Sikap
guru Melayu - Kajian Dr. Mahzan dipertikaikan
Oleh:
Rohana Man
AHLI akademik dan kesatuan
guru mempertikaikan hasil kajian yang dilakukan oleh seorang
pensyarah Universiti Malaya (UM) yang mendapati guru Melayu
lebih berminat membaca buku-buku bercorak agama dan buku-buku
teks berbanding bahan bacaan lain.
Ini kerana menurut mereka,
kajian yang dilakukan itu hanya melibatkan sampel kajian yang
sedikit berbanding jumlah keseluruhan guru yang kini mencecah
kira-kira 280,000 orang.
Kajian itu juga tidak menyebut
mengenai guru sekolah rendah atau menengah, latar belakang
kelayakan guru sama ada siswazah atau diploma perguruan dan
umur guru.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan
Perguruan Kebangsaan, Tengku Habsah Tengku Petra berkata,
hasil kajian itu tidak seharusnya digunakan untuk melabelkan
keseluruhan guru Melayu tidak suka membaca bahan bacaan lain,
selain agama dan buku teks.
Menurutnya, majoriti guru
di negara ini adalah guru Melayu yang terdiri daripada pelbagai
peringkat usia.
Katanya, sebagai orang
Melayu, bahan bacaan mengenai agama menjadi satu keperluan
terutama bagi mereka yang sudah meningkat usia.
Jelasnya, jika guru itu
sudah berusia, tentu sekali pilihannya lebih kepada buku-buku
agama.
"Hasil kajian ini boleh
jadi betul jika ia hanya melibatkan responden yang terdiri
daripada guru generasi lama.
"Ini tidak dapat dielakkan
kerana sebagai guru yang sudah berusia, mereka tentunya mahu
mendekatkan diri dengan Tuhan menerusi pembacaan buku-buku
agama," katanya
Beliau mengulas laporan
kajian pensyarah UM, Profesor Madya Dr. Mahzan Arshad yang
menunjukkan guru Melayu lebih suka membaca buku-buku agama
dan buku-buku teks berbanding bahan bacaan lain.
Laporan bertajuk Kajian
Terhadap Minat Membaca di Kalangan Pendidik itu dibentangkannya
pada Persidangan Persatuan Penyelidikan Pendidikan Malaysia
2003 di Bangi, Selangor, baru-baru ini.
Jelasnya, buku-buku teks
pula dibaca untuk menyediakan mereka mengajar di kelas masing-masing.
Menurut Tengku Habsah lagi,
minat membaca yang kurang bukan sahaja berlaku di kalangan
golongan pendidik.
Katanya, ia berlaku pada
seluruh rakyat Malaysia yang terkenal dengan sikap malas membaca
bahan-bahan `berat' tetapi rajin menatap bahan-bahan bacaan
`ringan' terutama majalah hiburan.
Presiden Kesatuan Guru-Guru
Melayu Malaysia Barat, Dr. Abdul Rahman Daud pula berkata,
kajian yang boleh diterima ialah kajian yang melibatkan responden
yang lebih ramai.
Menurutnya, oleh kerana
jumlah guru sekarang kira-kira 280,000 maka sepatutnya sampel
yang digunakan mestilah mencecah kira-kira 10,000 orang.
Katanya, keputusan kajian
daripada sampel yang besar lebih diyakini tepat dan dipercayai.
"Jumlah sampel mestilah
mewakili 60 atau 70 peratus daripada keseluruhan jumlah guru
di negara ini," katanya.
Beliau kesal kerana laporan
itu boleh memberi impak tidak baik kepada martabat guru Melayu.
Selain itu, katanya, sebarang
andaian tidak boleh dibuat dalam memutuskan sesuatu kajian
yang telah dilakukan.
Namun kajian itu katanya,
mengandaikan guru kurang berminat melayari Internet kerana
guru tidak memiliki komputer di rumah dan kos pembelian yang
mahal.
"Saya yakin semua guru
kini tahu menggunakan komputer dan jika pun mereka tidak memiliki
komputer di rumah, kemudahan itu boleh didapati di sekolah.
"Jadi sebab guru tidak
berminat melayari Internet kerana tidak mempunyai komputer
dan harga komputer mahal tidak boleh diterima," katanya.
Sementara Pensyarah Jabatan
Asas Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM), Profesor Datin Dr. Rohaty Mohd. Majzub berkata,
jumlah sampel yang kecil kurang sesuai untuk menyatakan bahawa
guru Melayu hanya berminat membaca buku-buku agama dan buku-buku
teks.
Menurutnya, banyak faktor
perlu diambil kira dalam melakukan kajian, antaranya kategori
guru itu sendiri sama ada guru agama, guru sekolah rendah,
guru sekolah menengah, kelayakan, pengalaman dan usia guru.
"Saya tidak teliti laporan
itu tetapi secara umumnya, banyak perkara yang tertinggal
dalam menyediakan kajian itu.
"Jadi pelbagai pihak boleh
mempertikaikan keputusan yang diperoleh," ujarnya.
Bagaimanapun katanya, jika
hasil kajian itu benar maka ia adalah satu perkara yang amat
dikesali.
Ini kerana katanya, sebagai
guru, mereka perlu mempelbagaikan ilmu menerusi pembacaan
bahan-bahan ilmiah.
"Dalam era globalisasi
dan ledakan ilmu masa kini, guru perlu rajin melayari Internet.
"Ini penting kerana banyak
maklumat terkini boleh didapati dengan cepat menerusi Internet,"
katanya.
Jelasnya, dalam melahirkan
guru Malaysia bertaraf dunia maka mereka juga perlu rajin
berinteraksi dengan masyarakat luar.
Begitu juga katanya, untuk
meningkatkan kualiti perguruan dan profesionalisme bidang
itu maka bahan bacaan dalam pelbagai bahasa perlu dijadikan
rujukan harian para guru.