bil.106/2002
PENGUASAAN BAHASA INGGERIS ANTARA KELEMAHAN
PEMBELAJARAN & PENGAJARAN (P&P) ATAU KESILAPAN ALIRAN PENDIDIKAN PELAJAR


Era globalisasi, k-ekonomi, dan keperluan memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT)
yang melanda dunia dewasa ini menuntut kepada keperluan penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dan komunikasi global bagi memudahkan kita berdaya saing di peringkat antarabangsa. Dari segi kedudukan bahasa dunia yang utama, bahasa yang mempunyai paling ramai penuturnya ialah bahasa Mandarin iaitu sekitar 1.5 billion, diikuti bahasa Sepanyol, bahasa Inggeris dan bahasa Melayu (250 juta).

Walaupun dari segi status, bahasa Inggeris adalah bahasa ketiga utama di dunia dan kita mempelajari dan memberi penekanan serius terhadapnya dalam pendidikan Malaysia, disebabkan bahasa tersebut merupakan medium yang digunakan sebagai pencetus teknologi daripada Barat yang bahasanya ialah Inggeris.

Untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berdaya saing dalam pelbagai bidang samaada dari segi ekonomi, teknologi, keilmuan, pendidikan mahupun politik memperlihatkan kepada hambatan keperluan pengusaan bahasa Inggeris sepenuhnya di kalangan rakyat negara ini khususnya generasi muda yang bakal mencorakkan negara di masa hadapan tanpa mengorbankan jatidiri dan identiti rakyat Malaysia dan Melayu khususnya. Sewajarnya kita mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris untuk memperkukuhkan bahasa Melayu.

Justeru itu pelbagai reaksi ditimbulkan berhubung dengan kelemahan pelajar dalam menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Namun demikian ramai yang memberi pandangan dengan mengambil jalan mudah penyelesaian kepada masalah ini dengan mancadangkan diperkenalkan aliran Inggeris dengan penuh emosi tanpa kajian terperinci dan fahaman yang jelas terhadap isu ini serta kesan jangka panjangnya yang perlu didatari dari aspek sejarah.

Secara umum ramai yang terkeliru tentang masalah sebenar kelemahan pelajar dalam bahasa Inggeris samada kelemahan penguasaan yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor atau kesilapan aliran yang mendatari pendidikan pelajar.
Persoalannya apakah cadangan pengwujudan semula sekolah aliran Inggeris yang sudah lama dimansuhkan mampu menyelesaikan masalah penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar Melayu hari ini? Apakah dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dalam pendidikan akan berjaya membina bangsa yang maju dan berdaya saing? Bagaimanakah pula masa depan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan?

Peranan bahasa sebagai alat komunikasi terpenting adalah suatu yang tidak perlu dibahaskan lagi. Bahasa turut memainkan peranan penting sebagai alat untuk mencari dan menimba ilmu pengetahuan. Malah peranan bahasa sebagai senjata ampuh dalam mempertahankan jatidiri bangsa dan alat perpaduan masyarakat juga adalah satu yang tidak boleh dipandang enteng.

Jika ditelusuri lembaran sejarah, kita akan mendapati perjuangan untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah memakan pengorbanan yang besar. Selepas peristiwa hitam 13 Mei 1969, kedudukan Bahasa Melayu mula terjamin dan menjadi wahana penting untuk memantapkan perpaduan dikalangan kaum.

Majlis Perundingan Negara yang dibentuk ekoran tragedi ngeri itu, telah menggagaskan beberapa resolusi penting termasuklah penegasan semula perlaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) yang diasaskan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960. Penyata Razak dengan jelas dalam Perenggan 12 menyatakan keperluan untuk menjadikan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu, sebagai bahasa pengantar utama "dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa" demi perpaduan negara. Laporan Rahman Talib 1960 memperkukuhkan lagi tujuan dan cara mencapainya. Berlandaskan kepada kedua-dua Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib, wujud Akta Pelajaran 1961.

Dalam bidang pendidikan, DPK telah dilaksanakan dengan berkesan secara berperingkat. Sekolah aliran Inggeris mula ditukar menjadi aliran kebangsaan. Dalam tahun 1970, darjah satu sekolah rendah aliran Inggeris menjadi darjah satu aliran kebangsaan. Seterusnya penukaran ini berjalan hinggalah ke tahun 1982 apabila Tingkatan Enam Atas aliran Inggeris menjadi aliran kebangsaan.

Usaha menukar aliran Inggeris kepada aliran Kebangsaan merupakan usaha yang penuh penelitian, ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk memastikan bahasa Melayu sebagai agen pemersatu dan pemupukan integrasi nasional. Namun dalam masa yang sama ketika itu matapelajaran bahasa Inggeris terus diajar sebagai asas untuk penerokaan ilmu yang lebih luas. Jelas faktor aliran bukan persoalannya.

Komitmen yang dijalankan melalui penegasan pendaulatan dan penggunaan bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu sebagai pengantar utama di dalam sistem pendidikan kebangsaan adalah semata-mata untuk menyelesaikan masalah perkauman yang melanda lantaran wujudnya fragmentasi dalam masyarakat akibat daripada kepelbagaian aliran pendidikan. Malah pelbagai aliran pendidikan yang ditinggalkan oleh penjajah Inggeris di peringkat sekolah hinggalah ke peringkat tertinggi inilah yang antara penyebab utama kerenggangan hubungan antara kaum yang akhirnya meletus krisis terbesar antara kaum pada 13 Mei 1969.

Memahami sejarah dan kepentingan meletakkan bahasa Melayu di tempatnya adalah penting agar dalam upaya dan semangat yang bergelodak untuk menguasai bahasa asing, kita tidak sekali-kali cuba merendahkan martabat bahasa sendiri yang menjadi asas perpaduan dan pembinaan jatidiri bangsa Malaysia. Malah dalam mengorak langkah ke hadapan bagi membangunkan tamadun bangsa yang gemilang, keyakinan terhadap bahasa sendiri tidak harus luntur sehingga sanggup melakukan tindakan yang tidak wajar yang hanya menuntun kepada masalah yang lebih besar.
Berapa banyak negara yang cuba mendaulatkan bahasa asing sebagai bahasa utama dan pengantar di dalam kerangka masyarakatnya tidaklah berada pada tahap yang membanggakan. Sebagai bukti, negara Filipina menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di peringkat sekolah rendah, menengah, maktab dan universiti tetapi Filipina tidak pula dianggap sebagai sebuah negara maju.

Sebaliknya negara Jepun, Korea, Peranchis, Jerman yang menggunakan bahasa ibundanya sendiri dan tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, sudah dan terus maju dalam bidang sains dan teknologi.

Walaubagaimanapun, melihat kepada realiti kini dalam keghairahan pelbagai pihak mendaulatkan bahasa kebangsaan, bahasa Inggeris perlu terus dikuasai sebagai bahasa teknologi maklumat dan pengembangan ilmu pengetahuan untuk memampukan kita bersaing dalam dunia global.

Islam umpamanya menekankan kepelbagaian umatnya menguasai pelbagai bahasa sebagai medium utama mengembangkan ilmu pengetahuan dan pembinaan tamadun. Sebagai contoh di Baghdad pada zaman Khalifah al-Makmum telah didirikan Bait al-Hikmah yang berperanan sebagai institusi menterjemahkan karya-karya ilmiah Yunani ke bahasa Arab. Institusi ini telah melahirkan pelbagai cendiakawan yang menguasai lebih daripada satu bahasa antaranya seperti al-Kindi, al-Farabi, Ibnu Sina dan Ibnu Rusyd. Mereka menguasai pelbagai bahasa sebagai jambatan ilmu tanpa pendewaan melampau kepada bahasa asing hingga meminggirkan adat resam, budaya dan bahasa sendiri.

Justeru itu kelemahan mempelajari bahasa Inggeris dikalangan pelajar Melayu dilihat kelemahannya dari perspektif penguasaan yang bertitik tolak daripada pengubahsuaian yang perlu dibuat daripada kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohammad ( Massa, 4 Nov 2000, m.s. 12) menyatakan bahawa asas penguasaan bahasa berlegar kepada 3 asas utama, pertama: membaca, kedua: menulis, ketiga: bertutur. Kebanyakan pelajar Melayu khususnya lemah dalam aspek penulisan, komunikasi atau pertuturan sekalipun mereka memahaminya. Beliau berpendapat sistem pembelajaran yang ada sekarang sudah cukup tetapi perlu dimantapkan lagi bagi memastikan pelajar mampu mengatasi kelemahan ini.

Menurut Dato' Dr. Zainal Abidin Wahid seorang tokoh veteran pendidikan pernah menyatakan bahawa kelemahan ini antaranya disebabkan oleh faktor medium pengajaran yang tidak kreatif dan dikembangkan. Mempelajari bahasa berbeza daripada matematik dan sains yang bersifat teknikal dan kefahaman. Bahasa memerlukan pengasahan tabiat dan penguasaan secara berterusan. Menurut beliau lagi dalam satu Konvensyen Pendidikan 2001 anjuran PKPIM dan DBP, bahawa agak menghairankan kalau Pasukan Keamanan Amerika Syarikat (American Peace Corps) boleh menguasai bahasa Melayu dalam tempoh 6 bulan belajar di Amerika Syarikat dan tiga hingga enam bulan lagi bagi menyesuaikan bahasanya untuk mengajar di sekolah bahasa Melayu tetapi pelajar kita yang diwajibkan belajar bahasa Inggeris selama sebelas tahun, dari darjah satu hingga tingkatan lima, kebanyakannya tidak dapat bertutur dalam bahasa Inggeris dengan memuaskan.

Melihat pada tempoh 11 tahun pelajar mempelajari bahasa Inggeris di peringkat rendah dan menengah, seharusnya isu kelemahan penguasaan bahasa Inggeris tidak timbul jika menggunakan sistem pengajaran dan pembelajaran bahasa yang betul. Pelajar kita mampu menguasainya jika pendekatan dan kaedah yng digunakan benar-benar berkesan. Pengarah Asia Pasifik Cambridge International Examinations (CIE), Cristiane Cayles dalam kenyataannya (Berita Harian, 26 Mac 2001) berhubung dengan prestasi pelajar Malaysia dalam kertas bahasa Inggeris 1119 kelolaan bersama Lembaga Peperiksaan Malaysia dan University of Cambridge Local Examinations Syndicate (UCLES), adalah baik dan cukup memberangsangkan, malahan ada yang lebih cemerlang berbanding mereka yang mendudukinya di luar negara.

Seharusnya isu aliran Inggeris tidak timbul kerana ia bakal mengundang pelbagai masalah lain. Sepatutnya kita semua lapisan masyarakat menggembeling pengupayaan supaya kelemahan tersebut dapat diperbaiki tidak hanya terbeban kepada Kementerian Pendidikan dan guru-guru sahaja. Justeru itu kajian terperinci perlu dibuat oleh Jawatankuasa Khas bukan sahaja diperingkat Kementerian Pendidikan tetapi jawatankuasa tersebut ditubuhkan diperingkat sekolah-sekolah, universiti, kolej, maktab dan IPT seluruh negara bagi mengenal pasti masalah ini secara tuntas (makro dan mikro). Usaha ini wajar kerana tahap perkembangan penguasaan bahasa Inggeris para pelajar berbeza berdasarkan faktor tempat, kemudahan, persekitaran, kewibawaan guru, galakan keluarga dan kaedah pembelajaran.

Sikap, peesonaliti, pengalaman, pendedahan dan mentaliti juga memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan seseorang. Ramai tokoh-tokoh negara, cendiakawan dan teknokrat dalam pelbagai bidang lahir daripada aliran kebangsaan yang wujud sejak tahun 1970, dimulakan oleh YB Datuk Abd Rahman Yaakob, Menteri Pelajaran ketika itu. Faktor bahasa bukanlah satu-satunya sebab graduan kita tidak berdaya saing dan menembusi kehendak pasaran pekerjaan.

Justeru polemik yang melanda kini perlu mengambil pendekatan yang komprehensif dengan pengkajian teliti, rapi dan berasaskan fakta yang tepat agar faktor yang sebenar melingkari permasalahan tersebut dapat dikenal pasti. Pelan tindakan yang konkrit dan bersifat jangka panjang perlu diwujudkan, daripada tindakan yang melulu tanpa sandaran dan pastinya menuntun masalah lebih besar serta tiada berkesudahan.

Keprihatinan kerajaan dalam isu penguasaan bahasa Inggeris dikalangan generasi muda perlu disahut oleh semua pihak bagi memastikan kemampuan kita bersaing dan menguasai maklumat serba canggih tanpa meminggirkan keupayaan bahasa Melayu sebagai elemen pemersatu yang juga mampu berdaya saing. Namun mewujudkan semula aliran Inggeris bukanlah satu-satunya jalan keluar yang terbaik. Moga-moga sebarang tindakan dan polisi mengenai isu tidak menyamai nasib seperti ungkapan "Yang dikejar tak dapat, yang dikendong jatuh berciciran"


Khairul Arifin Mohd Munir
Setiausaha Agung
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
(E-mail : sua@pkpim.com)

 


Paparan terbaik menggunakan Internet explorer 4.0 dan ke atas dengan resolusi 800 X 600 pixel
Hakcipta Terpelihara Pendidik
.Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai.
PeNdiDik 2000-2002© Pendidikmy@yahoo.com