Guru dari Amerika
kagum dedikasi guru Malaysia tapi berpendapat bilik darjah kita terlalu
sesak
KUALA LUMPUR, Selasa 14 Ogos
- Bilik darjah di Malaysia terlalu sesaak bagi pengajaran dan pembelajaran
efektif, demikian menurut pandangan sekumpulan 16 guru Amerika yang mengadakan
lawatan mengenali selama enam minggu ke beberapa negeri di Malaysia baru-baru
ini.
Agensi Berita Nasional (Bernama)
memetik guru sosiologi dan sejarah dunia di sebuah sekolah tinggi Amerika,
Christine Warner sebagai berkata, dengan 40 pelajar atau lebih di setiap
kelas, beliau berpendapat adalah sukar bagi guru di mana-mana pun untuk
memberikan tumpuan sepenuhnya.
"Di Los Angeles setiap bilik
darjah hanya memperuntukkan antara 20 dan 25 pelajar paling banyak," kata
Warner, yang berasal dari California, memberitahu Bernama dalam satu temubual
baru-baru ini.
Namun, Warner berkata, beliau
mengkagumi dedikasi para guru Malaysia yang diamanahkan untuk mengendalikan
bilik darjah yang mempunyai ramai pelajar.
Para guru Amerika itu juga
mendapati bahawa sekolah-sekolah yang mereka lawati di Melaka, Terengganu,
Kelantan dan Sarawak kekurangan kelas khas bagi kanak-kanak yang menghadapi
masalah pembelajaran.
Di Amerika Syarikat setiap
sekolah mempunyai kelas bagi kanak-kanak seumpama itu, menurut Warner.
Lawatan ke Malaysia bagi
guru berkenaan, terdiri 15 wanita dan seorang lelaki dari seluruh bahagian
Amerika Syarikat, dianjurkan oleh Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika
(MACEE), semasa cuti musim panas mereka.
Mary Jane Morris, seorang
guru pendidikan khas dari Utah, berkata beliau kagum dengan sistem pendidikan
Malaysia yang menekankan kepada penguasaan bahasa Inggeris di samping bahasa
ibunda.
Seorang guru sekolah Menengah
Diane Godfrey, dari Arizona, memuji peraturan Malaysia yang mensyaratkan
semua pelajar sekolah rendah dan menengah memakai pakaian seragam.
"Dengan ini tidak ada tekanan
kepada mereka untuk mengikuti perkembangan fesyen terbaru," katanya.
Guru kelahiran India, Bani
Paul, yang berhijrah ke Philadelphia dari Calcutta pada 1979, berkata beliau
merancang untuk memulakan program sahabat pena antara pelajar Amerika Syarikat
dan Malaysia sekembalinya ke tanah air.
Ini adalah baik untuk pelajar
Amerika bagi meluaskan lagi pengetahuan mereka yang ketinggalan mengenai
Malaysia pada masa sekarang serta budaya dan cara hidup Asia, katanya.
MACEE, ditubuhkan pada 1963,
berfungsi menggalakkan persefahaman bersama antara Malaysia dan Amerika
Syarikat menerusi pertukaran pelajar, pakar akademik dan profesional.
sumber:www.agendadaily.com |