Hujah
keberkesanan Sains, Matematik dalam bahasa Inggeris palsu!
Khamis, 23.10.2003
[Harakahdaily]
Oleh: SHAHARIR MOHD ZAIN dan WAN RAMLI
WAN DAUD
PADA 8 September 2003, seperti yang diduga sejak kerajaan
berkeras mahu bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains
dan Matematik Sekolah (SMS) itu, media massa kita menyerantakan
hasil penyelidikan Kementerian Pendidikan kita bahawa pengajaran
SMS dalam bahasa Inggeris berjaya meningkatkan prestasi pelajar
sekolah dalam dua mata pelajaran tersebut.
Agaknya, sekali
gus kerajaan cuba membulatkan lagi pendapat awam (yang silap)
bahawa pelajar daripada orang-orang Inggeris (U.K, A.S., Australia,
N. Zealand dan Kanada) dan pelajar di negara-negara membangun
yang telah lama menggunakan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikannya
(seperti Brunei, Philippina, dan Afrika Selatan) berpresatasi
sains dan matematik yang jauh lebih baik daipada pelajar-pelajar
lain, atau tiada masalahnya?
Tetapi yang lebih penting disedari ialah betapa hasil kajian
itu tidak bernilai sama sekali (iaitu “bohongan statistik”
sahaja) kerana sekurang-kurangnya empat sebab.
Pertama, kajian ini tidak objektif langsung kerana pengkaji
upahan manakah yang akan memberi hasil kajiannya yang sebaliknya
kerana penajanya (kerajaan) telah pun membuat keputusan kebaikan
dasar itu dan akan dilaksanakan dengan peruntukan yang besar
“walaupun tidak popular, kerana kerajaan yakin inilah yang
terbaik untuk negara”.
Kedua, kajian itu bertentangan dengan kaedah sains (kaedah
statistik) kerana tiadanya kawalan yang meyakinkan, iaitu
tiadanya sekolah yang menjalankan pendidikan sains dan matematik
dalam bahasa Melayu dalam persekitaran yang sama (guru yang
sama berkebolehan, satu kumpulan pelajar yang boleh dibandingkan
kemampuannya dengan kumpulan sasaran, alat-alat yang sama
dan sebagainya) dengan yang dilakukan dalam bahasa Inggeris
itu.
Ketiga, jumlah ujikaji atau cubaan yang tidak mencukupi, iaitu
hanya satu-dua kali ujian/penilaian sahaja.
Keempat, hasil kajian ini bertentangan dengan intuisi atau
dengan deria biasa pun, serta dengan kebanyakan hasil kajian
yang dibuat di merata dunia sejak tahun 1970-an dahulu lagi
sehingga kita sewajarnyalah mempersoalkannya.
Yang tidak kurang menjengkelkan ialah reaksi akhbar dan/atau
Perdana Menteri kita terhadap hasil penyelidikan ini seperti
yang dilaporkan dalam akhbar-akhbar perdana 8 September 2003
(Utusan Malaysia dan Berita Harian).
Perdana Menteri kita dilaporkan seolah-olah memulangkan paku
buah keras kepada penentang dasar ini sambil memberi tambahan
nilai lagi kepada hasil penyelidikan yang menggembirakannya
itu, dengan katanya, “bukankah lebih baik lagi jika kita belajar
ilmu dalam bahasa asalnya (maksudnya Inggeris)?”
Kemudian beliau juga dilaporkan merasionalkan lagi hasil penyelidikan
itu, dengan katanya, “jika kita terus menterjemah, berfikir
dalam dua bahasa, maka kita akan dapati kemampuan kita untuk
menyerap ilmu kurang sedikit”; “mempelajari (Sains dan Matematik)
dalam bahasa Inggeris juga mengurangkan banyak kekeliruan…
contohnya ‘potassium’ yang diterjemah ‘kalium’ dalam bahasa
Melayu”; “peningkatan pencapaian pelajar itu (dalam Sains
dan Matematik) tidak menghairan kerana melalui penggunaan
bahasa Inggeris, mereka dapat memberi tumpuan yang lebih kepada
pengetahuan dan tidak terganggu dengan masalah untuk menterjemahkan
bahasa…. tetapi jika kita menggunakan hanya satu bahasa, iaitu
bahasa Inggeris dan maklumlah sains pula bukannya mata pelajaran
Melayu, saya tidak terkejut yang pencapaian para penuntut
ini menjadi lebih baik”.
Andaian bahawa bahasa asal ilmu ialah bahasa Inggeris adalah
andaian yang palsu yang datang dari jiwa-jiwa hamba yang tersekap
mindanya, atau jiwa-jiwa yang tahu sejarah sebenar sains dan
matematik tetapi sengaja mahu membuat fitnah demi kepentingannya
sahaja.
Bahasa asal ilmu sains dan matematik sekolah ialah bahasa
Yunani, Arab, Latin dan Perancis.
Sarjana Inggeris sendiripun berkarya sains dan matematik dalam
bahasa Latin dan Perancis hingga abad ke-18.
Sains dan matematik peringkat universiti sedikit sahaja asalnya
dalam bahasa Inggeris. Ambil sahaja fizik universiti: fizik
klasik asalnya hampir semuanya dalam bahasa Yunani, Arab,
Latin, Perancis atau Jerman.
Satu daripada unsur fizik klasik yang besar memang selalu
disebut hasil sumbangan ahli sains agung Inggeris, Newton,
tetapi itupun asalnya dalam bahasa Latin kerana beliau dan
ahli sains Eropah pada zaman itu masih menggunakan bahasa
Latin sebagai bahasa ilmunya.
Unsur fizik klasik yang asalnya dalam bahasa Inggeris hanyalah
fizik elektromagnet klasik kerana jaguhnya Faraday dan Maxwell
memang Inggeris yang berkarya dalam bahasa Inggeris pada abad
ke-19, iaitu abad Inggeris mulai sedar perlunya mereka menggunakan
bahasanya sendiri dalam sains dan matematik.
Fizik moden yang terdiri daripada teori kenisbian, dan teori
kuantum hampir semuanya berasal daripada bahasa Perancis atau
Jerman.
Tokoh yang diagungkan abad ke-20, Einstein, yang disinonimkan
dengan teori kenisbian itu berkarya besarnya hanya dalam bahasa
Jerman.
Teori-teori besar dalam matematik seperti teori set, teori
fungsi, analisis, analisis fungsian, teori pengoperasi, topologi,
homotopi, dan topologi, semuanya bukan ciptaan/binaan/karya
dalam bahasa Inggeris tetapi Perancis, Jerman, Rusia, Belanda
dan Poland.
Sebenarnya ilmu sains dan matematik sehingga peringkat universiti
yang kita cuba kuasai itu semuanya ilmu terjemahan kepada
bahasa Inggeris sahaja!
Andaian bahawa selama ini, ketika SMS diajar dalam bahasa
Melayu, para pelajar dan gurunya asyik menterjemah, berfikir
dalam bahasa Inggeris-Melayu sehingga membantut pemahaman
ilmu dan mengurangkan kemampuan menyerap ilmu itu juga satu
yang diada-adakan sahaja.
SMS kita telah begitu lama dalam bahasa Melayu sehingga hampir
semua guru begitu selesa mengajar ilmu ini dalam bahasa Melayu
sahaja.
Sebenarnya, perkara yang diada-adakan itu mungkin sekali berlaku
sekarang apabila para guru dipaksa mengajar dalam bahasa Inggeris
dan pelajar pun amat sedikit yang menghayati bahasa Inggeris
dalam kehidupannya sehingga segala-galanya diproses dalam
bahasa Melayu atau bahasa ibundanya yang lain dahulu sebelum
diluahkan ke dalam bahasa Inggeris!
Perkara yang disebut sebagai kekeliruan kerana terjemahan
itu pada amnya tidak pernah berlaku di kalangan guru, apatah
pelajar, kerana mereka ini menerima sahaja segala macam istilah
dalam buku teks itu.
Malah sains dalam bahasa Inggeris pun banyak yang salah terjemah
(dari Arab, Latin, Perancis dan Jerman itu) tetapi tidak pernah
menjadi masalah kepada pelajar atau guru Inggeris.
Umpamanya, istilah-istilah dalam trigonometri (drp bahasa
Arab) banyak yang disalah-terjemah oleh sarjananya dahulu
tetapi dipakai hingga sekarang, dan tiada masalahnya!
Contoh kekeliruan terjemahan ‘potassium’ kepada ‘kalium’ dalam
bahasa Melayu itu pula sama sekali contoh yang salah atau
tidak relevan dengan isu yang dibangkitkan kerana ‘kalium’
ialah istilah sains antarabangsa yang perlu diketahui oleh
setiap pelajar sains di dunia ini, termasuk pelajar dalam
bahasa Inggeris, sedangkan perkataan Inggerisnya ‘potassium’
itu tidak pula perlu diketahui oleh semua bangsa yang belajar
sains di dunia ini samalah denga perkataan Inggeris yang lain
dalam kategori ini, iaitu iron, gold, lead, dan silver.
Hanya pelajar dalam bahasa Inggeris terpaksa mengetahui kedua-dua
istilah ini, istilah bahasa Ingggeris harian dengan istilah
sainsnya.
Banyak istilah kimia dan biologi jatuh dalam kategori ini,
iaitu nama biasa dan nama sains, dan ini tidak pernah menimbulkan
masalah dalam pembelajaran sains.
Sesudah mengiktiraf perlunya penggunaan satu bahasa sahaja
dalam pembelajaran sains dan matematik itu apa lojiknya satu
bahasa itu semstinya bahasa Inggeris pula, dan bukan bahasa
Melayu?
Dengan nafas yang sama, lojiknya ialah kerana sains bukan
ilmu Melayu tetapi ilmu Inggeris, adalah lojik yang palsu
kerana sudah dijelaskan sebelum ini sains dan matematik itu
bukan milik Inggeris juga, cuma Inggeris mungkin menterjemah
lebih awal daripada Melayu sahaja!
Kami tetap berpendirian bahawa dasar menjadikan bahasa Inggeris
sebagai bahasa pengantar mata pelajaran Sains dan Matematik
Sekolah adalah suatu kesilapan dan tragedi besar umat Malaysia.
Kami kira umat Malaysia kini dan akan datang akan bertambah
sanjungan dan penghormatannya lagi kepada kerajaan kini jika
kerajaan tidak teragak-agak mengaku kesilapan ini dan memperbaiki
keadaan dengan seberapa segeranya.
------------
Prof. Dr. Shaharir bin Mohamad Zain, Profesor Matematik Fizik
UKM adalah Presiden Asasi; Prof. Dr. Ir. Wan Ramli bin Wan
Daud, Profesor Kejuruteraan Kimia UKM, adalah Setiausaha Agung
Asasi.