bil.107/2002
Pelajar lelaki lambat cerdas berbanding wanita


PELAJAR lelaki berusia 11 tahun didapati 12 bulan lebih lewat dari segi kecerdasan membaca berbanding pelajar perempuan. Mereka juga didapati 12 bulan lewat dari segi ketepatan mencongak dan lewat enam bulan dari segi kepantasan mengira berbanding pelajar perempuan.
Kajian pakar pendidikan di Britain pada 2000 itu, menguatkan hakikat bahawa pelajar perempuan di negara itu lebih bijak dan menunjukkan pencapaian lebih baik berbanding lelaki.
Fenomena itu turut menjelaskan mengapa pelajar perempuan lebih ramai memasuki institusi pengajian tinggi di Britain.
Pakar pendidikan Geoff Hannan dari Britain dalam kajiannya berkata, corak pencapaian itu menunjukkan kelebihan pelajar perempuan berbanding lelaki pada peringkat purata dalam usia mereka sebelum mencapai akil baligh.
Katanya, pada waktu itu iaitu ketika usia 11 tahun ke atas, wujud jurang perbezaan dalam pencapaian antara kedua-dua jantina. Pelajar perempuan sentiasa mencatat markah lebih tinggi berbanding lelaki dalam mata pelajaran bahasa.
Pengkaji lain, Robert Oxburgh juga dari Britain, pula berkata, pada peringkat asas, penilaian menunjukkan markah diperoleh pelajar lelaki kurang berbanding perempuan dalam hampir semua mata pelajaran peringkat sekolah mene-ngah.
Katanya, 85 peratus daripada pelajar perempuan mencatatkan tahap pendidikan peringkat kedua dan 30 peratus lagi melebihi peringkat ketiga. Ini berbanding lelaki yang masing-masing hanya mencapai 72 peratus peringkat kedua dan 20 peratus peringkat ketiga.
"Kelebihan pelajar perempuan adalah dalam mata pelajaran bahasa Inggeris dan Sains. Dalam Matematik pula, ia tidak menunjukkan perbezaan ketara walaupun pencapaian pelajar perempuan semakin mendekati lelaki," katanya.
Kajian itu juga menjelaskan punca pelajar perempuan lebih bijak berbanding lelaki sejak dalam rahim lagi. Seminggu sebelum janin mengikut jantina terbentuk, gen yang membentuk janin itu adalah gen perempuan iaitu XX.
Selepas janin menjadi embrio, barulah gen XX berubah kepada XY iaitu gen lelaki sekiranya bayi yang akan dilahirkan adalah lelaki.
Katanya, ketika mereka masih dalam rahim, pusat bahasa otak bagi janin perempuan berkembang lebih pantas dan ini menghubungkan otak dengan emosional dan rasional.
Kedua-duanya membolehkan perempuan berfikir, bertindak, beremosi dan bercakap pada masa sama.
"Bukti saintifik dan logik ialah perempuan boleh menggosok baju sambil mata melihat program televisyen. Teliga mendengar sama ada suara di televisyen atau telefon, dan mulut pula sedang berbual di telefon," katanya.
Ini berbeza dengan janin lelaki yang mana perhubungan otak dengan emosional dan rasional bergerak lebih perlahan. Ini menyebabkan lelaki cenderung untuk bertindak balas secara emosi, tetapi pantas untuk melakukan sesuatu tindakan pada masa serentak.
Faktor luaran yang boleh mempengaruhi kecerdikan kedua-dua gender ialah fungsi role model, tekanan kumpulan sebaya, penerapan model atau kaedah berfikir dan berkomunikasi.
Satu lagi kajian yang dibuat di Sekolah Tinggi Notley di Braintree, Essex, Britain selama tiga tahun menunjukkan pelajar lelaki dapat belajar dengan lebih pantas jika duduk bersebelahan pelajar perempuan di sekolah.
Kajian itu dijalankan dengan kerjasama penasihat Majlis Daerah Essex dan panel pemeriksa perkhidmatan daerah itu.
Guru Besar Sekolah Tinggi Notley, John Hartley, berkata pelajar lelaki dan perempuan yang duduk bersebelahan dapat mengurangkan jurang pencapaian pendidikan mengikut jantina.
"Paling penting, keadaan ini mengurangkan budaya ganas, buli, samseng, pukul dan cemburu di kalangan pelajar lelaki terhadap rakan lelaki mereka yang lebih cerdik dalam kelas.
"Budaya ini dapat dikurangkan dengan memisahkan pelajar lelaki daripada kumpulan mereka. Dengan meletakkan mereka bersebelahan pelajar perempuan, sedikit sebanyak meningkatkan prestasi mereka dalam pelajaran berbanding sebelumnya, " katanya.
Hartley berkata, langkah meletakkan mereka bersebelahan juga berjaya menggalakkan rasa hormat dan mengurangkan sikap suka memperbodohkan pelajar lelaki lain yang lebih cerdik.
Katanya, hasil kajian mendapati setiap pelajar mempunyai gaya pembelajaran berbeza. Pelajar lelaki lebih cenderung mengagak untuk mendapat keputusan segera, manakala perempuan pula lebih baik dalam menyusun maklumat, menganalisis dengan berhati-hati serta membuat keputusan dengan logik.

Ehsan : Berita Harian


Paparan terbaik menggunakan Internet explorer 4.0 dan ke atas dengan resolusi 800 X 600 pixel
Hakcipta Terpelihara Pendidik
.Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai.
PeNdiDik 2000-2002© Pendidikmy@yahoo.com