Membuli
- kenali jenis, mangsa dan pemangsa
30.09.2003 [Portal
Pendidikan Utusan]
Rohana Man
HASIL kajian mengenai kes membuli di
kalangan pelajar sekolah di Barat yang disiarkan dalam jurnal-jurnal
luar negara mendapati pelajar yang membuli apabila dewasa
kelak kemungkinan besar akan menjadi penjenayah.
Manakala mangsa iaitu pelajar yang kena
buli cenderung membunuh diri kerana tekanan yang dihadapi.
Dekan Fakulti Sains Kognitif, Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datin Dr. Noran Fauziah
Yaakub berkata, sebuah jurnal yang dibacanya memaparkan kisah
seorang pelajar berusia 13 tahun di Jepun membunuh diri kerana
tekanan yang dihadapinya ekoran diperas ugut oleh sekumpulan
pelajar senior yang memintanya menyerahkan duit sebanyak RM38,000
kepada mereka.
Beliau yang berasa tertekan telah mencuri
wang sebanyak itu daripada ibu bapanya dan akhirnya membunuh
diri kerana kecewa dengan apa yang telah berlaku.
Pelajar malang itu telah meninggalkan
sekeping nota untuk ibu bapanya bagi menjelaskan sebab beliau
membunuh diri.
"Di Malaysia, pelajar berusia 13
tahun adalah pelajar tingkatan satu dan ini boleh dijadikan
petunjuk bahawa pelajar yang menjadi mangsa ialah pelajar
menengah rendah iaitu tingkatan satu, dua dan tiga.
"Manakala pelajar yang membuli
pula terdiri daripada pelajar menengah atas iaitu tingkatan
empat, lima dan enam," katanya.
Mengulas lanjut, Noran yang pernah melakukan
kajian mengenai kejadian buli di kalangan pelajar sekolah
menengah di Kedah dan Perlis pada tahun 2002 berkata, buli
terdiri daripada dua kategori iaitu buli fizikal dan buli
psikologi.
Katanya, buli fizikal melibatkan pukul-memukul
atau sepak terajang manakala buli psikologi lebih kepada ejek-mengejek
misalnya jika nama pelajar atau nama bapa pelajar agak luar
biasa maka itu akan dijadikan bahan ejekan pelajar senior
yang membuli.
"Kajian saya juga mendapati pelajar
yang mempunyai paras rupa tidak menarik atau berkulit gelap
kerap menjadi mangsa," katanya.
Kajian itu melibatkan 2,600 responden
dari sekolah menengah rendah dan atas di Kedah dan Perlis.
Beliau berkata, sungguhpun kes buli
psikologi kurang mendapat perhatian media, ia sebenarnya serius
berlaku di sekolah.
"Saya kini sedang melakukan kajian
membuli yang melibatkan murid sekolah rendah di Perak.
"Dapatan awal menunjukkan buli
psikologi paling banyak berlaku di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan
Cina (SRJKC) manakala buli fizikal lebih banyak berlaku di
Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT)," ujarnya.
Kajian awal setakat ini melibatkan 700
murid di sembilan buah sekolah di Perak.
Dapatan kajian turut menunjukkan kes
buli fizikal dan buli psikologi lebih rendah di sekolah kebangsaan.
Memandangkan kajian masih di peringkat
awal maka beliau memutuskan bahawa membuli di sekolah kebangsaan
agak rendah kerana mata pelajaran Pendidikan Islam diajar
kepada murid sekolah kebangsaan yang majoritinya terdiri daripada
murid Melayu beragama Islam.
"Saya berharap mencapai sasaran
responden sebanyak lebih 2,000 murid apabila kajian ini tamat
kelak," katanya.
Kajian terbarunya itu dijangka selesai
pada bulan April 2004.
Mengenai pencapaian akademik pelajar
yang membuli, Noran menjelaskan, dapatan kajian menunjukkan
membuli tiada kaitan dengan pencapaian akademik.
Beliau berkata, terdapat pelajar yang
cemerlang dalam akademik menjadi pembuli ketika di sekolah.
"Lihat sahaja pelajar sekolah berasrama
penuh yang keputusan peperiksaan mereka amat baik tetapi menjadi
pembuli," ujarnya.
Jadi apakah yang menyebabkan pelajar
menjadi pembuli?
Menjawab pertanyaan itu, Noran berkata,
faktor rakan sebaya mempunyai pengaruh paling kuat untuk mengubah
tingkah laku pelajar.
Jelasnya, jika diperhatikan kejadian
membuli melibatkan sekumpulan pelajar dan biasanya usia mereka
adalah sebaya.
"Tekanan rakan sebaya akan mendorong
pelajar terpengaruh untuk mengikut tingkah laku rakan mereka
yang suka membuli," jelasnya.
Faktor lain katanya ialah pelajar yang
bertubuh besar dan tegap suka membuli pelajar yang saiz tubuhnya
lebih kecil bagi menunjukkan `kuasa' dan kekuatan fizikal.
Selain itu, beliau berkata, dapatan
kajian turut menunjukkan pelajar membuli kerana berasa dirinya
tidak selamat jika tidak berbuat sesuatu yang boleh melindungi
dirinya daripada perkara yang tidak diingini.
"Mereka kerap berasa curiga dan
tidak selamat berada di sekolah dan untuk mengatasi perasaan
itu, mereka mula membuli pelajar junior.
"Kejayaan membuli pelajar junior
akan menunjukkan mereka kuat, berkuasa dan tidak mudah digertak,"
katanya.
Faktor lain yang turut diperoleh daripada
kajiannya ialah sikap guru yang suka memuji pelajar tertentu
pandai di dalam kelas boleh mencetuskan perasaan tidak puas
hati pelajar lain yang kurang pandai.
Menurutnya, biasanya pelajar yang kerap
dipuji oleh guru akan menjadi sasaran.
"Saya nasihatkan guru supaya memuji
semua pelajar mengikut kebolehan mereka di dalam kelas.
"Ini kerana jika hanya seorang
dua pelajar sahaja dipuji, ia boleh mendatangkan cemburu dan
sakit hati pelajar lain," katanya.
Mengulas apakah yang boleh dilakukan
oleh pihak sekolah untuk menangani kes membuli, Noran berkata,
elemen mengenai keburukan membuli boleh dimasukkan ke dalam
kurikulum.
Katanya, ia boleh diselitkan di dalam
mana-mana mata pelajaran yang sedia ada dan menjadi tugas
semua guru untuk membincangkan isu itu kepada pelajar.
Beliau berkata, di Norway, terdapat
dasar anti buli yang dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah.
Menerusi dasar itu, katanya, pelajar
yang terlibat membuli akan dikenakan tindakan mengikut tahap
kesalahannya.
Selain itu, Noran berkata, penglibatan
ibu bapa dalam mengatasi masalah membuli di sekolah kini menjadi
penting.
Jelasnya, ibu bapa perlu berbincang
dengan guru jika didapati anak mereka bertukar sikap, menjadi
pendiam atau kurang selera untuk makan.
"Ibu bapa perlu menjadi pemerhati
yang baik kerana tidak semua pelajar yang menjadi mangsa mahu
melaporkannya kepada pihak sekolah.
"Mereka takut dengan ugutan pelajar
yang membuli sekali gus memilih untuk memendam rasa,"
ujarnya.
Beliau berharap hasil kajiannya
itu dapat digunakan oleh semua pihak bagi mengurangkan atau
mengatasi masalah membuli di kalangan pelajar.