Berita-bil. 5/2003

 
 

Bahasa Melayu Mangkin Kemajuan Negara

Oleh Nik Safiah Karim
(Pelita Bahasa Januari 2003)


DALAM konteks pergolakan bahasa yang sedang berlaku pada masa ini, banyak orang tertanya-tanya tentang kedudukan bahasa Melayu kini dan pada masa yang akan datang. Hakikatnya, persoalan pokok ialah tentang peranan bahasa Melayu pada abad ke-21 kerana abad ke-21 ialah abad globalisasi, abad kemajuan sains dan teknologi, dan abad kejayaan teknologi maklumat.

Seperti yang dimaklumi, abad globalisasi bermaksud zaman dunia menjadi semakin kecil dan perhubungan dengan dunia antarabangsa menjadi lebih kerap. Bidang perniagaan tidak lagi terhad kepada sempadan sesebuah negara, tetapi menjangkau jauh ke dunia yang lebih luas. Hubungan diplomatik luas tersebar dan kita, sebagai warga dunia, dihormati dan disegani. Sarjana kita membentangkan kertas kerja dan hasil penyelidikan dalam persidangan antarabangsa dan wakil kita menduduki pelbagai sidang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Dalam semua perhubungan ini, bahasa antarabangsa perlu. Di dunia ini, ada pelbagai bahasa antarabangsa, seperti bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Perancis, dan bahasa Jerman. Oleh sebab faktor sejarah, kita lebih biasa menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perhubungan antarabangsa.

Sejak abad ke-20, bidang sains dan teknologi telah mendasari kemajuan semua bangsa. Demikianlah juga negara kita. Melalui ilmu sains, kita berjaya dalam proses pembangunan negara. Wawasan 2020, resepi kita untuk mencapai taraf kejayaan, digagaskan atas kejayaan proses perindustrian yang berdasarkan kemajuan sains dan teknologi. Semua perkara ini tercapai kerana kita mempunyai taraf ilmu yang baik, dan ilmu ini diperoleh melalui sumber yang ditulis dalam bahasa antarabangsa. Kesannya, untuk menimba ilmu pengetahuan dari luar, kita mesti menggunakan bahasa antarabangsa. Dalam konteks Malaysia, bahasa antarabangsa itu ialah bahasa Inggeris.
Pada masa ini, gejala yang amat mempengaruhi dunia ialah teknologi maklumat. Dalam mencari ilmu, dalam dunia perniagaan, malah dalam apa-apa jua bidang sekalipun, pengetahuan tentang teknologi maklumat amat penting. Sesiapa yang di bawah umur 30 tahun yang tidak tahu untuk menggunakan dan mengambil manfaat daripada teknologi maklumat dianggap sudah ketinggalan zaman.

Gejala teknologi maklumat dicipta oleh dunia Barat, khususnya Amerika Syarikat. Oleh sebab itu, bahasanya ialah bahasa Inggeris. Segala alat dan perkakasan menggunakan bahasa itu. Kita yang ingin memasuki dunia itu terpaksalah menguasai bahasa tersebut, sama ada untuk membaca bahan yang disediakan, melayari laman web, ataupun mengambil bahagian dalam dunia internet dan e-mel. Oleh sebab itu, kelihatan bahawa peranan bahasa Inggeris amat penting pada abad ke-21. Bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa dan bahasa sains dan teknologi, terutama dalam bidang teknologi maklumat.

Persoalannya, dengan peranan yang begitu penting yang dimainkan oleh bahasa Inggeris pada abad ke-21, masih adakah ruang untuk bahasa Melayu memainkan peranan? Adakah, setelah berjuang bermati-matian pada waktu mula-mula memperoleh kemerdekaan, bagi meyakinkan rakyat jelata bahawa bahasa Melayu mampu untuk menjadi bahasa kebangsaan negara kita yang berdaulat, dan seterusnya sepanjang lebih kurang 30 tahun berusaha untuk menjadikannya bahasa ilmu melalui penggunaannya sebagai bahasa pengantar di institusi pengajian, abad ke-21 menjadi abad untuk mengebumikan bahasa tersebut?

Jawapannya sudah tentu tidak kerana masih ada peranan penting yang perlu dimainkan oleh bahasa Melayu. Sesiapa yang menyatakan bahawa bahasa Melayu tidak mempunyai tempat di negara ini pada abad ke-21, sebenarnya, tidak mencintai Malaysia dan tidak mempunyai jati diri kemalaysiaan.

Hakikat yang tidak dinafikan oleh sesiapa pun ialah bahawa bahasa Inggeris itu penting. Kepentingan itu terbit daripada gejala globalisasi dan hakikat bahawa kemajuan sains dan teknologi yang mendasari segala kemajuan pada masa ini dapat dicapai melalui bahasa Inggeris. Jika negara kita tidak mahu ketinggalan dari segi kemajuan kebendaan, kita hendaklah menguasai bahasa Inggeris kerana bahasa itu ialah bahasa bagi menimba ilmu.

Itulah perspektif yang perlu dipegang terhadap kedudukan bahasa Inggeris di negara ini. Bahasa itu perlu dipelajari kerana fungsinya sebagai wahana ilmu pengetahuan dan kerana perhubungan dengan dunia luar. Bahasa Inggeris sekali-kali tidak akan menjadi bahasa kebangsaan Malaysia kerana bahasa itu bukan bahasa kebangsaan kita, dan bahasa itu telah pun menjadi bahasa kebangsaan di negara yang penutur utamanya penutur asli bahasa Inggeris, seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan New Zealand.

Sememangnya, bahasa Melayu mempunyai peranan pada abad ke-21 berdasarkan tiga faktor. Yang pertama, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan negara. Kecuali kita meminda Perlembagaan, kedudukan bahasa kebangsaan amat teguh. Sewaktu memperoleh kemerdekaan pada tahun 1957, kita telah membuat plilihan yang amat bijak, iaitu menjadikan bahasa Melayu bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Apakah yang dimaksudkan oleh bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi? Bahasa kebangsaan ialah bahasa yang diangkat menjadi bahasa utama sesebuah negara yang berdaulat dan lazimnya digunakan sebagai bahasa rasmi negara tersebut. Semua negara yang berdaulat mempunyai bahasa kebangsaan sendiri. Misalnya, bahasa Melayu di Malaysia, bahasa Inggeris di United Kingdom, bahasa Perancis di Perancis, bahasa Jepun di Jepun, dan bahasa Jerman di Jerman. Lazimnya, terutama di negara yang baru memperoleh kemerdekaan daripada penjajah, hakikat ini, yakni status dan kedudukan bahasa kebangsaan, termaktub dalam Perlembangaan negara berkenaan.
Bahasa rasmi pula ialah bahasa yang digunakan dalam perhubungan rasmi, seperti dalam ucapan rasmi dan surat-menyurat. Biasanya, bahasa kebangsaan sesebuah negara turut berfungsi sebagai bahasa rasmi. Tetapi, ada kalanya juga keadaannya tidak demikian. Di Singapura, misalnya, walaupun bahasa kebangsaannya bahasa Melayu, tiga bahasa lain turut diisytiharkan sebagai bahasa rasmi, menjadikan jumlah bahasa rasminya empat, iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Dalam konteks Malaysia, peranan penting yang dimainkan oleh bahasa Melayu ialah sebagai bahasa kebangsaan. Dengan adanya bahasa kebangsaan sendiri, Malaysia berdiri megah sebagai negara yang berdaulat dan bermaruah. Bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan berasaskan fakta sejarah dan hal ini tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun. Pada zaman lalu, terutama pada zaman kegemilangan kerajaan Melayu Melaka, bahasa Melayu tersebar luas dan menjadi lingua franca bagi wilayah Asia Tenggara, bahasa pentadbiran kerajaan, bahasa sastera, bahasa perniagaan, dan bahasa undang-undang. Oleh sebab itu, walau bagaimana pentingnya bahasa Inggeris, peranan bahasa kebangsaan di negara ini pada abad ke-21 tetap dipikul oleh bahasa Melayu. Kecuali pucuk pimpinan kita meminda Perlembagaan supaya bahasa Melayu digantikan oleh bahasa Inggeris sebagai bahasa kebangsaan, maka kekallah bahasa Melayu dengan kedudukan yang penting ini.
Sesebuah negara itu perlu mempunyai bahasa kebangsaan sendiri. Hal ini demikian kerana bahasa kebangsaan ialah lambang jati diri negara dan kewarganegaraan, bukti tentang kedaulatannya yang membolehkan sesebuah negara berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara berdaulat yang lain. Kemerdekaan tidak mempunyai erti jika kita masih mendaulatkan bahasa penjajah. Di manakah maruah bangsa jika kita masih dijajah dari segi bahasa? Itulah kesan mempunyai bahasa kebangsaan sendiri.
Yang kedua, bahasa Melayu sekian lama telah menjadi bahasa pengantar di sekolah, maktab, politeknik dan universiti. Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia merupakan kemuncak bagi menentukan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Sehingga kini, universiti itu telah melahirkan ratusan ribu siswazah yang menerima pendidikan dalam bahasa Melayu. Ratusan tesis dan disertasi pada peringkat ijazah sarjana dan kedoktoran ditulis dalam bahasa Melayu, dan puluhan, malahan ratusan, profesor telah menyampaikan syarahan perdana tentang pelbagai ilmu dalam bahasa Melayu. Semua perkara ini tidak terhad kepada orang Melayu sahaja, tetapi melibatkan semua kaum yang menjadi warganegara Malaysia. Tidak syak lagi bahawa bahasa Melayu telah membuktikan kejayaan dan keupayaan sebagai bahasa ilmu, bahasa bagi wahana ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang.

Dalam konteks ini juga, kita telah melahirkan ribuan pelajar, pensyarah, dan penyelidik yang fasih berbahasa Melayu, yang dapat mengungkap ilmu yang tinggi-tinggi dalam bahasa Melayu, di samping petah pula berbahasa Inggeris. Kita turut melahirkan siswazah yang menerima pendidikan melalui bahasa Melayu, yang telah memasuki dunia pekerjaan dan memegang pelbagai jenis jawatan, daripada guru dan pentadbir kepada eksekutif, usahawan, peguam dan ahli politik. Bahkan, begitu berjaya sistem pendidikan kita dari segi penguasaan bahasa Melayu sehingga jika kita mendengar seseorang bercakap tanpa melihat mukanya, kita tidak dapat memastikan asal-usul keturunannya. Kadangkala penguasaan bahasa Melayu pelajar bukan Melayu lebih baik daripada pelajar Melayu sendiri, yang dipengaruhi oleh ciri dialek dan bahasa basahan.

Oleh sebab itu, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan moden akan tetap kekal walaupun tidak dinafikan bahawa di negara ini, bahasa Inggeris turut berfungsi sebagai bahasa untuk menimba ilmu. Keadaan ini tidak bercanggah kerana sudah menjadi dasar pendidikan negara untuk menghasilkan pelajar yang dwibahasa sifatnya. Itulah sebabnya bahasa Inggeris diperkenalkan sebagai mata pelajaran sejak tahun satu sekolah rendah. Seseorang pelajar yang telah mengikuti sekolah rendah dan sekolah menengah melalui sistem pendidikan kebangsaan dijangka telah menerima pendidikan bahasa Inggeris selama 11 tahun dan sepatutnya telah menguasai bahasa tersebut dengan baik.

Tetapi, jika seseorang ketua mekanik, misalnya, ingin menyampaikan ilmu membaiki jentera kepada pekerja di bengkelnya, ilmu itu tidak mungkin disampaikan dalam bahasa Inggeris, melainkan dalam bahasa yang lazimnya digunakan dalam perhubungan sehari-hari. Demikian juga, seseorang pegawai pertanian, yang ingin menyampaikan taklimat tentang sistem perairan yang terkini yang baru dipelajarinya melalui kursus yang dianjurkan oleh PBB di Manila, yang dikendalikan dalam bahasa Inggeris, akan tetap menggunakan bahasa Melayu dalam taklimat itu kerana pendengarnya, yang merupakan petani biasa, lebih selesa berbahasa Melayu. Sesungguhnya, itulah bahasa yang paling sesuai untuk digunakan dalam konteks ini.

Dalam konteks ini juga, kita mengandaikan bahawa pegawai pertanian yang berkelulusan ijazah itu dapat mengikuti kursus dalam bahasa Inggeris di Manila dan menggunakan bahasa itu dalam perbincangan dengan penyelidik atau golongan intelek. Untuk menyampaikan taklimat kepada petani, kita mengandaikan bahawa dia mempunyai senarai istilah yang relevan.

Jelaslah bahawa bahasa Melayu tetap mempunyai peranan sebagai bahasa ilmu dalam dunia abad ke-21. Namun, kejayaan bahasa Melayu dalam tugas ini amat bergantung pada kesediaan pengamal bahasa Melayu untuk menggunakan bahasa tersebut sebagai bahasa ilmu. Jika rasa megah terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tidak ada dan jika semua pihak lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris, lama-kelamaan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan berkurangan. Tetapi, kerana orang Melayu memang optimistik sifatnya, berdasarkan kejayaan bahasa Melayu dalam 30 tahun yang lalu, potensi yang ada bagi bahasa Melayu untuk kekal sebagai bahasa ilmu amat cerah.

Yang ketiga, bahasa Melayu telah menjadi bahasa perhubungan antara rakyat jelata kerana bahasa itu dapat dipelajari dengan senang dan telah sekian lama menjadi lingua franca penduduk kawasan ini. Rakyat jelata yang dimaksudkan ialah masyarakat biasa, bukan golongan elit yang, oleh sebab sifat dwibahasa mereka, lebih selesa menggunakan bahasa campuran (Melayu-Inggeris).

Selain golongan ini, dalam perbualan sehari-hari, perhubungan antara rakyat pelbagai kaum dan antara orang Melayu biasanya dijalankan dalam bahasa Melayu. Oleh sebab itu, tidak mungkin Pak Abu di kampung berbahasa Inggeris dengan isterinya, atau dengan jirannya yang sama-sama turun ke ladang, atau dengan Ah Chong penjual ikan, atau Kandasamy penjual putu mayam. Demikian juga, ahli politik Melayu yang berkempen dalam pilihan raya akan tetap menggunakan bahasa Melayu, walaupun dia fasih berbahasa Inggeris.

Dengan kata lain, pada abad ke-21, bahasa Melayu kekal sebagai bahasa perhubungan masyarakat biasa, yang jauh lebih besar jumlahnya berbanding dengan jumlah masyarakat yang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa campuran Inggeris-Melayu dalam perhubungan harian. Akhbar dan majalah dalam bahasa Melayu akan tetap laris. Siaran radio dan televisyen tetap ada dalam bahasa Melayu walaupun siaran dalam bahasa Inggeris dapat juga bertahan.

Hakikatnya ialah bahawa walaupun usaha untuk mendesak rakyat Malaysia menguasai bahasa Inggeris amat pesat, termasuk menjadikan bahasa itu bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik, hal ini tidak bererti bahawa bahasa Melayu tidak lagi mempunyai peranan pada abad ini. Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa perhubungan rakyat jelata. Maka, fungsi pembinaan jati diri akan tetap dimainkan oleh bahasa itu kerana pembinaan jati diri mempunyai ikatan yang erat dengan emosi.

Bahasa Inggeris dipelajari dalam suasana bilik darjah atas kepentingan tertentu, khususnya untuk menimba maklumat dan mengungkap ilmu pengetahuan. Maka, hubungan emosi tidak begitu ketara, kecuali tiba suatu ketika rakyat Malaysia tidak menggunakan bahasa lain selain bahasa Inggeris dalam semua aspek kehidupan mereka, termasuklah berkarya kreatif dan bermimpi. Sehingga tiba saat itu, bahasa Inggeris, bagi sebilangan besar rakyat Malaysia, dilihat dalam konteks utilitinya, iaitu dalam konteks kegunaannya dalam dunia sehari-hari.
Yang menjadi penyalur budaya tempatan, terutama dalam kegiatan kreatif seperti bersastera dan berdrama, ialah bahasa Melayu. Dalam penggunaan bahasa sebegini, hubungan bahasa dengan emosi amat erat. Wujud ikatan yang berasaskan kemesraan yang dijalinkan dengan pengalaman yang amat bererti dalam konteks persekitaran tempatan.

Sehubungan dengan hal itu, jika kita, yang sangat cinta akan bahasa Melayu, ingin menentukan pengekalan bahasa ini sebagai bahasa asas pembinaan jati diri bangsa, kita harus memainkan peranan sebagai penggerak bahasa. Rakyat Malaysia harus terus-menerus menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan sehari-hari, tetapi lebih-lebih lagi, sebagai saluran untuk mengungkap unsur budaya dan segala yang dekat dengan hati dan emosi. Dengan hal demikian, jalinan emosi kita dengan bahasa kita akan menjadi amat erat.
Yang dimaksudkan ialah kita hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan kita dalam situasi pembinaan keperibadian diri dan keperibadian bangsa. Bahasa kebangsaan kita hendaklah menjadi saluran pengucapan yang indah-indah, seperti dalam sastera, dan dalam pengungkapan buah fikiran yang tinggi-tinggi juga, seperti dalam pengungkapan ilmu pengetahuan. Kita hendaklah mengeksploitasi sebanyak mungkin kecanggihan bahasa kita untuk menjadikannya bahasa yang sesuai digunakan pada abad ke-21, dalam semua situasi.

Tidak ada masyarakat yang statik. Semua masyarakat bersifat dinamik. Salah satu aspek kedinamikan ini dicapai melalui perkembangan bahasa yang mencerminkan perkembangan yang berlaku dalam masyarakat. Oleh sebab itu, satu lagi peranan yang dapat dimainkan oleh bahasa Melayu pada abad ke-21 ialah sebagai mangkin proses pembinaan tamadun masyarakat Malaysia. Tanpa menafikan peranan bahasa Inggeris, pembinaan bentuk masyarakat Malaysia abad ke-21 dapat dicorakkan oleh bahasa Melayu, iaitu berdasarkan pendapat yang mengatakan bahawa kita hendaklah maju dan berkembang mengikut acuan sendiri.

 
     
 


-PENAFIAN-

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN SIKAP PENGENDALI WEB.
Paparan terbaik menggunakan Internet explorer 4.0 dan ke atas dengan resolusi 1024 X 768 pixel
Tiada Hakcipta Terpelihara
.Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai.
PeNdiDik 2000-2003© Pendidikmy@yahoo.com