Nasib Penyelaras
Pusat Kegiatan Guru (PKG)
Oleh : Penyelaras Pencen
Langkah Kementerian Pendidikan
mewujudkan Pusat Kegiatan Guru (PKG) sejak 10 tahun yang lalu adalah satu
usaha murni ke arah memartabatkan profesionalisme perguruan.
Ia satu langkah yang berani
dan memang patut diberi pujian.Matlamatnya ialah membantu guru amnya dan
sekolah serta pelajar,khasnya.Kegiatan utama yang dilaksanakan setiap tahun
ialah memberi ilmu kepada guru dalam bidang teknologi pendidikan.Berjuta
ringgit dibelanjakan untuk prasarana Pusat Kegiatan Guru.
Sebagai sebuah agensi paling
hampir dengan guru serta masyarakat setempat,Bahagaian Teknologi Pendidikan
(BTP)mahu menjadikan PKG sebagai sebuah organisasi pendidikan yang berteraskan
peningkatan profesionalisme guru.
Selain itu PKG diharapkan
akan turut bergerak sebagai sebuah pusat rujukan,ilmu,pendidikan serta
bertindak bukan saja di kalangan guru tetapi juga masyarakat setempat.
Itu salah satu matlamat
BTP dan Kementerian Pendidikan mewujudkan PKG.Bunyinya memang cantik dan
canggih.Tetapi kasihan kepada penyelarasnya.Seorang penyelaras ditugaskan
mentadbir PKG.Mereka bertugas waktu pejabat iaitu dari jam 8 pagi hingga
4.30 petang.
Bermula dari membuka pintu
pejabat,menyapu,mengemas,mencuci tandas (berbangunan sendiri),melakukan
kerja perkeranian,menganjurkan dan seterusnya memberikan kursus kepada
guru.Penyeleras memberikan pelbagai kursus kepada guru,manakala penyelaras
pula mengikuti pelbagai kursus dalam bidang pentadbiran,perkeranian,pengurusan
kewangan,penyelenggaraan komputer,perisisan komputer yang mudah seperti
"Microsoft Office" hingga kepada membangunkan perisisan multimedia untuk
sekolah bestari.
Tetapi sungguh malang sekali,gred
jawatan mereka hanya DG6 sahaja. Tahun demi tahun,konvensyen demi konvensyen
penyelaras PKG diadakan dan apa yang mereka mahu hanyalah jawatan penyelaras
dinaik tarafkan kepada DG5 masih belum menampakkan hasilnya.
Sudah lima Pengarah Bahagian
Teknologi Pendidikan bertukar ganti,jawatan penyelaras PKG masih di tahap
lama. Dimanakah silapnya? Tidak pernahkah BTP membawa permohonan itu kepada
pihak atasan? Atau mungkinkah Kementerian yang menganaktirikan PKG.
Kita mahu mencadangkan supaya
penyelaras yang sudah maksimum gred DG5 diberikan peluang memegang jawatan
sebagai guru penolong kanan.Memang ada peluang sebegini diberikan,tetapi
berapa kerat sahaja yang menikmatinya.
Sebahagian daripada mereka
terlepas pandang oleh Pejabat Pendidikan Daerah dan JAbatan Pendidikan
Negeri.Apa yang menyedihkan ialah ilmu dan Teknologi Pendidikan yang ada
pada mereka habis begitu saja apabila berada di sekolah.
Tugas yang mereka sandang
tidak membolehkan mereka mengembangkan ilmu kepada rakan lain,tidak seperti
waktu bertugas di PKG.
Seandainya jawatan penyelaras
dinaik taraf ke DG5 dan mereka dikekalkan di PKG,maka lebih banyak ilmu
dan pengalaman yang ada pada mereka dapat dikongsi dan disebarkan kepada
guru dalam PKG di sekolah,daerah dan peringkat negeri.
Tambah menyedihkan lagi
ialah mereka yang senasib dengan saya menjadi penyelaras PKG sampai pencen
(DG6).Rakan seangkatan dengan saya ramai yang berpencen dalam jawatan Guru
Besar (DG4 atau DG5).PPD dan Jabatan Pendidikan terlepas pandang agaknya.
Saya berharap agar perkara
ini mendapat perhatian yang sewajarnya daripada Jabatan Pendidikan, Bahagian
Teknologi Pendidikan dan khasnya Kementerian Pendidikan sendiri.Biarlah
saya dan beberapa orang rakan saja yang menjadi "mangsa".
|