Berita-bil. 2/2003

 
 

Kaedah Andragogi - Mencungkil potensi pelajar dan guru

18/06/2003 (Utusan Malaysia)

Apakah kaedah andragogi? Kenapa ia begitu penting?

Prinsip asas kaedah ini ialah berdikari, iaitu melatih pelajar berdikari dalam pembelajaran sejak dari awal.

Guru hanya bertindak sebagai pemudah cara, manakala pelajar dilatih untuk mencari, menyaring dan menilai bahan-bahan pembelajaran secara sendiri.

Pelajar tidak bergantung sepenuhnya kepada input yang diberikan guru.

Menurut pensyarah sambilan dalam bidang Falsafah dan Pemikiran Kritis di Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asian, Naina Mohd. Md. Noor, kaedah bimbingan andragogi kebiasaannya digunakan dalam pembelajaran di universiti.

Naina merupakan kata bekas pensyarah Ilmu Pendidikan di Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah.

Katanya, kaedah tersebut boleh dipraktikkan di peringkat sekolah mengikut kesesuaian kandungan mata pelajaran dengan aktiviti `Roundrobin' dan `Roundtable'.

Aktiviti `Roundrobin' katanya, membabitkan Bertutur Mengikut Giliran (BMG) manakala `Roundtable' pula Tulis Mengikut Giliran (TMG).

"Selain mampu merangsang minda dan pemikiran pelajar, impak daripada latihan aktiviti-aktiviti ini juga menggalakkan perkembangan sifat bertanggung jawab, kecerdasan interpersonal dalam hubungan bersemuka dan kemahiran sosial seperti penggunaan bahasa beradab dalam masyarakat," katanya.

Naina juga adalah bekas guru Sains dan Matematik di Sekolah Menengah Serdang, Kedah yang pernah mendapat anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pendidikan pada tahun 1992.

Bagi mewujudkan struktur koperatif dalam pembelajaran, katanya, pelajar harus berada dalam kelompok berempat yang mana ahli-ahli dalam setiap kelompok terdiri daripada pelajar berlainan tahap kecerdasan dan kebolehan.

"Guru boleh membentuk kelompok secara rawak dengan menggunakan pelbagai cara sama ada berdasarkan kad warna, berbaris dalam dua barisan, lingkaran luar lingkaran dalam atau ladam kuda.

"Dari semasa ke semasa, kelompok ini harus bertukar ahli supaya pergaulan pelajar lebih meluas selain mengelakkan kebosanan pelajar.

"Untuk aktiviti BMG, setiap ahli kelompok berpeluang mengemukakan idea mengikut giliran," katanya yang turut menjadi jurulatih yang memberi kursus-kursus Sekolah Bestari, kemahiran berfikir dan pembelajaran kolaboratif dan koperatif kepada pelbagai pihak.

Jelas beliau, supaya tiada ahli yang memonopoli masa perbincangan, ahli-ahli boleh dilatih supaya bersifat bertanggungjawab dengan mewujudkan peranan mereka sebagai penjaga pintu, tukang kerah, pemuji dan motivator dengan menggunakan kad-kad peranan.

"Misalnya tugas penjaga pintu ialah menegur ahli dengan bahasa yang sopan supaya berhenti daripada memonopoli perbincangan agar rakan lain berpeluang untuk mengutarakan pandangan.

"Peranan tukang kerah pula ialah menggesa rakan-rakan lain supaya membuat kerja seperti yang diarahkan secara yang berdisiplin.

"Tukang pemuji ialah memberi pujian menggunakan kata-kata positif kepada rakan yang selesai memberi pandangan atau jawapan.

"Motivator pula berperanan sebagai ahli yang merangsang rakan yang berat mulut untuk bercakap," katanya.

Dalam konteks pembelajaran koperatif itu, aktiviti TMG tidak membenarkan ahli untuk bercakap langsung.

"Setiap ahli dalam kelompok diberikan kad peranan yang sesuai dengan kerja bertulis.

"Pelajar diminta mengeluarkan kertas kosong untuk menulis sesuatu mengikut arahan guru.

"Dengan menggunakan sesuatu bentuk isyarat, guru mengarahkan pelajar menyerahkan kertas yang sudah ditulis kepada seorang rakan di sebelah kiri (bergantung kepada giliran yang dibuat sama ada secara pusingan jam atau lawan jam) sehingga kertas bertukar tangan di antara keempat-empat ahli.

"Guru hendaklah bijak mengatur soalan demi soalan iaitu satu soalan bagi satu pusingan.

"Tujuan akhir aktiviti ini ialah setiap kelompok dapat menghasilkan empat karangan bermakna melalui sumbangan atau tokok tambah berasaskan jawapan kepada rangkaian soalan yang guru kemukakan," kata Naina yang pernah terlibat dengan penggubalan kurikulum pendidikan guru, Bahagian Pendidikan Guru (BPG) sebelum bersara.