Guru:
Antara cabaran serta dilema
Pendidikan merupakan perkara ataupun elemen yang asas didalam kehidupan manusia. Kepentingan ia sama sekali tidak dinafikan melalui pengungkaian fakta-fakta sejarah awal ketamadunan manusia. Bahkan ketika era falsafah Yunani yang dibintangi oleh Aristotle, Plato, Socrates serta beberapa yang lain, antara penekanan utama yang diutarakan oleh mereka ialah kepentingan mendidik manusia untuk menjadi warganegara yang menyumbang kepada negara. Ia turut merupakan perkara yang turut menjadi penekanan utama dalam tamadun tebing Sungai Hwang-Ho, sehinggakan didalam proses pemilihan pegawai tertinggi kerajaan, setiap rakyat jelata diwajibkan untuk menduduki peperiksaan khas, buat menguji tahap keintelektualan mereka. Apabila kita mengalihkan perhatian ke sejarah awal tamadun Kerajaan Melayu yang mana agen pendidikan diletakkan sebagai salah satu elemen utama dalam hirarki keperluan asas dalam masyarakat melayu tradisional. Budaya serta kebiasaan berjumpa serta mendampingi golongan orang-orang yang berilmu, adalah merupakan satu perkara yang boleh kita klasifikasikan sebagai wajib dalam masyarakat pada masa itu. Seperti mana yang kita sering lihat dalam filem-filem klasik melayu, yang golongan Tok Guru sering dipandang serta disanjung tinggi dalam masyarakat. Malah dalam catitan tinta emas kerajaan Melayu Melaka, pernah tertulis tentang kesanggupan seorang Sultan untuk mencemar dulinya semata-mata untuk berguru dengan seorang Maulana. Ketinggian serta penghormatan masyarakat terhadap masyarakat serta golongan pendidik diwariskan terutama sekali pada era akhir abad ke-19 serta awal abad ke-20, yang mana ia berlaku secara seiringan, dengan pertumbuhan institusi pondok serta perkembangan sistem pendidikan moden peranan golongan pendidik semakin menempah perhatian masyarakat. Malah pada era Pra-Perang Dunia Kedua, peranan serta kedudukan golongan pendidik semakin jelas menjadi dambaan masyarakat. Dalam era yang mana peluang untuk masyarakat melayu mendapat pendidikan tinggi adalah tipis, golongan pendidik pada masa itu adalah antara segelintir dari mereka yang berpeluang untuk menerjah keluar dari kengkangan keadaan, mereka memainkan peranan sebagai pembina bakal-bakal pemimpin serta menaikkan semangat menuntut kemerdekaan dikalangan pelajar-pelajar melayu. Mereka mengabdikan hampir keseluruhan tenaga yang mereka ada demi untuk mebangunkan serta membina pelapis-pelapis buat mengisi ruang-ruang kebebasan yang bakal terbuka. Golongan pendidik pada masa itu dianggap sebagai teraju utama perubahan masyarakat. Mereka adalah pemimpin pautan masyarakat pada masa itu. Kembali semula ke zaman sekarang, kita dapat melihat bahawa keadaan masyarakat serta situasi semasa jelas ia menuntut sepenuh kudrat serta perhatian dari segenap masyarakat buat merawatinya. Dari hemat serta pandangan penulis, sepanjang pembacaan serta penyertaan dalam beberapa seminar, faktor pendidikan hampir tidak luput dari diperbincangkan ataupun dijadikan faktor buat membasmi atau menjadi penyebab kepada sesuatu gejala terutama sekali gejala sosial yang sedang hangat diperkatakan. Ini jelas menunjukkan ia masih menjadi antara ejen utama perubahan masyarakat. Ia secara terus telah mengaitkan institusi perguruan, memandangkan ia berkait rapat dengan institusi pendidikan itu sendiri. Saya amat tertarik dengan kenyataan yang baru sahaja keluar beberapa hari yang lalu, betapa institusi perguruan adalah merupakan final option buat siswazah-siswazah menggangur untuk memperolehi pekerjaan. Ia turut ingin dihubungkaitkan sekali berdasarkan kehidupan penulis yang tidak terlepas bahkan sering dilingkungi oleh golongan pendidik serta pandangan dari masyarakat secara umum. Ada diantara golongan masyarakat yang sempat ditemui oleh penulis, menggangap pekerjaan serta profession perguruan sebagai bidang yang amat remeh berdasarkan kepada faktor masa kerja separuh hari, limpahan cuti serta tanggungjawab yang agak ringan jika dibandingkan dengan golongan pekerja kolar putih. Disini penulis ingin menyanggah samasekali mengenai penyataan di atas. Memang ia tidak dapat disangkal oleh penulis mengenai faktor-faktor diatas, namun jika ia hendak dibandingkan dengan tanggungjawab berat yang terpaksa dipikul, kita tak sewajarnya menyamaratakan atau meremehkan peranan mereka. Mereka adalah golongan kedua yang rapat ataupun sering mendampingi golongan kanak-kanak ataupun remaja selain daripada ibubapa. Jadi tugas mereka bukanlah sahaja sekadar menyudahkan silibus pelajaran bahkan juga mengasuh serta menerapkan mereka dengan elemen-elemen positif buat membina sahsiah mereka sebagai manusia yang mampu berfungsi secara berfaedah buat ummat. Keadaan ini makin disulitkan dengan peningkatan gejala-gejala sosial, serta hampir ketidakfungsian institusi kekeluargaan yang semakin dilihat seolah-olah sedang menghala ke arah penyudahan yang sama seperti dengan dialami oleh institusi kekeluargaan oleh tamadun barat. Ini kerana kalau didasarkan pada ilmu sosiologi, elemen kekeluargaan menduduki carta tertinggi dalam antara pemangkin-pemangkin utama proses perubahan dalam sesuatu masyarakat. Namun dengan keadaan yang mana tekanan material yang mendesak ekoran dari peningkatan taraf hidup, ia telah menyingkatkan masa untuk sepasang ibubapa untuk mendidik serta mengasuh anak mereka. Disini golongan pendidik memainkan peranan sebagai supers subs kepada ibubapa anak-anak tersebut. Namun tugas itu tidak mudah untuk dilaksanakan. Cabaran yang sering dihadirkan oleh anak-anak murid yang hadir ekoran dari terhakisnya perasaan hormatkan guru serta penerapan budaya gangsterisme, serta hendonisme melalui satu lagi ejen perubahan masyarakat, media telah menghimpit bahu mereka. Keadaan ini semakin dikeruhkan oleh orientasi pendidikan negara yang dilihat seolah-olah menjurus kepada penekanan dalam pencapaian peperiksaan yang mana ia tidak memberikan peluang buat guru-guru untuk menerapkan proses pembinaan sahsiah melalui pembelajaran didalam kelas. Masa yang ada terpaksa diisi demi untuk menghabiskan sukatan-sukatan pelajaran serta memberikan latihan-latihan pra-peperiksaan buat mencapai sasaran yang ditetapkan. Ia belum dikira lagi dengan tanggungjawab ataupun bebanan lain seperti dalam mengendalikan aktiviti-aktiviti ko-kurikulum serta tugas-tugas pejabat lain, ia jelas telah menyesakkan lagi fokus kerja mereka. Pengubalan dasar serta ketetapan pendidikan negara yang dapat dilihat semakin tidak konsisten, melalui penyaksian perubahan demi perubahan yang boleh dikatakan saban tahun berlaku semakin menyulitkan lagi suasana. Bukan merupakan satu perkara yang salah untuk melakukan perubahan, akan tetapi buat golongan pendidik ia menyukarkan mereka untuk menghadam sesuatu dasar ataupun ketetapan, buat dilaksanakan dimedan pengajaran. Perubahan yang kerap, meskipun berniat baik namun ia tidak akan berguna jika masa tidak diberikan secukupnya buat ia terlaksana. Golongan pendidik seharusnya dibiarkan untuk menumpukan seratus peratus perhatian di dalam mendidik serta membentuk golongan pelajar, dari dibebankan dengan proses-proses biokrasi yang membebankan. Seharusnya ia dilakukan oleh kumpulan-kumpulan serta sektor-sektor yang bertanggungjawab dalam hal yang sedemikian. Ia adalah berdasarkan kepada pemerhatian serta rungutan sepanjang penulis bersama dengan golongan pendidik. Tugas yang telah tersedia mereka pikul sudahpun terlalu berat untuk galas, apatah apabila ia ditambah lagi. Ia belum dikira dengan ketidak puashatian terhadap sistem saraan baru yang dilihat seolah-olah tidak adil, bagi sesetengah mereka belum dikira lagi pemberian gaji serta elaun-elaun yang dapat penulis lihat tidak seiring dengan peningkatan kos hidup semasa. Ia belum lagi di tambah seandainya perlaksanaan sistem yang mana seseorang guru harus mematuhi waktu bekerja mengikut waktu pejabat serta cuti berasakan kepada sistem cuti pekerja bukan mengikut sistem yang ada sekarang. Tak dapat penulis membayangkan senario yang mungkin terjadi. Institusi pendidikan negara masih berada dalam keadaan yang stabil. Namun ia tidak seharusnya membuatkan kita leka. Sistem kita masih lagi berada dalam situasi taupun suasana yang mana ia masih mampu menjana perubahan didalam masyarakat. Kenapa penulis menyatakan demikian?. Kerana kita masih tidak ketahap sebagaimana sistem pendidikan di negara-negara barat serta terutama sekali Jepun, yang mana ia mampu menghadirkan golongan teknokrat serta aristokrat yang mantap fizikalnya bukan dari segi sahsiahnya. Buat guru-guru yang bakal menyambut hari guru yang akan datang, teruskanlah perjuangan kalian, sucikanlah niat kalian serta tabahkanlah semangat serta idealisme perjuangan kalian buat mengharungi medan pendidikan yang penuh pancaroba. GURU
BERKUALITI ASPIRASI NEGARA.
|