Berita-bil. 19/2003  
 
 

Pengetua, pelajar mesti kerap berbincang
25.09.2003 [Cikgu net]

SERI KEMBANGAN: Kementerian Pendidikan mengulangi peringatan kepada semua pengetua supaya tidak menyembunyi disiplin pelajar, terutama yang terbabit kes pergaduhan dan mencederakan pelajar lain.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Hon Choon Kim, berkata mereka sepatutnya melaporkannya dan pada masa sama membendung gejala berkenaan.

“Pengetua juga perlu faham pelajar mudah terpengaruh unsur negatif. Oleh itu, mereka perlu bijak mengatasi masalah dengan kerap mengadakan perbincangan bersama pelajar,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Pengetua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan ke-10 dan Persidangan Pendidikan anjuran majlis itu, di sini semalam.

Semalam akhbar melaporkan dua bekas pelajar Sekolah Menengah Teknik Teluk Intan, Perak diserang lebih 20 pelajar sekolah itu pada jam 3 petang Ahad lalu kerana dipercayai membalas dendam terhadap mangsa yang dikatakan membuli pelajar junior ketika menjadi senior.

Ia kejadian terbaru selepas seorang pelajar Kolej Matrikulasi Melaka dibelasah 12 rakan kolej yang menuduhnya membocorkan perbuatan kumpulan itu menceroboh asrama pelajar wanita Jumaat lalu.

Sebelum ini, lapan pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar disingkirkan kerana masalah disiplin termasuk bergaduh, manakala 20 pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh dibuang kerana cuba menghidupkan kumpulan ala samseng dan seorang pelajar Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat, Johor parah dipukul rakan.

Sementara itu, Pemangku Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua Sekolah Malaysia, Normah Mohamed, berkata pendedahan media tidak bermakna gejala berkenaan berlaku di semua sekolah.

Katanya, kejadian seperti itu biasanya membabitkan pelajar yang tidak mendapat perhatian ibu bapa atau mempunyai keluarga bermasalah serta perasaan tidak puas hati yang selama ini dipendam.

“Jika pelajar sebegini dikesan pada peringkat awal, sekolah boleh melaksanakan pelbagai program seperti berbincang dengan mereka dan ibu bapa atau mengadakan sesi kaunseling bagi mengenal pasti masalah sebenar mereka,” katanya.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Prof Madya Dr Abdul Rahman Daud, pula berkata pelajar sekolah berasrama lebih mudah terdedah budaya negatif berbanding pelajar sekolah harian kerana pengaruh rakan sebaya daripada pelbagai latar belakang.

Beliau turut menyelar sesetengah guru yang bersikap lepas tangan mengenai disiplin pelajar dengan menyerahkannya kepada guru disiplin, menyebabkan tiada atau kurang kawalan disiplin di sekolah.

“Selain itu, ibu bapa perlu faham tugas guru bukan saja mengajarkan ilmu, tetapi membentuk peribadi mereka,” katanya.

“Oleh itu, ibu bapa tidak boleh bersikap buruk sangka dengan guru yang mendenda anak mereka. Setengah masalah pelajar boleh diselesaikan dengan pendekatan psikologi, sebahagiannya cara mendenda dan ada pula yang perlu dirotan untuk membetulkan akhlak mereka,” katanya.

 
     
PENAFIAN-
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN SIKAP PENGENDALI WEB.
Paparan terbaik menggunakan Internet explorer 4.0 dan ke atas dengan resolusi 1024 X 768 pixel
Tiada Hakcipta Terpelihara
.Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai.
PeNdiDik 2000-2003© Pendidikmy@yahoo.com