Budaya
Bangau Oh Bangau dalam Bahasa Melayu
Oleh Nawi Ismail (Pelita Bahasa
Mei 2003)
SETIAP
bahasa mempunyai peraturan bahasa atau tatabahasa yang tersendiri.
Peraturan tersebut perlu dikuasai oleh pengguna bahasa untuk
membolehkan mereka menggunakan bahasa dengan betul bagi menyampaikan
idea. Dalam konteks bahasa Melayu, aspek tatabahasa bahasa Melayu,
khususnya, mula diperkenalkan kepada pelajar ketika mereka berada
di sekolah rendah lagi. Perkara yang sama diulang dan diperluas
di sekolah menengah.Ringkasnya, setiap pelajar sudah pun mempelajari
tatabahasa bahasa Melayu tidak kurang daripada 10 tahun sebelum
menduduki Sijil Pelajaran Malaysia. Namun, amat malang sekali
apabila kenyataan membuktikan bahawa majoriti pelajar tidak
menguasai tatabahasa bahasa kebangsaan kita dengan baik sehinggalah
mereka meninggalkan alam persekolahan.
Kegagalan pelajar menguasai aspek ini dapat dikesan dengan mudah
apabila karangan atau latihan bertulis pelajar dirujuki. Kelemahan
tersebut pasti lebih ketara dalam perbualan mereka sehari-hari.
Antara aspek asas tatabahasa yang hampir pasti digunakan dalam
setiap penulisan, khususnya karangan dan sering pula terdapat
kesalahan, termasuklah ketidaktepatan penggunaan kata sendi
nama, kegagalan mematuhi hukum D-M, penggunaan imbuhan yang
salah, dan binaan ayat yang tidak gramatis.
Sebagai contoh, kegagalan pelajar untuk membezakan penggunaan
kata sendi nama dari daripada daripada begitu ketara. Penggunaan
kata sendi nama akan dan akhiran -kan selalu bertukar
ganti. Demikian juga penggunaan dua kata sendi nama serentak,
iaitu demi untuk, sudah menjadi kelaziman bagi sesetengah pelajar.
Selain itu, penggunaan kata sendi nama pada dan kepada
pula seolah-olah perkara yang sukar sekali difahami. Kesalahan
penggunaan imbuhan tertentu pula kerap terjadi. Perhatikanlah
contoh kesalahan tersebut dalam ayat yang berikut yang dipetik
daripada karangan pelajar.
1a. *Kerajaan ingin
mempastikan bahawa pertubuhan itu tidak lari dari matlamat asal
penubuhannya.
1b. Kerajaan ingin
memastikan bahawa pertubuhan itu tidak lari daripada
matlamat asal penubuhannya.
2a. *Ibu bapa bertindak
sedemikian kerana mereka sayangkan anak mereka.
2b. Ibu bapa bertindak
sedemikian kerana mereka sayang akan anak mereka.
3a. *Ibu bapa sanggup
melakukan apa-apa sahaja demi untuk masa depan anak.
3b. Ibu bapa sanggup
melakukan apa-apa sahaja demi / untuk masa depan anak.
4a. *Berbagai-bagai
bantuan telah diberikan oleh pihak kerajaan pada mereka.
4b. Berbagai-bagai
bantuan telah diberikan oleh pihak kerajaan kepada mereka.
Oleh sebab kelemahan tersebut pasti
menjejaskan prestasi Bahasa Melayu pelajar dalam peperiksaan,
guru Bahasa Melayu selalunya mengambil langkah tertentu untuk
menanganinya. Kebiasaannya, semasa menyemak kerja bertulis pelajar,
guru turut menandakan kesalahan tatabahasa yang terdapat dalam
tugasan yang dihasilkan. Setelah memberikan penjelasan tentang
sesuatu kesalahan, pelajar diminta membuat pembetulan. Ada juga
guru yang memberikan panduan bertulis tentang tatabahasa kepada
pelajar sebagai ikhtiar tambahan. Usaha lain termasuklah meminta
pelajar mengesan kesalahan tatabahasa dalam teks yang disediakan
oleh guru sebagai salah satu aktiviti pengajaran dan pemelajaran
Bahasa Melayu.
Semua aktiviti itu dilaksanakan untuk mengukuhkan kefahaman
pelajar tentang sesuatu konsep atau maklumat yang berkaitan
dengan tatabahasa. Anehnya, kefahaman pelajar dalam hal ini
tidak kekal lama. Selang beberapa hari, terdapat juga pelajar
yang mengulangi kesalahan yang sudah pun difahami terdahulu.
Dengan hal demikian, banyaklah masa guru Bahasa Melayu terbuang
kerana terpaksa mengajarkan perkara yang sama atau hampir sama
dari semasa ke semasa meskipun menyedari keberkesanannya tidak
seberapa.
Sebagai guru Bahasa Melayu di sekolah, penulis turut berhadapan
dengan masalah ini secara yang berterusan. Sehubungan dengan
hal itu, penulis pernah berbincang dengan pelajar untuk mendapatkan
reaksi mereka tentang permasalahan yang diperkatakan ini. Antara
alasan kukuh yang dikemukakan oleh pelajar termasuklah bahawa
mereka sudah biasa menggunakan bahasa yang tidak terikat oleh
penggunaan tatabahasa yang betul dalam mata pelajaran bukan
Bahasa Melayu. Maksudnya, aspek tatabahasa dipentingkan dalam
Bahasa Melayu sahaja sedangkan dalam mata pelajaran yang lain,
pelajar seolah-oleh diizinkan menggunakan bahasa Melayu yang
tidak berperaturan.
Ada beberapa faktor yang memungkinkan fenomena ini terjadi.
Salah satu daripadanya adalah kerana bagi mata pelajaran bukan
Bahasa Melayu, aspek isi yang difokuskan. Aspek bahasa sudah
dianggap betul sekiranya perkara yang diperkatakan dapat difahami.
Kelemahan akan menjadi lebih ketara sekiranya guru yang mengajarkan
mata pelajaran bukan Bahasa Melayu tidak berpengetahuan dalam
soal kebahasaan, khususnya tatabahasa. Tegasnya, oleh sebab
banyak mata pelajaran yang lain yang “mengizinkan” pelajar menggunakan
bahasa yang tidak mematuhi tatabahasa, sudah tentu perkara yang
sama dilakukan dalam Bahasa Melayu. Kesannya, sedikit banyak
prestasi pelajar dalam Bahasa Melayu akan terjejas. Daripada
aspek yang lain pula, pelajar akan terus menggunakan bahasa
Melayu yang tidak menepati tatabahasanya dan matlamat untuk
memantapkan tatabahasa bahasa Melayu sukar sekali menjadi kenyataan.
Kecelaruan penggunaan bahasa dalam kalangan anggota masyarakat
juga menjadi salah satu faktor pengabaian pelajar terhadap aspek
tatabahasa. Kebanyakan individu tidak memikirkan soal tatabahasa
dalam penulisan mereka, apatah lagi ketika berlisan. Jika diperhatikan
teks ucapan yang dibaca oleh individu tertentu yang tersiar
melalui televisyen, aspek tatabahasa tidak dipedulikan langsung.
Demikian juga halnya dengan sesetengah media cetak, terutama
akhbar tabloid dan majalah tertentu di pasaran.
Kesilapan penggunaan tatabahasa terdapat juga pada papan tanda,
kain rentang, risalah, dan surat pekeliling di jabatan kerajaan
atau pihak swasta. Keadaan yang sama turut berlaku di sekolah.
Pelbagai kesalahan tatabahasa dan ejaan dapat dilihat pada papan
tanda, surat pekeliling, atau dalam buku catatan guru. Situasi
yang sedemikian memberikan gambaran kepada pelajar bahawa tatabahasa
bukanlah perkara penting dalam pengggunaan bahasa sehari-hari.
Ertinya, secara tidak langsung, kelemahan penggunaan tatabahasa
di persekitaran pelajar turut mempengaruhi pelajar untuk tidak
menguasai aspek tersebut dengan baik.
Tidak dinafikan bahawa banyak sekolah, jabatan kerajaan, atau
pihak swasta yang mengambil inisiatif untuk mengatasi kelemahan
mereka dalam soal tatabahasa dan ejaan. Penulis kerap
juga diminta mengendalikan kursus yang sedemikian. Apabila peserta
diminta memberikan pandangan tentang kelemahan yang berlaku
dalam soal tatabahasa, berbagai-bagai reaksi dapat direkodkan.
Antara yang menarik termasuklah tanggapan mereka bahawa tatabahasa
bahasa Melayu kerap berubah sehingga mengelirukan mereka. Bagi
golongan guru pula, mereka menyalahkan ahli bahasa yang didakwa
tidak sependapat dalam soal kebahasaan.
Realitinya, kedua-dua pandangan tersebut tidak tepat dan tidak
cukup kukuh untuk dijadikan alasan tentang isu ini. Perubahan
memang berlaku, tetapi bukan selalu. Pada tahun 1960-an atau
tahun 1970-an, misalnya, penggunaan frasa semua pelajar-pelajar,
mereka-mereka, lain-lain perkara, memperbesarkan,
dan yang seumpamanya dianggap betul. Namun, bentuk yang sedemikian
dianggap lewah dan tidak wajar digunakan dalam bahasa Melayu
demi memantapkan tatabahasa bahasa kebangsaan kita. Perkara
ini sudah pun diketahui umum, termasuk pelajar. Tegasnya, tanggapan
bahawa tatabahasa sering “berubah-ubah” tidak benar sama sekali,
tetapi penggunalah yang mengubah-ubahkannya mengikut kemahuan
sendiri.
Alasan percanggahan pendapat ahli bahasa dalam soal tatabahasa
pun tidak wajar diperbesar. Pendapat yang sedemikian lebih bersifat
pelarian, iaitu untuk menutup kelemahan individu dalam aspek
tatabahasa. Percanggahan pandangan, jika ada pun, tidaklah ketara
dan pada umumnya, tidak melibatkan soal asas tatabahasa.
Kelemahan yang dibangkitkan hanyalah yang meliputi perkara asas
tatabahasa, misalnya, kata sendi nama, imbuhan, kata bilangan,
hukum D-M, dan beberapa perkara lain, termasuk ejaan yang sudah
pun tercatat dalam buku tatabahasa. Ahli bahasa manakah yang
bercanggah pendapat dalam soal yang dimaksudkan sehingga mengelirukan
pelajar dan pengguna bahasa yang lain? Dengan hal demikian,
kita tidak boleh terus mengiktiraf individu tertentu sebagai
ahli bahasa hanya kerana individu berkenaan memiliki ijazah
dan pintar bercakap tentang soal bahasa dengan individu yang
tidak mengetahui apa-apa tentang bahasa Melayu.
Oleh sebab itu, kelemahan pelajar dalam aspek tatabahasa memang
ketara. Ada banyak faktor yang saling berkaitan dengan permasalahan
ini. Namun, sikap pelajar dan sikap anggota masyarakat terhadap
aspek tatabahasa merupakan faktor utama kelemahan ini masih
ketara. Masalah ini sukar diatasi jika anggota masyarakat masih
mengamalkan budaya “bangau oh bangau”. Daripada aspek yang lain
pula, matlamat untuk memantapkan tatabahasa bahasa kebangsaan
kita tidak akan menjadi kenyataan jika kita tidak berusaha untuk
memantapkannya. Sekiranya semua anggota masyarakat, terutama
tokoh negara, media massa, dan kakitangan awam, termasuk semua
guru, menguasai tatabahasa bahasa Melayu sebagaimana sesetengah
daripada mereka menguasai tatabahasa bahasa Inggeris, adakah
kelemahan pelajar dalam aspek tatabahasa akan berterusan?
|