Sudah tiba masanya perguruan
sebagai satu profesion
Oleh: NOORHAYATI SHOHAILI - Universiti
Putra Malaysia, Serdang
SEJARAH tidak pernah menipu manusia
dan sejarah telah membuktikan betapa golongan pendidik memainkan peranan
yang penting dalam menentukan jatuh bangunnya sesebuah bangsa dan negara.
Kelahiran guru-guru seperti Harun
Aminurrasyid Makmur, Ahmad Bakhtiar, A. Samad Ahmad dan Abdullah Sidek
dalam lembaran sejarah lepas yang lantang menentang penjajah di samping
meniup obor semangat masyarakat ketika itu merupakan suatu perjuangan yang
patut dibanggakan.
Masyarakat ketika itu menjadikan
guru sebagai idola dan pakar rujuk dalam segala hal.
Dalam era globalisasi kini, tugas
guru sebenarnya menjadi lebih rumit dan kompleks.
Kalau dulu guru terpaksa berhadapan
dengan pihak penjajah secara terang-terangan, kini, jajahannya diterjemahkan
dalam bentuk yang lain pula iaitu lebih mencabar lagi kerana ia melibatkan
jajahan pemikiran, budaya dan jati diri yang perlu dihadapi secara profesional
dan kreatif.
Hanya guru-guru yang komited dan
intelek sahaja yang mampu mendepani cabaran-cabaran dalam dunia alaf baru
ini.
Namun, kini, sejauh mana kita
mengiktiraf dan memartabatkan peranan guru berbanding dahulu?
Mengapa masih ada lagi yang menganggap
profesion perguruan sebagai kelas kedua?
Mengapa masih ada yang berani
mempertikaikan keupayaan dan kemampuan guru sebagai golongan pendidik?
Mengapa kerjaya guru dilihat sebagai
kerjaya yang tidak mempunyai masa depan dan peluang yang cerah?
Adakah peranan guru semakin hilang
taringnya kerana masyarakat telah mengalih pandangan kepada kerjaya yang
diiktiraf sebagai profesional oleh pihak kerajaan seperti doktor, peguam
dan arkitek?
Adakah status guru tidak setaraf
dengan kerjaya dan profesion lain yang dianggap lebih berprestij seperti
golongan korporat?
Sampai bila kita hendak membiarkan
guru berkonflik terhadap status guru yang lebih mirip kepada pekerjaan
(vocation) dan bukan profesion?
Pihak manakah yang bertanggungjawab
dalam memastikan profesion perguruan dimartabatkan di tempat yang sepatutnya?
Soalan demi soalan bertalu-talu
bermain di benak fikiran golongan pendidik.
Apa yang nyata, kini, sudah tiba
masanya untuk kita mengorak langkah bagi memastikan keprofesionalan guru
tidak mudah diganggu gugat atau dipertikaikan.
Kadang-kadang kita perlu menilai
dan mengambil kira pandangan-pandangan insan veteran dalam dunia perguruan
dan pendidikan.
Contohnya kenyataan daripada Abu
Bakar Shawkat Ali iaitu Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan
Semenanjung Malaysia (KPPK) yang menegaskan bahawa keadaan dan masa yang
berubah dengan begitu pantas menyebabkan kemudahan untuk guru kini perlu
setanding dengan profesion lain.
Begitu juga dengan harapan Tan
Sri Profesor Dato' Dr. Awang Had Salleh iaitu Presiden Persatuan Pendidikan
Malaysia semasa penulis bersoal jawab dengan beliau dalam Seminar Pengurusan
Personalia Pelajar 2000 di UPM pada 14 Disember 2000 iaitu beliau ingin
melihat kerjaya guru diiktiraf sebagai suatu profesion yang profesional.
Jadi, diharap selepas ini tiada
lagi rintihan hati daripada para guru sama ada tentang gaji yang tidak
setimpal dengan beban tugas yang semakin bertambah, kedudukan guru yang
sedang berkhidmat, jawatan dan peluang kenaikan pangkat mahupun persepsi
dan apresiasi masyarakat terhadap profesionalisme perguruan itu sendiri.
Pihak kerajaan perlu bersunguh-sungguh
dalam menjadikan profesion perguruan sebagai profesion yang unggul dan
disegani ramai.
Pihak-pihak yang terlibat dengan
kebajikan dan prospek perguruan pula seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan
Kebangsaan (NUTP) perlulah memainkan peranan yang aktif dalam membentuk
satu organisasi yang mantap dan kuat yang boleh menjaga kepentingan para
guru seterusnya mempunyai kuasa kawalan terhadap para guru itu sendiri.
Sebagai penutup, penulis ingat
akan kata-kata Dr. Muhamad Hasan Abdul Rahman iaitu Timbalan Dekan Pelajar
dan Pembangunan, Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia
semasa penulis berdialog dengan beliau baru-baru ini iaitu beliau menegaskan
dalam usaha untuk memartabatkan profesion perguruan selain daripada peranan
pihak Kementerian Pendidikan, Persatuan Perguruan dan masyarakat, para
guru sebenarnya mempunyai tangggungjawab yang besar dalam meningkatkan
aspek keprofesionalannya dengan melengkapkan diri dengan pelbagi jenis
ilmu dan kemahiran yang tinggi.
***petikan ini dipetik dari Portal
Pendidikan Utusan
Dihantar oleh maryani@yahoo.com
|