Pendidikan
perlu sentiasa dinilai
02.10.2003 [Portal
Pendidikan Utusan]
Oleh:
Marzita Abdullah
PENILAIAN pendidikan
amat penting dalam era globalisasi kerana ia merupakan pemangkin
kepada perubahan pendidikan.
Menurut pensyarah
College of Education University of Denver Amerika Syarikat
(AS) Prof. Dr. E. Green, jika sistem pendidikan yang dinilai
masih memberi jawapan yang sama maka ia memberi mesej bahawa
sistem pendidikan itu tidak turut serta dalam globalisasi.
"Apa yang dinilai
adalah apa sebenarnya dipelajari oleh pelajar, apakah tumpuan
pelajar dan apakah yang terbaik dipelajari oleh pelajar,"
katanya.
Isi kandungan
yang lain mungkin sama pentingnya tetapi jika tidak diuji
ia mungkin tidak akan dipedulikan.
Menurut Green,
isi kandungan penilaian mempengaruhi apa yang dipelajari dan
akan mengubah isi kandungan dalam program pendidikan.
"Dan isi kandungan
itu berubah bersama-sama globalisasi," katanya.
Green berkata
demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Globalization,
Assesment and Educational Change pada Persidangan Antarabangsa
mengenai Pengajaran dan Pendidikan Guru di Kuala Lumpur baru-baru
ini.
Menurut Green,
melalui penilaian isi kandungan akan melebar dan dalam masa
yang sama lebih intensif dan sofistikated secara teknikal.
Dalam pada
itu kemahiran dan dapatan maklumat juga penting tetapi dengan
kecanggihan teknologi masyarakat boleh memperoleh maklumat
dengan melayari laman web.
"Namun mengambil
maklumat dari laman web tidak bermakna maklumat itu tepat,"
katanya.
Green berkata,
jika sistem pendidikan tidak menyertai globalisasi maka kita
mungkin akan menyaksikan perpindahan beramai-ramai pelajar
ke sekolah persendirian.
Ini kerana
sekolah berkenaan memberikan kurikulum terkini dan sepadan
dengan penilaian globalisasi.
Perubahan penilaian
berdasarkan globalisasi juga memperlihatkan perubahan kaedah
penilaian iaitu daripada peperiksaan kertas dan pensil kepada
penghasilan kerja dan ujian berkomputer.
Menurut Green,
perubahan dalam pengajaran seiring dengan perubahan dalam
pengajaran dan pembelajaran.
Dalam hal ini,
kaedah penilaian kini perlu dipelbagaikan iaitu melalui penggunaan
komputer yang akan memainkan peranan penting contohnya melalui
setiap keputusan yang berbantukan teknologi itu.
"Penilaian
dalam konteks globalisasi memberi kita cabaran untuk menentukan
apakah yang benar-benar penting untuk diketahui dan mampu
dilakukan," katanya.
Di AS tugas
menilai yang baik meliputi penilaian terhadap membaca, menulis
dan matematik.
"Tetapi kita
tidak melakukan tugas yang baik dalam mengukur kemahiran seperti
kreativiti atau penyelesaian masalah yang tidak distruktur."
"Sedangkan
yang tidak diukur mungkin lebih penting pada masa hadapan,"
katanya.
Cabaran lain
menurut Green, ialah penilaian dan pembelajaran dengan menggunakan
keputusan penilaian akan memberi keputusan terhadap pemahaman
tentang apa yang dipelajari oleh masyarakat dan apakah sistem
pendidikan yang benar-benar berkesan dan mengapa.