Peperiksaan
sekolah -- Pelajar lelaki gagal cemerlang?
KEKURANGAN pelajar lelaki
di sekolah menengah atas mahupun institusi pengajian tinggi (IPT) dipercayai
bermula apabila peperiksaan am di sekolah seperti Sijil Rendah Pelajaran
(SRP) diperkenalkan.
Menurut Prof. Madya Dr. Aminah
Ahmad dari Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan Universiti
Putra Malaysia (UPM), kajian menunjukkan ramai pelajar lelaki gagal meneruskan
pelajaran ke peringkat menengah atas berikutan keputusan yang tidak baik
di peringkat menengah rendah seperti SRP.
``Namun ada faktor lain menyebabkan
jumlah pelajar lelaki berkurangan iaitu mereka mungkin berminat untuk bekerja,''
katanya.
Tambahnya, peluang pekerjaan
menjadi penyebab yang memaksa pelajar lelaki daripada keluarga yang berpendapatan
rendah untuk mencari pekerjaan ketika masih di bangku sekolah.
Pendapat Dr. Aminah itu adalah
berdasarkan kajiannya yang bertajuk Penyertaan Wanita dalam Pendidikan:
Era Selepas Merdeka.
Beliau menjelaskan, daripada
kajian yang dilakukan jumlah pelajar perempuan sebenarnya jauh lebih rendah
beberapa tahun selepas merdeka.
Pada 1957-1960 jumlah pelajar
perempuan di sekolah rendah ialah 42.6 peratus berbanding pelajar lelaki
iaitu, 57.4 peratus.
Pada tahun 1996-1998 pula,
jumlah pelajar perempuan ialah 48.7 peratus dan pelajar lelaki pula ialah
51.3 peratus.
Di peringkat sekolah menengah
pula pada 1957-1960, pelajar lelaki ialah sebanyak 65.3 peratus manakala
pelajar perempuan ialah 34.7 peratus.
Namun bermula tahun 1991-1998
pelajar perempuan melebihi pelajar lelaki kira-kira satu peratus iaitu
50.7 peratus pelajar perempuan berbanding pelajar lelaki sebanyak 49.3
peratus.
``Ini berlaku kemungkinan
disebabkan oleh keputusan cemerlang pelajar perempuan pada peperiksaan
di peringkat menengah rendah seperti SRP,'' katanya.
Walaupun jumlah pelajar perempuan
di sekolah menengah dan IPT meningkat setiap tahun, namun daripada kajian
didapati pelajar perempuan tidak begitu meminati kursus-kursus sains dan
teknologi.
Malah menurut Dr. Aminah,
kemasukan mereka ke sekolah-sekolah teknik dan vokasional juga kurang.
Pada 1970 kemasukan mereka
hanya 16.3 peratus dan 4.3 peratus bagi kedua-dua sekolah berbanding pelajar
lelaki iaitu 83.7 peratus dan 95.7 peratus.
``Walaupun jumlah pelajar
perempuan di sekolah-sekolah berkenaan meningkat tetapi dari segi perbezaan
jantina ia tidak boleh mengatasi jumlah kemasukan pelajar lelaki,'' katanya.
Di sekolah vokasional menunjukkan,
pelajar perempuan lebih tertumpu pada kursus-kursus seperti ekonomi rumah
tangga dan perdagangan manakala pelajar lelaki di bahagian kejuruteraan
dan kursus kemahiran.
Di peringkat IPT pula kemasukan
pelajar perempuan dalam bidang sains termasuk sains asas dan gunaan seperti
Teknologi Makanan, Sains Rumah Tangga, Sains Komputer, Pertanian dan Perubatan
adalah menggalakkan iaitu 54.1 peratus pada 1989 dan 48.8 peratus pada
1993.
Bagaimanapun penyertaan pelajar
perempuan dalam bidang teknologi termasuk kejuruteraan, seni bina dan perancangan
bandar adalah rendah iaitu 16.4 peratus pada 1989 dan 18.8 peratus pada
1993.
Menurut beliau, pelajar perempuan
melebihi pelajar lelaki dalam bidang pendidikan dan sastera, iaitu 57.5
peratus pada 1989 dan 62.0 peratus pada 1993.
Bagaimanapun berdasarkan
kajian katanya, golongan wanita tidak berminat untuk memilih pekerjaan
yang dimonopoli oleh golongan lelaki walaupun ia mempunyai nilai yang tinggi
dalam pekerjaan itu.
(Utusan Malaysia 11/7/01) |