Melihat
masalah secara mikro
03.10.2003 [Portal
Pendidikan Utusan]
Oleh: Wahid
Hashim
DARAB,
bahagi, campur dan tolak dalam menyelesaikan masalah disiplin
di sekolah-sekolah masih belum bertemu rumusnya.
Konsep pengetahuan,
kemahiran dan nilai hanya tercerna dalam item-item kertas
soalan, tetapi bukan di dalam diri pelajar.
Pelajar yang
tidak berpengetahuan, tidak menguasai sebarang kemahiran atau
masih kabur apakah nilai-nilai pada dirinya, juga boleh menduduki
kertas soalan peperiksaan.
Mereka gagal,
dan akhirnya menjadi produk sistem pendidikan yang tidak menunjukkan
contoh yang baik.
Skor mata pelajaran
yang dinilai dengan 1A, 2A atau 12 A, tidak memberi sebarang
makna kepada pelajar.
Pada hakikatnya,
berapa `RM' lebih bernilai daripada berapa `A'.
Mungkin kerana
itu, pelajar-pelajar lebih berminat bekerja sebagai pembantu
pam minyak, promoter pusat-pusat membeli belah atau pelayan
restoran-restoran segera berbanding menghabiskan persekolahan
sehingga ke tingkatan lima.
Kejayaan akademik
ada nikmatnya, tetapi ia bersifat abstrak, bukan maujud. Ia
nampak di mata, tetapi tidak boleh dirasa dengan tangan.
Kita masih
gagal mentamsilkan kejayaan dengan objek lain selain daripada
duit.
Di Malaysia,
konsep kausal dalam pendidikan tidak jelas. Ia mungkin ada
kaitan dengan kegagalan kita menyampaikan maksud dengan jelas
dan berterus-terang.
Falasi adalah
darjah keralatan ketika menyampaikan sesuatu mengikut logik.
Untuk menjelaskan
kelogikan, perlu ada tesis, premis utama, premis kecil dan
kesimpulan.
Cuba kita lihat
retorik politik dan penerimaan oleh pelajar. Kita sering menggambarkan
negara kita kaya, makmur, dan selamat.
Premis utama
yang boleh diterima oleh para pelajar dan guru-guru kita ialah
negara kita makmur, negara kita kaya, pemimpin kita berwawasan,
dan negara selamat.
Premis kecil
pula ialah kita tinggal di negara ini, maka kita juga kaya,
kita juga selamat dan kita juga (konon-kononnya) berwawasan
dan oleh itu kita juga makmur.
Akhirnya, pelajar
menjadi selesa.
Secara tidak
langsung, maka di sekolah-sekolah kita diajar logik-logik
yang seperti ini.
Pada hakikatnya,
kesedaran politik berkali-kali ganda lebih hebat daripada
kesedaran untuk survival.
Inilah bahayanya
priming, ideologi, propaganda, pemujukan dan framing kalau
tidak disalurkan kepada tujuan yang sebenar-benarnya dala
sistem pendidikan.
Tanpa kita
sedari, dalam satu persekitaran pembelajaran di dalam bilik
darjah, berlaku fenomena petitio principii, atau kebenaran
kepada sesuatu kesimpulan tidak dibuktikan dengan bersungguh-sungguh,
kecuali sekadar menjangkakan kebenaran itu di bahagian-bahagian
tertentu penghujahan.
Hal ini menyebabkan
berlaku salah tanggapan di kalangan pelajar.
Sebagai contoh,
kita menceritakan secara terperinci apa yang boleh kita beli
dengan duit yang banyak, tetapi tidak boleh dihuraikan bagaimana
untuk mendapat duit yang banyak.
Begitu juga
adakalanya berlaku ungkapan samar atau ekuivokasi dalam aktiviti-aktiviti
pendidikan.
Sebagai contoh
kita mengadakan aktiviti Bulan Kemerdekaan di sekolah.
Kita mengarahkan
pelajar membuat bendera terpanjang, sambil berkata, nanti
nama sekolah kita naik atau nanti nama kelab pengawas harum
kerana tercatat dalam Malaysian Book of Records atau sebagainya.
Kita tidak
berkata, "Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan negara,
dan siapnya sebuah bendera terpanjang bermakna kita mendaulatkan
Jalur Gemilang dengan cukup bersungguh-sungguh."
Falasi yang
paling nyata dan kerap berlaku ialah non sequitur, atau secara
literalnya boleh diterjemahkan sebagai "ia tidak sepatutnya
begitu."
Lihat contoh
berikut:
"Kamu akan
gagal kalau tidak belajar bersungguh-sungguh; sekolah ini
akan berasa malu kerana peratusan lulus pelajarnya akan jatuh."
Barangkali
kita setuju dengan kebenaran kenyataan kedua, tetapi ia tiada
apa-apa kaitan dengan kesimpulannya.
Begitu juga,
fenomena non sequitur berlaku apabila sistem pendidikan hendak
melahirkan pelajar yang holistik dan menyeluruh, namun pentaksiran
peperiksaan lebih berminat untuk menguji pengetahuan dan kemahiran,
dan menekankan format.
Selain itu,
kerap juga berlaku kesalahan analogi.
Kita bukan
menjadikan analogi sebagai percontohan, tetapi sebagai bukti.
"Kamu jangan
degil, nanti kamu jadi seperti Ali, dulu rajin kemudian malas,
dan akhirnya gagal seperti kamu."
Lebih baik
ditunjukkan markah yang merosot berbanding menjadikan orang
lain sebagai contoh yang negatif.
Malah guru
meminta muridnya diam, dan mengherdik:
"Saya suruh
diam kenapa tidak mahu diam? Saya belasah nanti baru awak
tahu. Sekarang banyak kes belasah-membelasah di asrama penuh."
Guru salah
mengaitkan kata kerja belasah dengan motif asalnya, iaitu
meminta pelajar diam, dan kes gangsterisme di sekolah berasrama.
Kita sering
juga menunjukkan kejahilan terhadap bukti. Fenomena Ignorantio
Elenchi ini berlaku kerana kita kekurangan fakta atau kemahiran
untuk membuktikan sesuatu.
Sebagai contoh,
kita hendak membuktikan bahawa malas menyebabkan kegagalan.
Kita mengemukakan statistik pelajar malas dengan keputusan
peperiksaan mereka.
Tetapi, kita
tidak menghuraikan bagaimana malas boleh menyebabkan pelajar
gagal.
Bagaimana kita
mentamsilkan kejayaan akademik dengan objek lain, selain daripada
RM, merupakan perkara yang harus difikirkan bersama-sama.
Kita sebenarnya
masih tercari-cari rumus yang sesuai supaya pelajar berminat
datang ke sekolah dan mahu belajar bersungguh-sungguh.