Ketidakselarasan
Bahasa Melayu berpunca sikap guru
MASALAH ketidakselarasan
penggunaan istilah Bahasa Melayu di sekolah dengan Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP) berpunca daripada sikap guru yang tidak mengikuti perkembangan bahasa
itu.
Pengetua Institut Bahasa
Melayu Malaysia (IBBM), Alias Hassan berkata, sepatutnya para guru menggunakan
istilah bahasa yang dikeluarkan oleh DBP dalam pengajaran dan pembelajaran
di sekolah.
Katanya, oleh kerana ada
guru tidak mengemaskini pengetahuan terhadap perubahan daftar istilah DBP
maka mereka terus menggunakan istilah lama dalam pengajaran.
"Perkara itu menyebabkan
istilah yang disampaikan oleh guru di kelas tidak sama dengan apa yang
dikeluarkan oleh DBP," katanya kepada Utusan ketika ditemui pada Program
Konvensyen Pendidikan (Konpen) Ke-IX IBBM di Kuala Lumpur kelmarin.
Majlis dihadiri oleh 70 peserta
terdiri daripada guru dan pensyarah maktab. Alias berkata, para guru perlu
mengikuti perkembangan bahasa kerana DBP sentiasa memperbaharui daftar
istilah bahasa dari semasa ke semasa.
"Guru perlu mengemaskini
pengetahuan mereka terhadap daftar istilah yang dikeluarkan oleh DBP. Ini
kerana Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) berpandukan kepada daftar istilah
DBP.
"Jika guru ketinggalan dalam
mengikuti perubahan itu maka mereka akan menggunakan istilah lama di kelas.
"Perkara ini mencetuskan
masalah ketidakselarasan penggunaan istilah di sekolah dengan daftar yang
dikeluarkan oleh DBP," katanya.
Selain itu, Alias berkata,
sikap penulis buku latihan yang tidak mengikuti perkembangan bahasa juga
mencetuskan masalah ketidakselarasan itu.
Menurutnya, ada penulis buku
latihan tidak peka dengan perubahan pada daftar istilah dan para guru pula
tidak membuat semakan sebelum memulakan kelas.
"Perkara itu menyebabkan
pelajar terus didedahkan dengan daftar istilah lama sedangkan istilah baru
sudah lama dikeluarkan oleh DBP.
"Apabila mereka menghadapi
peperiksaan, kekeliruan timbul kerana ada istilah dalam kertas soalan tidak
pernah mereka temui dalam pembelajaran di kelas," katanya.
Bagaimanapun, kata Alias,
perbezaan istilah itu tidak jauh berbeza dan pelajar mampu memahaminya.
Mengulas Konpen Ke-IX, beliau berkata, ia diadakan dengan kerjasama DBP
dan tema konvensyen kali ini ialah Bestari Dalam Pendidikan Bahasa Melayu.
Menurutnya, tema itu sejajar
dengan objektif Konpen Ke-IX iaitu meningkatkan pemahaman pendidik terhadap
konsep sekolah bestari dan memberi panduan tentang amalan serta pembelajaran
bestari.
Katanya, ia juga bertujuan
menggalakkan kemahiran penggunaan multimedia secara bijak dan berkesan
untuk pengajaran bestari.
Pada konvensyen itu, sebanyak
enam kertas kerja dibentangkan dan antaranya bertajuk Konsep Bestari Dalam
Pendidikan Bahasa Melayu oleh Dr. Rohani Abdul Hamid dari PPK serta Tutor
dan Tutee: Pengajaran Bahasa Sekolah Bestari oleh Sulaiman Sarkawi dari
Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat, Universiti Pendidikan Sultan Idris
(UPSI), Tanjung Malim, Perak. |