bil.103/2002
E-Learning...Hilangkah rasa hormat pelajar kepada guru?

PEMBELAJARAN secara elektronik (e-learning) mungkin akan melahirkan sekumpulan pelajar yang tidak mempunyai perasaan hormat terhadap guru-gurunya. Pensyarah Universiti Multimedia (MMU), Jowati Juhary berkata, ini kerana dari segi pedagogi, e-learning tidak mempunyai interaksi secara berhadapan antara seorang pelajar dengan gurunya. ``Apabila mereka di dalam talian tiada siapa di sisi mereka dan mereka akan kehilangan nilai-nilai hormat ini,'' katanya.

Beliau mengambil contoh pengalamannya dengan seorang pelajar jarak jauh MMU yang tidak mempunyai perasaan hormat antara seorang pelajar dengan gurunya. Menurutnya, semasa waktu rehat seorang pelajarnya secara tidak sengaja terlanggar beliau dan menyebabkan fail yang dipegangnya jatuh. ``Pelajar berkenaan langsung tidak meminta maaf ataupun mengutip fail tersebut sedangkan saya kenal pelajar ini...dia adalah pelajar saya yang setiap hari berhubung dengan saya dalam Internet,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam bengkel bertajuk E-Learning di Malaysia: Kajian Rintis semasa Persidangan Pendidikan Antarabangsa (IEC2001) di Petaling Jaya baru-baru ini. Menurut Jowaty, kehilangan nilai-nilai tersebut katanya, akan merosakkan hubungan antara seorang guru dan pelajarnya. Selain daripada itu beliau berkata, tidak semua mata pelajaran di sekolah boleh diajar secara berkesan menggunakan e-learning. Contohnya, mata pelajaran Matematik yang memerlukan latihan dan perlu dipantau oleh seorang guru.

Selain itu mata pelajaran Bahasa Inggeris juga tidak sesuai menggunakan e-learning kerana ia memerlukan pelajar mengungkap sebutan yang betul. ``Dalam hal ini teknologi tidak penting sebaliknya isi kandungan pelajaran itu penting bagi memenuhi keperluan para pelajar. ``Jangan kita jadi hamba kepada teknologi sebaliknya biarlah teknologi menjadi hamba kepada kita,'' tegasnya. Beliau berkata, terdapat kebimbangan penggunaan e-learning tidak berjaya menarik perhatian para pelajar kerana tiada siapa yang memantau aktiviti mereka.

``Jika mereka di rumah dan berinteraksi dengan guru, kita tidak tahu sama ada mereka menumpukan perhatian terhadap soalan atau jawapan yang dikemukakan ataupun mereka sibuk dengan perkara lain kerana kita tidak nampak,'' katanya. Sehubungan dengan itu Jowati berkata, penggunaan e-learning memerlukan pemahaman yang jitu di kalangan pelajar. Oleh itu guru-guru perlu mengajar mereka cara menggunakannya. ``E-learning boleh memberi pendidikan yang lebih baik kepada para pelajar kita tetapi kita tidak mahu mereka menyertainya hanya kerana ia kini digunakan oleh semua orang secara meluas,'' katanya. Selain itu beliau berkata, para pelajar juga harus tahu nilai-nilai maklumat yang diterima dengan menggunakan teknologi tersebut.


Best view with Internet explorer 4.0 and above & resolution 800 X 600 pixel
Hakcipta Terpelihara Pendidik
. Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai.
PeNdiDik 2000-2002© Pendidikmy@yahoo.com