Berita-bil. 16/2003  
 
 
Bidang Pendidikan - Jangan sia-siakan penyelidikan
23/09/2003 [Utusan Malaysia]

PENYELIDIKAN di bidang pendidikan yang mengambil masa beribu-ribu jam menjadi sia-sia sahaja jika tidak dimanfaatkan.

Bekas Ketua Jemaah Nazir Kementerian Pendidikan Datuk Abdul Rahim Tahir berkata, amat rugi jika kajian dan penyelidikan mengenai pendidikan yang dilakukan oleh pelbagai pihak hanya tinggal di atas kertas sahaja.

"Kita sepatutnya menghargai usaha-usaha mereka yang telah menghabiskan beribu-ribu jam untuk membantu meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini," katanya.

Selain itu, menurut beliau, sepatutnya tidak harus wujud budaya menghentam atau tidak menghormati hasil usaha tersebut jika mahu kualiti pendidikan negara terus cemerlang.

Abdul Rahim menarik perhatian bahawa kualiti dan standard kualiti pendidikan terutama melibatkan sekolah-sekolah di negara ini tidak akan tercapai sepenuhnya jika terdapat halangan yang `disengajakan' tanpa sebarang alasan yang kukuh.

Beliau berkata, sejak tiga tahun kebelakangan ini kualiti dan standard kualiti sekolah termasuk pengetua dan guru besar memperlihatkan pencapaian yang memberangsangkan.

"Kita dapati pengetua dan guru besar bersedia melaksanakan peningkatan kualiti dan standard, banyak sekolah yang telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan," katanya.

Namun begitu kecemerlangan dan peningkatan berterusan tidak akan dicapai jika pendekatan yang mencorakkan kejayaan `diganggu' oleh pihak-pihak tertentu dengan tujuan-tujuan tertentu.

"Ini akan menganggu kesinambungan kecemerlangan dan yang menjadi mangsa ialah pihak pengurusan sekolah dan pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan mengenai Kualiti dalam Pendidikan pada Persidangan Persatuan Penyelidikan Pendidikan Malaysia 2003 di Bangi, baru-baru ini.

Rahim yang telah berpengalaman dalam dunia pendidikan kira-kira 36 tahun bersara sebagai Ketua Jemaah Nazir pada awal tahun ini.

Menurut beliau, kerajaan tidak `kedekut' untuk mengeluarkan belanja dan amat menyokong sebarang kajian mahupun pendekatan yang mahu meningkatkan kualiti dan standard kualiti pendidikan di negara ini.

Semasa beliau mengetuai Jemaah Nazir, pihaknya telah berjaya menghasilkan pakej Sistem Pemastian Peningkatan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan yang meliputi tiga buah buku, perisian dan video cakera padat mengenai garis panduan kepada warga pendidikan untuk meningkatkan kualiti pendidikan.

"Ia menggariskan panduan penyeliaan dan tindakan yang perlu diambil oleh Pengarah Pendidikan Daerah (PPD) dan pengetua," katanya.

Ia turut memberi panduan kepada pengetua mengenai pengurusan sekolah termasuk pelaksanaan audit dalaman dan peranan sebenar yang perlu dimainkan oleh PPD dan warga pendidikan yang lain.

Pakej itu yang dimulakan pada 1999, melalui proses kajian dan pelaksanaan serentak melibatkan kira-kira 7,000 sekolah di seluruh negara.

Sementara itu beliau berkata, kualiti dan standard kualiti yang dimajukan di Malaysia pada hakikatnya menunjukkan peningkatan.

"Jika kita tidak mempunyai kualiti pendidikan yang tinggi mana mungkin Malaysia boleh tergolong dalam kelompok negara sedang membangun," katanya.

 
     
PENAFIAN-
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN SIKAP PENGENDALI WEB.
Paparan terbaik menggunakan Internet explorer 4.0 dan ke atas dengan resolusi 1024 X 768 pixel
Tiada Hakcipta Terpelihara
.Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai.
PeNdiDik 2000-2003© Pendidikmy@yahoo.com