bil.104/2002
Isu bahasa: Demi tuntutan komersil Melayu dibunuh

Oleh : A Firdaus (afirdaus1@lycos.com)

" Jika kita ikut orang sesat, maka kita akan jadi lebih sesat " dakwa Dato’ Dr. Hasan Ahmad, Pengerusi dan juga bekas Ketua Pegarah DBP.

" Oleh kerana pemikiran mereka sudah terpengaruh dengan budaya bahasa Inggeris, mereka cuba untuk menggunakan acuan pemikiran mereka kepada rakyat " kata beliau yang juga Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan.

Menurut beliau, perjuangan selama 30 tahun memartabatkan bahasa Melayu seolah-olah dipandang remeh oleh puak tertentu.

" Bagaimanapun, cadangan pemimpin negara ini bagaikan ingin kembali ke zaman penjajahan dulu. " katanya sebagaimana dilaporkan oleh media cetak keluaran 16-30 Jun 2002.

Demikianlah antara luahan rasa pejuang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bila berhadapan dengan keputusan kerajaan yang mahukan mata pelajaran Sains dan Matematik diajar dan diuji dalam Bahasa Inggeris.

Rata-ratanya bersifat emosi, penuh pra-sangka dan negatif. Tetapi benarkah demikian?

Menanggapi isu ini ada beberapa persoalan yang harus kita depani iaitu :

Tahap penguasaan bahasa Inggeris pelajar dan golongan muda Melayu

Apakah dengan mewajibkan pengajaran dua subjek itu dalam bahasa Inggeris mencukupi untuk dianggap membunuh perkembangan bahasa melayu?

Apakah kebaikan yang mungkin ada dalam tindakan mewajibkan pengajaran dan peperiksaan dalam bahasa inggeris untuk dua subjek ini

Memandang ke hadapan - menimbang untung rugi demi survival bangsa dan negara

Kebanyakkan mahasiswa Melayu - walaupun sudah berada di tahun akhir masih tidak berupaya bercakap dan menulis dalam bahasa Inggeris dengan spontan. Kelemahan utama mereka ialah tatabahasa (grammar) dan juga perbendahaaran kata (vocubalary).

Sikap memandang bahasa Inggeris sebagai tidak penting untuk lulus, tidak penting untuk survival diri dan juga bangsa atau agama malah negara dalam diri sudah terbina dan begitu kejap hingga dalam kehidupan seharian keinginan untuk menguasai bahasa Inggeris tidak pernah wujud. Bagaimana sikap ini boleh terbina dan mengukuh dalam diri adalah satu soal lain yang penting juga untuk direnungkan.

Seorang mahasiswi tahun tiga memberitahu kepada saya jika subjeknya itu dalam bahasa Inggeris, akibatnya, dia akan menghafal jawapan - serupa sepertimana yang disediakan dalam teks. Keperluan untuk faham tidak timbul. Yang penting, boleh jawab - dan jawapannya diterima pensyarah sebagai betul.

Bagaimana dengan soalan yang meminta pelajar mengutarakan contoh sendiri dalam memperkatakan satu-satu teori? Saya jamin, pelajar berkenaan akan gagal dengan cemerlang.

Jika kita secara rambang berbual dengan mahasiswa Melayu dalam bahasa Inggeris kita akan sedar betapa penguasaan bahasa Inggeris mereka sebenarnya begitu lemah.

Kelemahan ini selain dari faktor merasakan ianya tidak penting untuk survival diri, adalah kerana tidak adanya keperluan untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian. Untuk apa belajar kalau tidak digunakan, bukan? Dan dalam bahasa, lebih selalu digunakan, lebih mahir seseorang itu.

Saya bukanlah seorang yang mahir berbahasa Inggeris. Namun begitu saya dapati usaha untuk menguasai bahasa ini bukanlah sesuatu yang sukar - ianya subjektif - bergantung kepada minat dan motif individu.

Seorang rakan saya yang tidak pernah pun mengambil SPM, hari ini boleh memahami bahasa Inggeris mudah kerana hobinya adalah main permainan komputer yang majoritinya berbahasa Inggeris. Dia sanggup membeli sebuah kamus untuk tujuan itu. Pada saya, ini adalah satu permulaan yang baik.

Satu ketika dulu dalam satu rancangan radio, saya mengetahui wujudnya kelab peminat cerita jepun. Mereka ini juga menunjukkan minat menguasai bahasa jepun dan aktif dalam rancangan radio berbahasa jepun di salah sebuah stesen televisyen swasta negara ini.

Saya masih ingat waktu awal saya bekerja di sebuah syarikat swasta di ibu negara. bahasa komunikasi utama - secara sosial dan rasmi termasuk mesyuarat - adalah bahasa Inggeris. Waktu itu bahasa Ingeris saya boleh dikatakan amat lemah - namun saya terpaksa juga membiasakan diri menggunakannya. Tidak ada sesiapa pun mengetawakan saya - sekurang-kurangnya tidak di depan saya - malah mereka menunjukkan sifat memahami dan sedia membantu.

Oleh kerana desakan persekitaran kerja, saya terpaksa mendalami dan meningkatkan lagi tahap penguasaan bahasa Inggeris saya.

Pendekata saya melihat tindakan mewajibkan pengajaran dan peperiksaan dalam bahasa Inggeris pertamanya sebagai paksaan supaya para pengajar dan pelajarnya mahir dalam bahasa Inggeris dan keduanya adalah untuk menyediakan iklim yang memudahkan bahasa Inggeris itu diamalkan dan dikuasai tanpa segan dan rasa mengkhianati bahasa Melayu.

Paksaan perlu bila secara sukarela ianya gagal dilakukan.

Apakah dengan mewajibkan pengajaran dua subjek itu dalam bahasa Inggeris mencukupi untuk dianggap membunuh perkembangan bahasa Melayu?

Saya fikir menuduh usaha ini sebagai satu cubaan bunuh bahasa Melayu adalah tindakan yang sangat emotif dan berakar umbikan rasa tersinggung.

Bahasa Melayu masih menjadi teras. Malah memilih subjek sains dan matemtik sebenarnya adalah tidak menguntungkan bahasa Inggeris. Tidak akan ada perkataan baru. Ianya lebih mudah dikuasai kerana dalam sains dan matematik istilahnya pasti. Kalau kesusasteraan Melayu diajar dan diperiksa dalam bahasa Inggeris - itu melampau. Kalau sejarah Melayu diajar dalam bahasa Inggeris - itu belum tentu bermanfaat.

Pernah kita fikirkan apa kebaikkannya pelajar kita memahami sains dan matematik dalam bahasa Inggeris?

Paling busuk mereka lebih mudah untuk menguasai teknologi berasaskan sains dan matematik bila misalnya berkhidmat dengan syarikat berkenaan atau pun dihantar belajar ke luar negara.

Daya survival diri dalam bab keupayaan bahasa akan jadi lebih tinggi dan ini menjadikan daya saing para pelajar dan pekerja bumiputera lebih baik dari sebelumnya.

Zaman akan datang adalah zaman globalisasi - zaman di mana bahasa Inggeris mendominasi. Melainkan kita punya teknologi tersendiri yang menyebabkan dunia terpaksa belajar dari kita, maka terpaksalah kita akur kepada kehendak perkembangan semasa.

Bahasa Melayu tidak mampu melawan dominasi keperluan bahasa Inggeris dalam globalisasi. Ini fakta yang terpaksa kita terima dengan fikiran terbuka.

Dahulu, orang Eropah sanggup belajar bahasa Arab kerana mahu belajar teknologi dan kesusasteraan serta falsafah yang waktu itu dikuasai oleh orang Islam.

Ibnu Sina baca karangan Aristotle dan Plato yang tidak ditulis dalam bahasa Arab. Demikian juga Ibnu Khaldun dan Ibnu Taimiyah. Mereka ini sarjana Islam yang menguasai pelbagai bahasa tetapi boleh menulis dalam bahasa Arab.

Orang Jepun selepas dijatuhi bom nuklear sibuk mempelajari bahasa Inggeris juga. Kemudian mereka menghantar para pelajarnya ke luar negara dan kembali membina negaranya semula. Hari ini Jepun menjadi salah satu negara ketua teknologi dan ekonomi yang memaksa negara lain secara langsung atau tidak langsung merujuk mereka. .

Hari ini bila kita hantar para pelajar kita belajar ke Jepun, para pelajar kita kena mahir berbahasa Jepun bukan bahasa Inggeris.

Lihat proses ini berlaku seperti satu kitaran. Sewaktu kita tidak punya apa-apa - kita belajar dari orang lain - kita kena guna bahasa mereka. Bila kita mahir dan mempunyai kecemerlangan tersendiri, orang mahu belajar dari kita, dia kena guna bahasa kita.

Hari ini apa keistimewaan negara kita yang menyebabkan dunia perlu belajar dari kita?

Kita ada Petronas, kita ada HICOM, kita ada pelbagai lagi raja industri yang hari ini adalah salah satu dari pemain dunia. Semuanya ini masih lagi alternatif - bukan satu-satunya di dunia ini. Namun begitu, kita menjadi rujukan kepada dunia ketiga. Yang menariknya, bila orang belajar dari kita, kena ajar dalam bahasa Inggeris.

Apakah ini kerana sikap toleran atau pun kerana terlalai atau memang sengaja tidak mahu menggunakan bahasa Melayu? Lihatlah UIA. Orang datang belajar di Malaysia - pakai bahasa Inggeris.

Dalam hal ini, ada baiknya kita renung kisah program televisyen kartun Jepun.

Kartun Jepun asalnya amat sukar untuk dijumpai berbahasa Inggeris suatu ketika dulu - kalau ada pun sarikata. Hari ini kartun Jepun sudah berbahasa Inggeris. Akibatnya? Kartun Jepun menakluki dunia!!!

Dan Jepun tidak berhenti dengan kartun, mereka turut memasarkan video, komik, barangan permainan dan sebagainya berasaskan watak kartun berkenaan. Ianya memberikan pulangan jutaan ringgit. Dan Jepun tidak dianggap derhaka kepada budaya dan bahasanya.

Berdepan dengan isu, sensitiviti dan emosi harus diimbang dan ditimbang. Jangan sampai kita marah kerana kita tersinggung sehingga membutakan kita kepada kemungkinan positif disebalik sesuatu tindakan.

 


Best view with Internet explorer 4.0 and above & resolution 800 X 600 pixel
Hakcipta Terpelihara Pendidik
. Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai.
PeNdiDik 2000-2002© Pendidikmy@yahoo.com