bil.48/2001

Pendidik
Cikgu.PJJ
Artikel
Forum
Jalinan
RakanWeb
Perihal
Kartun bantu pengajaran di bilik darjah

RANCANGAN kartun yang merupakan satu bentuk visual kegemaran kanak-kanak boleh digunakan secara berkesan untuk membantuk proses pengajaran guru di bilik darjah.

Keberkesanan penggunaan visual dalam menarik minat pelajar memfokus perhatian terhadap pengajaran terbukti apabila satu kajian penyelidikan media teknologi mendapati 83 peratus proses pembelajaran pelajar dilakukan melalui penglihatan.

Menurut pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Maizurah Omar, gambaran visual di televisyen yang memaparkan keadaan dunia sebenar boleh memberi pengalaman konkrit bagi memudahkan proses pembelajaran.

``Program televisyen terutamanya yang berbentuk pendidikan merupakan rangsangan kepada perubahan proses pengajaran berbanding kaedah pengajaran tradisi,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Penggunaan Rancangan TVP Dalam Pengajaran dan Pembelajaran.

Kertas kerja tersebut disampaikan pada Seminar Kebangsaan Penggunaan Bahan Sumber Pendidikan Dalam Pengajaran dan Pembelajaran yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut katanya, visual berperanan besar dalam pendidikan sebagai penerangan, alat pendorong dan pemberitahuan.

``Visual digunakan untuk menerangkan konsep, idea dan proses serta diguna untuk merangsang minat dan memberi maklumat,'' jelasnya.

Menurut Maizurah, terdapat banyak lagi fungsi visual seperti meningkatkan ketahanan ingatan, menimbulkan respons emosi, memperkayakan pembacaan dan sebagai bahan demonstrasi.

``Pendek kata, penggunaan visual dapat diaplikasikan untuk menyampaikan pelbagai maklumat dalam pendidikan.

``Program televisyen menyediakan visual-visual yang boleh digunakan oleh guru untuk mencapai fungsi-fungsi tersebut,'' tambahnya.

Maizurah berkata, para pendidik perlu mengambil langkah-langkah tertentu untuk memastikan visual yang digunakan mempunyai nilai pendidikan yang maksimum.

Guru-guru kata beliau, perlu memilih format dan jenis visual yang bersesuaian dengan sesuatu aktiviti.

``Ini kerana objektif sesuatu pelajaran akan mempengaruhi jenis dan tahap visual yang digunakan.

``Sebagai contoh, penggunaan visual untuk kelas lukisan tentunya berlainan daripada visual untuk menerangkan konsep yang abstrak,'' ujarnya.

Selain itu, kata Maizurah, guru juga mesti sedar tentang tahap realisme dalam sesuatu visual yang digunakan.

Tambahnya, guru perlu menggunakan strategi yang sesuai untuk mengatasi masalah ini jika tahap realisme tidak sepenuhnya bersesuaian.

Para pendidik juga, jelas Maizurah, mesti mempunyai kebolehan menghubung kait visual yang digunakan dengan teks dengan berkesan.

Di samping itu, ujar beliau, guru hendaklah memahami keadaan pelajar dan membenarkan persepsi yang berbeza-beza dalam menginterpretasi visual di kalangan mereka.

``Selain itu, guru harus sedar bahawa pelajar memerlukan masa untuk memahami visual yang digunakan,'' menurutnya.

Menurut Maizurah, televisyen adalah medium yang didominasi oleh visual dan boleh digunakan d bilik darjah melalui pelbagai cara.

Biar apapun model yang digunakan, ujarnya, ia tetap akan akan melalui tiga langkah asas iaitu aktiviti sebelum tayangan, semasa tayangan dan selepas tayangan.
 
 

PeNdiDik©2000-2001.Emel:pendidikmy@yahoo.com