bil.44/2001

Pendidik
Cikgu.PJJ
Artikel
Forum
Jalinan
RakanWeb
Perihal
Begitulah..pelajar Melayu!

oleh : Fakir Fikir (sekolah.com)

Pelajar Melayu bukannya tidak cemerlang. Mereka mempunyai potensi untuk cemerlang. Bahkan, banyak bukti menunjukkan bahawa orang Melayu boleh berjaya. Menjadi masalah kepada mereka sebenarnya ialah sikap mereka yang malas belajar. Itulah sebahagian daripada pandangan yang dikemukakan dalam Persidangan Agung UMNO di PWTC baru-baru ini.

Memang mungkin pandangan seumpama itu ada benarnya. Jika orang Melayu bodoh, mustahil ada di mereka yang mendapat 10A1 atau 11A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Bahkan, ada juga pelajar pintar yang boleh sampai sehingga ke Oxford walaupun usia masih muda, seperti yang ditunjukkan Sufiah Farouk yang malangnya kini kita tidak mendengar berita daripadanya. Banyak juga ahli akademik dari kalangan orang Melayu di negara ini yang menjadi pakar rujuk penting dalam dan luar negara. Kerana kebijksanaan yang luar biasa, ada di kalangan mereka ini yang telah dilantik sebagai profesor walaupun baru beberapa tahun mengajar seperti yang pernah berlaku di Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Begitulah hebat dan bijaknya orang Melayu.

Malangnya, jumlah orang Melayu dalam kategori ini sangat sedikit. Anak-anak Melayu lebih banyak menonjol sebagai 'samseng" dan "kaki pukul" di sekolah. Semasa lawatan saya ke sebuah sekolah di ibu kota, saya dapati beberapa pelajar Melayu dengan gaya pakaian ala "hippies" dan "punk" sedang mengusik seorang pelajar perempuan yang sedang menjaga gerai pameran. Salah seorang daripada ahli kumpulan ini cukup hebat. Ketika rakan-rakannya yang lain telah pun berlalu pergi, dia masih berdiri tegak merenung tajam pelajar perempuan tadi tanpa sepatah kata menyebabkan pelajar perempuan tadi tidak senang duduk. Saya merenung jam tangan saya. Lebih daripada sejam pelajar lelaki itu merenung pelajar perempuan tersebut. Ya, hebat sekali pelajar lelaki Melayu! Kalaulah dia dapat digandingkan dengan Al Pacino atau Robert De Niro dalam filem mafia Hollywood, mungkin dia bakal menjadi aktor terhebat.

Begitu jugalah ketika saya bersama dengan beberapa orang teman yang lain ketika di Johor Bahru beberapa bulan yang lepas. Kami terlibat dalam satu seminar di sebuah hotel terkemuka di sana. Dalam majlis tersebut, yang hadir ialah pegawai pendidikan, guru, kaunselor dan juga pelajar. Dan nampaknya kelibat yang hampir sama seperti yang saya temui dalam cerita tadi ada juga di Johor Bahru. Ada beberapa pelajar yang berpakaian ala punk, memakai rantai leher serta ada gelang besi di seluar mereka. Kalaulah yang dibawa mereka itu ialah buku, tentu ia baik sekali.

Sebenarnya inilah masalah yang telah sekian lama melanda pelajar Melayu. Kita tidak nafikan ada juga pelajar di kalangan bangsa yang lain pun bertingkah laku sedemikian. Tetapi, masalah seumpama ini nampaknya lebih menonjol di kalangan pelajar Melayu. Ramai di antara mereka yang mahu dianggap sebagai wira dengan bertingkah laku yang agak songsang. Mereka mahu menjadi hero dengan membakar bangunan sekolah, bergaduh, merosakkan kereta guru disiplin dan sebagainya. Sememangnya nama mereka akan terkenal di seluruh sekolah, baik pelajar mahupun guru. Tetapi, apakah maknanya jika populariti mereka itu tidak lebih daripada jaguh ayam kampung yang hanya tahu berkokok di gelanggang sendiri. Untuk melahirkan jaguh seperti ini, kita tidak pun perlu menghantar mereka ke sekolah. Ia boleh dihasilkan dengan cara yang cukup mudah, sama mudahnya seperti memasak mee segera. Tetapi, bukan inilah wira atau jaguh yang kita mahukan.

Mengapa perkara seumpama ini boleh berlaku? Adakah kerana pengaruh televisyen, wayang gambar, Internet atau media massa yang lain? Kata orang inilah puncanya. Tetapi mengapa ketika pelbagai pengaruh itu menular dan sedang merobek budaya Melayu, pelajar Cina masih boleh terus membaca buku sambil membantu bapanya berniaga? Kata orang, inilah kesan kemajuan dan pemodenan. Benarkah begitu? Adakah bangsa lain tidak terkesan sama pengaruh kemajuan ini? Atau mungkin orang Melayu lebih mudah akur dan menerima apa saja yang datang. Mereka mudah terpengaruh dengan apa sahaja yang bersifat baru. Sama ada baik atau buruk, ia ditolak ke tepi. Alangkah malangnya orang Melayu! Mungkin kerana itulah lebih ramai remaja Melayu, terutamanya lelaki berada di pusat serenti berbanding universiti!

Sampai ke hari ini, kita masih mencari punca kelemahan pelajar Melayu dalam pendidikan.
Di universiti,jika kita mahu mencari pelajar yang mendapat ijazah kelas pertama, ia ibarat mahu mencari sebutir permata di tengah lautan. Tetapi, jika mahu mendapatkan pelajar yang mendapat kelas ketiga, ia sama mudahnya seperti kita mendapatkan butir-butir batu di tepi jalan. Cuma sehingga kini rekod ijazah kelas pertama yang belum ditembusi lagi ialah di Fakulti Pengajian Islam. Itu pun kerana majoriti pelajar di sana ialah mereka yang beragama Islam. Jika pelajar bukan Melayu ada di sana, kita belum boleh menjamin lagi.

Suka atau tidak, inilah antara senario yang sedang dihadapi masyarakat Melayu. Sememangnya pelajar Melayu mempunyai potensi untuk menjadi yang terbaik. Sayangnya, potensi ini telah digunakan secara terbalik. Maka mereka terlebih cemerlang dalam hal-hal yang terlarang.
 

PeNdiDik©2000-2001.Emel:pendidikmy@yahoo.com