Berita-bil. 8/2003

 
 

Budaya samseng perkara biasa

BERITA HARIAN- 27 OGOS 2003


KUANTAN: Kelakuan negatif pelajar sekolah seperti dilaporkan sejak kebelakangan ini tidak bermakna budaya samseng sudah menular di sekolah, kata Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Abdul Rafie Mahat.

Sebaliknya, beliau berkata, gejala berkenaan adalah perkara biasa yang menjadi sebahagian masalah remaja yang sedang membesar.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak tertentu, termasuk guru membantu membimbing pelajar supaya tidak mudah melakukan perkara yang bertentangan undang-undang.

Katanya, sekolah masih lagi menjadi tempat selamat untuk pelajar dan ibu bapa tidak perlu cemas dengan perkembangan terkini yang melaporkan banyak salah laku pelajar.

Beberapa kes membabitkan kelakuan negatif pelajar ketika di sekolah seperti dilaporkan media adalah kes terasing dan ia tidak memberi sebarang ancaman kepada pelajar lain.

“Kita tidak nafikan kes seumpama itu berlaku, tapi umumnya keadaan persekolahan di negara kita masih terkawal dan anak masih belajar selesa dan selamat di sekolah.

“Jadi, jangan rasa cemas dan kementerian sentiasa berusaha mewujudkan suasana tenang supaya pelajar dapat mengikuti pelajaran dengan baik.

“Sebenarnya, proses persekolahan memerlukan kerjasama banyak pihak, termasuk pengurusan sekolah, ibu bapa, masyarakat dan media massa,” katanya selepas mesyuarat Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Samsuddin Osman, di sini petang kelmarin.

Abdul Rafie berkata, semua pihak termasuk guru dan anggota masyarakat perlu mempunyai perasaan ‘sepunya’ dengan meletakkan tanggungjawab mendidik pelajar di bahu semua pihak, bukannya sekolah saja.

Katanya, apabila perasaan seumpama itu wujud, hubungan lebih mesra antara sekolah, masyarakat dan keluarga dapat dibentuk.

“Sebenarnya konsep permuafakatan keluarga, masyarakat dan sekolah masih baru di Malaysia, tapi sudah tiba masanya kita memperluaskan pelaksanaannya.

“Biasanya, kejayaan cemerlang pelajar dan sekolah dihasilkan apabila wujud kerjasama dan persefahaman baik antara guru, pelajar dan ibu bapa,” katanya.

Mengulas kes 14 pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Puteri Buntong, Ipoh cedera ditampar guru selepas guru itu gagal mengenal pasti pelajar yang mengeluarkan perkataan ‘podah’ yang bermaksud berambus pada 20 Ogos lalu, Abdul Rafie berkata:

“Saya sudah meminta kerjasama sekolah itu mengatur perjumpaan dengan ibu bapa bagi membincangkan kes berkenaan.

“Kita mahu hubungan baik ibu bapa dan guru tidak terjejas akibat kes berkenaan,” katanya.

 
     
 

 

 
PENAFIAN-
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN SIKAP PENGENDALI WEB.
Paparan terbaik menggunakan Internet explorer 4.0 dan ke atas dengan resolusi 1024 X 768 pixel
Tiada Hakcipta Terpelihara
.Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai.
PeNdiDik 2000-2003© Pendidikmy@yahoo.com