Disiplin
pelajar-Kadangkala berpunca daripada guru
03.09.2003 [Portal
Pendidikan Utusan]
Oleh: Marzita
Abdullah
GURU sendiri kadangkala boleh menjadikan
pelajar hilang disiplin, kata tiga profesor madya dari Universiti
Sains Malaysia (USM), hasil penyelidikan selama lapan bulan
di dua buah sekolah di Johor baru-baru ini.
Melabel individu pelajar sebagai "jahat"
akan akhirnya menjadikan pelajar menerima diri mereka seadanya
memang jahat.
"Surat Putih yang dikeluarkan berkali-kali
walaupun kerana kesalahan kecil turut menjadikan sipenerimanya
bingung," kata juru cakap kumpulan itu, Prof. Madya Dr. Aminah
Ayob.
Sedangkan bagi guru, kata Aminah, Surat
Putih terpaksa dikeluarkan kerana masalah disiplin yang terlalu
banyak.
Dalam kajian kes itu, urusan pengeluaran
surat menyurat yang berkaitan disiplin telah dirujuk sebagai
"di bawah tanggungjawab sistem pentadbiran sekolah.'
Surat Putih merujuk kepada surat yang
diberikan kepada pelajar atas kesalahan disiplin yang telah
dilakukan.
Mendapat Surat Putih bermakna salah
laku disiplin yang dilakukan oleh pelajar akan direkodkan
di dalam buku rekod peribadi masing-masing.
Turut melakukan penyelidikan ialah Prof.
Madya Dr. Mokhtar Ismail dan Prof. Madya Dr. Khadijah Zon.
Mereka adalah penyelidik dari Pusat
Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM).
Penyelidikan dilakukan di dua buah sekolah
di Johor Bahru yang mempunyai masalah disiplin tertinggi.
Seramai 60 orang pelajar tingkatan 4
terlibat dalam kajian tersebut.
Aminah menambah, rasa tidak puas hati
dengan sistem mengundang rasa tidak seronok ke sekolah dan
benci pada sekolah.
"Kesalahan pelajar tidaklah serius,
tetapi surat putih dikeluarkan juga," kata Aminah.
Ini menyebabkan pelajar merasakan mereka
telah disenaraihitamkan dan rekod mereka menjadi buruk.
Sehingga ke satu tahap, label "jahat"
itu secara tidak langsung memusnahkan harapan pelajar dan
memesongkan pendirian mereka sehingga ada yang melabel diri
sendiri sebagai, "tidak berguna dan tidak akan berjaya."
Dengan sendirinya keadaan ini akan mematikan
semangat pelajar bermasalah disiplin untuk mengubah sikap.
Kata Aminah, banyak juga sebab-sebab
lain yang mendorong pelajar terlibat dalam masalah salah laku
dan disiplin.
Lebih lapan bulan kumpulan penyelidik
itu berada dalam kumpulan pelajar terlibat di sekolah itu
untuk memerhati dan menyelidik punca berlakunya masalah disiplin
di sekolah berkenaan.
Ia meliputi ponteng sekolah, bertumbuk,
pergaduhan ala gangster, pergaduhan beramai-ramai antara kaum,
mencuri wang, melepak.
Berambut panjang, menghisap rokok, memukul
dan membuli, berkelakuan samseng seperti memeras ugut, memukul
orang, mengeluarkan perkataan lucah, menghidu gam dan terlibat
dengan lumba motor haram.
Mengikut laporan kajian itu, semua kes-kes
berkenaan berlaku di luar sekolah.
Kesalahan disiplin di sekolah yang dilaporkan
ialah seperti melanggar peraturan sekolah, datang lewat, ponteng
kelas, tidak membuat kerja rumah, melawan guru dan biadab
terhadap guru.
Kajian di kedua-dua buah sekolah itu
mendapati ramai di kalangan pelajarnya yang didapati tidak
sembahyang atau tidak mendalami hal ajaran agama (baik Islam
atau agama lain).
Faktor keluarga turut menyumbang kepada
masalah disiplin pelajar.
"Ibu bapa tidak cuba untuk memahami
dan mendalami kesukaran yang dihadapai oleh anak-anak di sekolah,"
kata Aminah.
Mereka juga kurang memberikan perhatian
terhadap anak-anak dari segi perasaan dan bimbingan akademik.
Ujarnya, hal ini menyebabkan pelajar
ke sekolah hanya untuk memenuhi kehendak autoriti.
Akibat tiada dorongan katanya, pelajar
tidak bersemangat untuk belajar dan tiada dorongan untuk mencapai
kejayaan, apa lagi berlumba dalam pendidikan.
Sekali lagi, kajian oleh ketiga pakar
itu mendapati kesibukan mencari rezeki menyebabkan ibu bapa
tidak mempunyai cukup masa berkualiti dengan anak-anak.
"Pelajar yang terlibat dalam salah laku
disiplin itu, kesemuanya adalah dari kalangan anak-anak yang
tidak mendapat kemesraan hubungan keluarga di rumah," kata
Aminah.
Perasaan tidak puas hati, marah, geram,
sedih dan lain-lain mulai berbaur dan memupuk kerana tidak
siapa yang ambil peduli, kata Aminah.
Justeru, pelajar mengeluarkan dan meluahkan
perasaan melalui tindakan yang dilarang.
"Mungkin semata-mata untuk mencari perhatian,"
ujarnya.
Contohnya, mereka merokok, bergaduh,
menghisap ganja, berjudi, vandalisme dan sebagainya, walaupun
pada asalnya cuma untuk mencuba atau bermain-main sahaja.
Menurut Aminah, hasil daripada kajian
kumpulan penyelidik berkenaan turut melaksanakan Program Intervensi
bagi memperbaiki atau memperbetulkan sesuatu perkara yang
berlaku dengan cara mengubah tingkah laku atau pemikiran orang-orang
yang terlibat.
Beliau menjelaskan, pendekatan kumpulan
pengkaji tersebut ialah menganalisis masalah disiplin yang
dilaporkan oleh pihak sekolah dan mengkaji kemungkinan sebab-musababnya.
Kemudian, kata beliau, barulah dia dan
rakan sejawatannya merangka program untuk membantu pelajar-pelajar
yang terlibat supaya mengubah tingkah laku.
Ke arah itu, ujarnya, mereka akan cuba
mengalihkan sikap para pelajar bermasalah disiplin itu daripada
negatif kepada positif terhadap sekolah dan pembelajaran.
Katanya, setakat ini mereka telah berjaya
melaksanakan intervensi ini dan mencapai kesan yang sangat
menggalakkan.
"Sebenarnya, pelajar bermasalah sosial
dan disiplin tidak mendapat perhatian di rumah," ujarnya.
Selain faktor-faktor tersebut, kajian
itu juga mendapati kebanyakan daripada pelajar yang terjebak
dengan masalah sosial dan disiplin ini adalah daripada keluarga
yang pendapatan sederhana dan rendah, ramai ibu bapa yang
bekerja kilang atau bekerja di Singapura.
"Keadaan di rumah juga tidak terjaga
dan tidak ada yang menjaga mereka," katanya.
Selain itu, menurut Aminah, ada juga
yang datang daripada keluarga yang ibu bapa telah bercerai,
atau ibu bapa yang telah meninggal dunia.
"Maka, mereka tinggal bersama ibu atau
bapa tiri atau nenek atau abang dan sebagainya," katanya.
Ditanya bagaimana untuk menyelesaikan
masalah itu, Aminah berkata, beliau dan rakan-rakannya itu
membina program kasih dan sayang serta penghayatan tentang
keberuntungan diri berlandaskan teori keperimanusiaan atau
humanistik.
Ini kerana, tegas Aminah, mereka percaya
bahawa pelajar yang sedang menghadapi masalah seharusnya didampingi
dengan cara yang paling halus dan lembut, berperikemanusiaan
dan penuh simpati.
Oleh itu, mereka menggunakan pendekatan
kendiri iaitu merangsang pelajar menangani masalah yang mereka
hadapi secara bersungguh-sungguh.
Beliau menambah, secara tidak langsung
mereka telah dapat menguasai diri sendiri dan menyedari hakikat
dan tanggungjawab yang mereka perlu laksanakan sebagai seorang
pelajar dan anak.
"Kami cuba meningkatkan keyakinan diri
pelajar bagi mengelak atau berhenti daripada melakukan kesalahan-kesalahan
disiplin di sekolah atau terlibat dengan gejala-gejala buruk
di luar sekolah," katanya.
Selain itu kumpulan penyelidik cuba
`menjinakkan' semula pelajar-pelajar ini supaya berbalik kepada
tanggungjawab mereka untuk belajar dan meningkatkan motivasi
belajar dan meningkatkan pencapaian akademik mereka.
Pendekatan itu dijalankan dengan cara
berikut:
i) Menimbulkan perasaan sayang di antara
pelajar.
ii) Menimbulkan kesedaran terhadap keberuntungan
diri sendiri (yang serba serbi sempurna) berbanding dengan
orang yang malang dan ditimpa kecelakaan.
iii) Menghayati kurniaan Tuhan pada
bakat yang ada pada diri sendiri.
iv) Merenung kelemahan diri sendiri,
menyedari dan menyesali perbuatan dan kesilapan lepas. Berazam
untuk berubah.
v) Membina wawasan untuk memajukan diri,
keluarga dan orang-orang yang disayangi.
vi) Melahirkan motivasi belajar melalui
cara-cara yang inovatif.
Aktiviti-aktiviti di dalam program
intervensi ini ialah seperti berikut: Program Sayang, Aku
Simpati Dengan Nasib Mu, lawatan ke wad psikiatrik , Suria
Tetap Menyinar, `My study Time-table', Belajar melalui Internet,
Cermin Diri dan Fitrah ku di mana?, Membina Wawasan Masa Depan.
Sebuah pusat sokongan diwujudkan di
sekolah untuk menjalankan aktiviti berkenaan.
Bilik itu dinamakan MAWAR MERAH iaitu
mawar yang melambangkan sayang dan kebebasan, juga pengorbanan.
Seorang pekerja sosial ditugaskan sebagai
fasilitator dalam bilik berkenaan dan pelajar boleh datang
ke bilik ini bila-bila mereka rasa bosan belajar - asalkan
ada kebenaran daripada guru.
Menurut Aminah, hasil pemerhatian penyelidik,
sesi intervensi yang dijalankan telah berjaya mengembalikan
keyakinan diri pelajar-pelajar ini ke arah yang lebih positif
dan optimistik.
Secara berperingkat-peringkat pelajar-pelajar
bermasalah disiplin ini telah dibantu untuk mengenali diri
mereka dan menyedari kesilapan tindakan mereka.
"Mereka menyesal serta berazam untuk
memperbaiki diri mereka pada masa hadapan," katanya.
Menurut Aminah, kumpulan pelajar ini
mengikuti setiap sesi di bawah Program Kumpulan Dinamik.
Program itu meliputi sesi pengenalan
hingga ke sesi penyelesaian masalah.
"Penghargaan kendiri yang dicapai kemudian
diperkukuhkan lagi melalui aktiviti-aktiviti dalam Program
Sayang dan Program Aku Simpati Dengan Nasibmu," kata Aminah.
Seterusnya, proses pemantauan dilakukan
untuk melihat perkembangan diri setiap pelajar bagi setiap
sesi intervensi.
Di samping itu, tambah Aminah, para
pelajar itu turut diberikan nasihat peribadi sebanyak dua
atau tiga kali.
Pada akhir program intervensi, 33 peratus
pelajar ini menunjukkan perubahan yang sangat positif dan
penurunan bilangan hari ponteng sekolah dari 22 peratus hingga
68 peratus.
Di samping itu keputusan peperiksaan
akhir tahun mereka juga turut meningkat, ujar Aminah.
"Hal ini menunjukkan bahawa minat dan
motivasi untuk belajar telah wujud semula dalam diri mereka
hasil daripada program intervensi ini," katanya.
Yang cukup membanggakan, katanya, ada
beberapa pelajar yang benar-benar berjaya sehingga dapat meningkat
ke kelas yang lebih baik.
Bagi Aminah dan rakan-rakannya, perubahan
positif diri pelajar dari segi tingkah laku dan minat terhadap
pelajaran, didapati adalah didorong oleh rasa puas hati pelajar
lantaran keperluan diri dari segi keperluan asas dan penghargaan
kendiri telah dapat dipenuhi.
"kini, mereka dapat merasakan bahawa
diri mereka lebih dihargai," katanya.
Seterusnya, tambah beliau, keadaan ini
telah menimbulkan rasa keyakinan diri yang lebih tinggi terhadap
diri sendiri.
Apabila keyakinan dan penghargaan terhadap
diri sendiri telah wujud, maka mereka dapat berfikir secara
positif dan setiap tindakan mereka adalah secara rasional
dan terkawal, kata Aminah.