|
Pendidikan
Berdaya Fikir dalam Pengajaran Tatabahasa
Oleh
Abdul Ghalib Yunus (Dewan Bahasa Jun 2003)
Pada
tahun 1992, penekanan kepada aspek Kemahiran Berfikir secara
Kritis dan Kreatif (KBKK) telah dilaksanakan oleh Kementerian
Pendidikan Malaysia. Namun demikian, pelaksanaannya sedikit
terjejas kerana pengajaran di sekolah lebih berorientasikan
peperiksaan. Sebenarnya jika aspek ini dijalankan dengan prosedur
yang betul dan guru memahami konsepnya dengan jelas, kita mampu
melahirkan pelajar yang berdaya fikir khususnya untuk melahirkan
insan yang mampu mendepani alaf baru, khususnya dalam era globalisasi
dan era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Menurut Rajendran, proses pengajaran dan pembelajaran di dalam
bilik darjah masih tidak menggerakkan pelajar ke arah penguasaan
kemahiran berfikir pelajar. Bagi Mohd. Sharifuddin Yusop pula,
dapatan kajian beliau menunjukkan bahawa kebanyakan guru tidak
bersedia untuk menghayati amalan berdaya fikir kerana bekalan
maklumat yang cair melewati tempoh masa. Untuk itu, guru mestilah
bijak membimbing pelajar dengan menyepadukan kemahiran berfikir
dalam pengajaran.
Berfikir atau pemikiran seperti yang dijelaskan oleh Dewey,
ialah satu usaha memeriksa atau menimbang sesuatu butiran maklumat
dengan teliti berdasarkan kriteria tertentu. Hal ini serupa
seperti yang dinyatakan oleh Reuggerio, yang menyatakan bahawa
berfikir merupakan satu proses mental yang dilalui seseorang
untuk memperoleh ilmu pengetahuan berdasarkan matlamat atau
tujuan.
Dalam proses berfikir, seseorang itu mempunyai kuasa untuk mengawal
proses yang berlaku. Proses berfikir bermaksud pelajar akan
melalui proses tertentu untuk menangani masalah tatabahasa berdasarkan
pengetahuan yang ada. Melalui proses mental, pelajar melalui
proses berfikir khususnya untuk menangani persoalan mengapa
betul dan mengapa salah dalam sesuatu aspek tatabahasa adan
seterusnya berupaya mencipta rumus tatabahasa.
Penggunaan
Aktiviti Berdaya Fikir dalam Pengajaran Tatabahasa
Dalam
pengajaran Bahasa Melayu di sekolah, aspek tatabahasa diminati
oleh pelajar. Oleh itu, untuk meningkatkan tahap pengajaran,
guru hendaklah menyepadukan kemahiran berfikir dalam setiap
aspek tatabahasa. Sebenarnya, guru boleh menyepadukan aspek
ini dalam ejaan, kata, frasa, klausa, dan ayat. Dalam hubungan
ini, guru mestilah dapat mengeksploitasikan kebolehan atau daya
berfikir pelajar supaya mereka mampu menyelesaikan masalah tatabahasa
yang timbul. Dalam penyerapan aspek kemahiran ini, guru mestilah
bijak memanpulasikan Kemahiran Berfikir Aras Rendah (KBAR) dan
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
KBAR, jika berdasarkan taksonomi Bloom, melibatkan aras pengetahuan
dan kefahaman. Pada peringkat ini, pelajar perlu melakukan proses
membandingbezakan, membuat huraian, atau menyenaraikan maklumat
yang pernah dipelajari. Dalam pengajaran tatabahasa, aspek-aspek
yang bersifat teknikal seperti ejaan dan istilah dapat diselesaikan
oleh pelajar dengan menggunakan KBAR. KBAT pula melibatkan
proses membuat aplikasi, analisis, sintesis, dan penilaian.
Menurut Onosko dan Newmann, seseorang itu hendaklah menggunakan
potensi minda untuk menangani cabaran baru.
Dalam menghadapi masalah tatabahasa, seseorang pelajar itu perlu
melakukan proses memahami, menterjemah, menganalisis, dan memanipulasikan
maklumat. Selepas itu, pelajar akan menilai maklumat secara
kritis, kemudian membuat inferens dan akhirnya membuat generalisasi.
Dalam aspek tatabahasa, pelajar boleh membuat generalisasi dan
seterusnya mencipta rumus untuk meningkatkan kefahaman tentang
sesuatu aspek tatabahasa, khususnya yang berkaitan dengan morfologi
dan sintaksis.
Kemahiran
Berfikir Aras Rendah (KBAR) dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi
(KBAT)
KBAR
dalam pengajaran dan pembelajaran tatabahasa merupakan peringkat
yang paling asas. Pada peringkat ini, pelajar perlu mengenal
kata dan membezakan jenis kata. Selain itu, pada peringkat ini
juga pelajar seharusnya dapat mengenal frasa, klausa, dan ayat
serta jenis-jenisnya. Manakala aspek KBAT pula ialah kemahiran
menyelesaikan masalah tatabahasa. Banyak pengguna bahasa yang
keliru tentang sesuatu aspek bahasa. Hal ini berlaku kerana
media massa sama ada media cetak atau media elektronik menggunakan
bahasa mengikut keselesaan mereka yang dikatakan laras media.
Kesalahan bahasa yang terdapat dalam media mempengaruhi pengguna
bahasa, khususnya pelajar sekolah. Untuk mengatasi masalah ini,
pelajar haruslah didedahkan tentang gejala kesalahan bahasa
tersebut supaya mereka dapat membezakan bahasa yang gramatis
dengan bahasa yang tidak gramatis.
Selain itu, KBAR dan KBAT dapat digunakan oleh guru untuk membantu
pelajar membina ramus tentang sesuatu peraturan atau hukum bahasa.
Melalui cara ini, pelajar diajarkan supaya tidak menghafal peraturan
tanpa mengetahui sebab-sebabnya. Sebaliknya, pelajar dibimbing
supaya mengkaji, meneliti, menilai, memahami, dan seterusnya
mencipta rumus tentang sesuatu sistem bahasa. Pada akhirnya
nanti, pelajar akan dapat memahami peraturan tersebut dan dapat
mengaplikasikannya dengan betul.
|
|