'Mat pot'
dan kaki pukul di SBP
03.09.2003 [Portal
Pendidikan Utusan]
Oleh: RAJMAH
HASAN SHIRAT
BANYAK punca yang mencetuskan
pergaduhan di kalangan pelajar sekolah.
Tinjauan Utusan Malaysia ke
atas bekas-bekas pelajar terutama sekolah berasrama penuh
(SBP) mendapati adakalanya pergaduhan disebabkan perkara kecil
tetapi sengaja diperbesar-besarkan.
Sebagai contoh, ada kalanya
pelajar junior yang keras kepala dan tidak menghormati pelajar
senior.
Kalangan pelajar senior menggelar
pelajar junior itu `mat pot' dan menganggap mereka perlu `dikerjakan'
kerana enggan bekerjasama.
Sikap ego `mat pot' itu kerana
sebahagian besar mereka mempunyai latar belakang keluarga
berpengaruh.
Lebih memburukkan keadaan apabila
pihak sekolah menerusi guru disiplin dan warden tidak dapat
menjalankan peranan mereka dengan baik berikutan campur tangan
pihak luar.
Keadaan itu mendorong pelajar
yang tidak berpuas hati mengambil tindakan sendiri untuk menyelesaikan
masalahnya yang dipinggirkan.
Berbekalkan pengalaman buruk
itu, pelajar terbabit mencari pengaruh lain dan membentuk
satu kumpulan bagi memudahkan tindakan diambil ke atas `mat
pot'.
Pelajar `mat pot' juga tidak
bodoh dan membentuk kumpulannya sendiri bagi mendapatkan perlindungan
diri.
Rentetan daripada itu, maka
terbentuklah dua kumpulan berlainan pengaruh dan ideologi
sehingga mencetuskan permusuhan berpanjangan.
Keadaan seperti itu yang dibiarkan
akan menjadi berlarutan dan menyebabkan pergaduhan berlaku.
Begitu pun, kes-kes kecil lain
seperti pelajar lemah dibuli pelajar kuat, masalah cemburu
kerana berebutkan perempuan, antara faktor yang menyumbang
kepada pergaduhan.
Kes berat iaitu pelajar terbabit
dengan kegiatan kongsi gelap dengan pihak luar.
Berikut adalah punca-punca
yang dikenal pasti membawa kepada kejadian pergaduhan pukul
di kalangan pelajar sekolah:
- Ragging atau buli
- Pelajar `mat pot' iaitu antiragging
- Kes kecil seperti usik mengusik,
cabar mencabar dan ejek mengejek
- Perselisihan faham
- Melabelkan seseorang dengan
gelaran yang memalukan
- Menunjukkan isyarat lucah
- Mencabuli hak asasi seseorang
- Masalah cemburu
- Serangan bermotifkan dendam
- Budaya ala samseng
- Kegiatan peras ugut oleh
pelajar-pelajar senior untuk mendapatkan wang perlindungan
- Aktiviti kongsi gelap
- Guru kurang cekap menangani
masalah disiplin pelajar
- Pembahagian dan pengelasan
ke atas pelajar-pelajar
- Penubuhan kelab-kelab yang
membawa fikrah dan ideologi berbeza pelajar
- Jurang pergaulan yang berbaur
kenegerian, perkauman dan status yang mencetuskan permusuhan
- Campur tangan pihak luar
yang mempunyai kuasa dan kedudukan
- Kecuaian warden di asrama
- Pengaruh persekitaran mendorong
perlakuan ganas pelajar di sekolah
- keganasan rumah tangga dan
pergaduhan ibu bapa di rumah
- filem-filem ganas, pergaduhan
dan pembunuhan yang boleh mempengaruhi tingkah laku pelajar
mudah didapati sama ada menerusi tayangan televisyen dan video
cakera padat (VCD)
- Kurang pengisian agama