peluang
yang berada di depan mata.
Sesungguhnya,
kejayaan masa hadapan adalah hasil keputusan yang betul
pada hari ini. Renungkanlah, Fikirkanlah.