bil.43/2001

Pendidik
Cikgu.PJJ
Artikel
Forum
Jalinan
RakanWeb
Perihal
Pembelajaran Melalui Internet, Satu Pertukaran Paradigma

Oleh: Hizamnuddin Awang (CikguNet)

Penggunaan Internet boleh ditekankan kepada pembelajaran yang melibatkan capaian kepada maklumat.

Internet mengandungi kumpulan data dan maklumat yang banyak yang berkaitan dengan pelbagai topik. Dalam pencarian item maklumat tertentu, domain maklumat boleh dibahagikan kepada tiga kategori mudah. Pertama ialah kategori maklumat yang sesuai, iaitu cebisan maklumat yang sememangnya anda kehendaki dalam pelbagai bidang ilmu.

Kedua kategori maklumat yang memang tidak diperlukan langsung; yang ini merujuk kepada kumpulan maklumat yang tidak ada nilai dan tidak ada kaitan langsung dengan keperluan anda seperti khabar angin, laman web lucah, laman web palsu dan seumpamnya.

Kategori ketiga ialah maklumat yang masih samar-samar. Ianya merupakan kumpulan maklumat yang perlu diperdebatkan dan dibincangkan sama ada ia sesuai atau tidak. Jenis ketiga ini sesuai jika anda ingin memperdebatkan isu-isu semasa dalam bidang tertentu. Peluang pembelajaran melalui Internet lebih bersifat terbuka dan luas kerana ia tidak tertakluk kepada lokasi tertentu, sebaliknya ia meliputi seluruh dunia.

Secara tidak langsung ia juga menjurus kepada kelompok sasarannya sendiri seperti pelajar-pelajar di peringkat sekolah rendah, menengah, institusi pengajian tinggi, pendidik, guru-guru dan pihak-pihak yang berminat dalam bidang pendidikan. Di samping itu kumudahan Internet juga menyediakan ruang dan maklumat pembelajaran kepada golongan profesional dalam bidang tertentu, seperti kejuruteraan, perubatan, farmasi, teknologi, komputer dan sebagainya. Bagi pengguna ramai yang lain, Internet menyediakan pelbagai maklumat dan berita semasa dalam pelbagai bidang, serta pengalaman orang lain bagi dikongsi bersama.

Dalam era digital ini semua maklumat berbentuk bit komputer yang disediakan dalam bentuk laman-laman web. Maklumat-maklumat ini dipersembahkan dalam bentuk laman web yang boleh dicapai oleh semua orang, sama ada secara percuma, dengan cara mendaftar keahlian atau dikenakan sedikit bayaran. Semua maklumat dalam Internet disediakan dalam satu komputer utama yang dipanggil pelayan. Setiap permintaan dari pengguna akan sampai ke pelayan, dan pelayan akan memberikan jenis maklumat yang dimahukan.

Maklumat dalam web yang berbentuk bit boleh dikemas kini sekerap yang dikehendaki. Sekiranya seseorang pengguna ingin menyimpan maklumat dalam bentuk bercetak, maka ia boleh dicetak dengan pencetak (menukarkan bit maklumat kepada atom). Kaedah ini melibatkan paradigma penerbitan maklumat tradisional bertukar arah. Sehingga sekarang, maklumat berbentuk atom akan dicetak kemudian diedarkan. Berlainan pula dengan maklumat bit di masa hadapan. Ia akan disebarkan terlebih dahulu, kemudian baharulah dicetak. Pengguna turut mempunyai lebih kebebasan dalam usaha memperolehi maklumat yang dikehendaki.

Jenis maklumat dan bila masa yang sesuai akan ditentukan sendiri oleh pengguna, tidak lagi disogokkan dengan semua maklumat serentak. Dewasa inipun, sudah ada idea menghasilkan buku digital yang terbentuk di skrin komputer. Buku digital ini disimpan dalam pelayan, dan pengguna boleh memuat turun kandungan buku secara bab demi bab atau keseluruhan buku, pastinya akan dikenakan bayaran.

Tetapi bayaran yang akan dikenakan jauh lebih murah dari sekarang. Kandungan boleh dibaca di skrin PC, komputer buku nota (notebook) atau komputer telapak. Bentuk simpanan maklumat dalam komputer telapak atau berbentuk sebuah buku digital akan membolehkan pelajar-pelajar mengulangkaji pelajaran di mana-mana sahaja; di tepi padang, dalam LRT, di kafe atau semasa menunggu rakan. Antara yang paling penting dalam usaha memajukan penggunaan buku digital ialah capaian Internet murah dan pantas. Dan antara yang menjadi isu kritikal ialah capaian tanpa wayar atau wayerles, pastinya dengan harga murah.

Pembelajaran berbentuk digital ini juga boleh dipanjangkan kepada penggunaan sebuah kamera kecil bagi dilengkapi bersama komputer. Dengan cara ini, pelajar-pelajar boleh mengikuti sesi pembelajaran di mana sahaja mengikut kesesuaian mereka. Mereka boleh melihat wajah guru dan boleh berinteraksi secara langsung. Interaksi boleh dilakukan secara bualan bilik borak secara teks ataupun nota boleh dihantar secara e-mel atau boleh dimuat turun dari pelayan yang disediakan oleh guru.

Jika mereka tidak dapat mengikuti secara langsung, semua sesi tadi boleh disimpan dalam pelayan secara penuh dan ianya boleh dicapai oleh pelajar di lain masa. Antara perkara penting yang perlu dilengkapkan terlebih dahulu ialah guru-guru mesti bersedia secara mental dan pengetahuan dalam penggunaan peralatan Internet. Guru mesti mahir memasukkan nota dan video ke dalam pelayan. Guru mesti mahir menghidupkan kamera bila sesi pembelajaran dimulakan. Dan penyedia perkhidmatan Internet serta pihak sekolah, kolej dan universiti mesti menyediakan prasarana fizikal dan perisian yang bersesuaian supaya proses yang terjadi tidak tersekat di tengah jalan. Kanak-kanak yang dikategorikan sebagai generasi Internet ini memulakan pemprosesan maklumat dan belajar dengan cara yang berlainan berbanding dengan generasi sebelum mereka.

Peralatan media baru menawarkan peluang besar kepada model pembelajaran. Ianya berdasarkan kepada penerokaan dan penglibatan aktif. Kombinasi generasi dan peralatan digital baru memerlukan proses pemikiran semula ke atas kaedah pendidikan, dalam kedua-dua kandungan dan proses penghantaran. Apabila generasi Internet memasuki dunia pekerjaan, ia akan membentuk asas permintaan supaya majikan menyediakan persekitaran bagi proses pembelajaran sepanjang hayat.

Dunia ekonomi bagi generasi Internat ialah ekonomi digital. Dalam ekonomi ini, aset paling penting ialah manusia dengan membentuk pekerja berpengetahuan. Sebagai contoh ialah jika kita ambil Netscape sebagai syarikat ekonomi baru. Bila menilai aset bagi syarikat ekonomi baru seperti Netscape, anda tidak bertanya soalan seperti "Berapa banyak tanah yang dimiliki oleh syarikat" atau "Apakah nilai kemudahan pengeluaran yang dipunyai oleh Netscape?". Apa yang menjadi aset penting wujud dalam minda pengurus-pengurus dan pekerja syarikat.

Bentuk dominan modal dalam ekonomi digital yang sedang meningkat sekarang ini boleh dilihat dalam bilik komputer yang disediakan oleh sekolah. Usaha ini nampaknya tidak akan berhenti. Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia bersama syarikat seperti MIMOS Berhad telah dan sedang meneruskan usaha mewujudkan Sekolah Bestari, yang bukan sahaja sekolah yang bestari, malah guru, pelajar dan masyarakat sekitar perlu juga bestari.

Yang paling utama bukan setakat mengadakan bilik komputer atau pusat siber di sekolah, tatapi minda guru-guru perlu diubah. Guru-guru menjadi agen penting bagi mempastikan tenaga pekerja pengetahuan dapat disediakan dalam ekonomi digital.
 

PeNdiDik©2000-2001.Emel:pendidikmy@yahoo.com