Mengesan ciri-ciri
pelajar ponteng sekolah
Dipetik
dari Portal Tutor.com
PERANGKAAN terkini bilangan
pelajar yang terlibat dengan gejala ponteng sekolah ialah seramai 34,628
orang.
Meskipun angka tersebut dianggap
kecil berbanding lebih 4 juta bilangan pelajar keseluruhan, ia tidak boleh
dipandang sebelah mata dan dianggap remeh terutama oleh pihak yang terlibat
secara langsung dalam dunia pendidikan iaitu ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa
dan Guru (PIBG) dan masyarakat keseluruhan.
Langkah Kementerian Pendidikan
melancarkan Kempen Basmi Ponteng Sekolah adalah tepat pada waktunya dan
merupakan satu inisiatif terpuji.
Namun begitu, pihak kementerian
boleh merencanakan pelbagai program dan guru bertindak sebagai pelaksana,
namun segalanya itu akan menjadi sia-sia jika kerjasama daripada seluruh
anggota masyarakat tidak diperolehi. Guru boleh melaksanakan pelbagai program
yang bersifat merangsang pelajar untuk hadir ke sekolah, mengenakan denda
dan hukuman yang bersesuaian kepada pelajar yang ponteng.
Namun segalanya pasti tidak
akan terjawab tanpa kerjasama dan penglibatan seluruh anggota masyarakat
dalam usaha untuk membasmi gejala yang negatif itu.
Tanggungjawab ibu bapa sangat
jelas iaitu dengan cara memastikan anak-anak selamat dalam perjalanan ke
sekolah dan juga pada ketiga yang sama selamat sampai ke sekolah.
Ibu bapa perlu memastikan
walau dengan apa cara sekalipun, agar anaknya tidak melencong ke tempat
lain, seperti pusat hiburan dan kompleks membeli belah jika di bandar dan
rumah kosong atau tepi sungai bagi pelajar di luar bandar.
Ibu bapa perlu memerhatikan
gerak geri anak-anak mereka, kerap berhubung dengan pihak sekolah, sering
bertanyakan rakan anak-anak atau pemandu bas serta juga perlu selalu melihat
apa yang terkandung dalam beg sekolah anak-anak.
Apa yang terkandung di dalam
beg sekolah boleh memberi jawapan sama ada anak ke sekolah atau tidak pada
hari berkenaan. Bukti anak ke sekolah boleh dilihat menerusi buku latihan
atau nota yang tentunya mempunyai tarikh sementera dalil menunjukkan pelajar
melencong ke tempat lain ialah adanya 'seragam simpanan' dalam beg mereka.
Selain itu, pihak-pihak pengusaha
pusat hiburan juga perlulah lebih bertanggungjawab dan tidak menjadikan
notis melarang pelajar sekolah memasuki pusat hiburan sebagai hiasan dinding
semata-mata.
Orang ramai juga boleh melaporkan
kepada pihak polis jika ternampak pelajar sekolah berkeliaran di mana-mana
yang dicurigai ponteng sekolah.
Apa yang lebih menyedihkan
lagi, terdapat ibu bapa yang hanya membiarkan anak-anak mereka ponteng
sekolah di rumah sendiri tanpa bertanyakan sebab yang munasabah mengapa
anak mereka tidak ke sekolah.
Malahan ada pula pelajar
yang memburukkan guru disiplin yang terlalu garang, yang menyebabkan mereka
kurang berminat untuk ke sekolah atau memberikan alasan yang remeh seperti
pemeriksaan mengejut mingguan pada setiap Isnin, pelbagai macam jenis sakit
ataupun kasut kotor, sebagai helah pertanyaan ibu bapa mereka.
Sebagai kesimpulannya, dalam
apa jua perkara yang melibatkan dunia pendidikan, kerjasama dan muafakat
semua pihak penting bagi mengatasi setiap masalah yang timbul.
Jika tidak, segala kempen
dan apa jua bentuk akan menjadi sia-sia, andainya lebih ramai yang memilih
untuk menjadi penonton dan hanya bijak bercakap.
Kiriman:
SAHRUNIZAM ABDUL TALIB
No. 81 Kampung Bukit Imam
Sulung,
Mengkarak,
Bera, Pahang. |