Cuepacs
tolak cadangan kontrak akujanji
MELAKA, - Kongres Kesatuan Sekerja
Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menolak cadangan penggubalan kontrak
akujanji untuk perkhidmatan profesion perguruan sekolah kerajaan dan kakitangan
kerajaan.
Setiausaha Agung Cuepacs,
Abdul Rahman Manan hari ini berkata, tidak ada sebab Kementerian Pendidikan
dan kerajaan perlu memperkenalkan satu kontrak baru kepada guru dan kakitangan
kerajaan.
"Cuepacs berpendapat bahawa peraturan
pegawai awam dan tatatertib 1993 telah memadai untuk menentukan bahawa
seseorang guru atau kakitangan kerajaan itu sentiasa menjalankan tugas
dengan baik mengikut peraturan yang telah ditetapkan kerajaan," katanya
kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung dwi tahunan kali ke-28,
Kesatuan pekerja-pekerja Kerajaan Negeri Melaka, di sini.
Abdul Rahman berkata, mana-mana
jabatan atau kementerian mendapati ada guru dan kakitangan kerajaan melanggar
peraturan dan tidak setia, mereka boleh diambil tindakan tatatertib mengikut
peraturan itu.
"Tidak perlu satu kontrak
lain yang khusus..." katanya.
Beliau berkata demikian
ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad
yang akan mengadakan perbincangan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Datuk Dr Rais Yatim berhubung penggubalan kontrak akujanji untuk perkhidmatan
guru sekolah kerajaan.
Sementara itu di KUALA LUMPUR,
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta Kementerian Pendidikan
berbincang dengan semua kesatuan guru sebelum meneruskan cadangan untuk
mensyaratkan guru-guru menandatangani perjanjian berkelakuan baik.
Presiden MTUC Senator Zainal
Rampak berkata, walaupun kerajaan berniat membaiki produktiviti, profesionalisme
dan taat setia guru menerusi perjanjian itu, tetapi ia tidak akan memberi
kesan positif jika mereka tidak dapat menerimanya.
"Jika tidak ada keredaan, jika
mereka melahirkan kurang senang, tidak puas hati, kenapa perlu (mengadakan)
akujanji ini...tidak akan mendatangkan satu kebaikan pun," katanya kepada
Agensi Berita Nasional (Bernama) di sini, hari ini.
"Saya berharap sebelum akujanji
ini dilaksanakan, Kementerian Pendidikan hendaklah mengadakan perbincangan
dengan seluruh kesatuan perguruan...bincang dari hati ke hati untuk mencari
jalan keluar yang terbaik...tidak semestinya akujanji ini sahaja sebagai
satu mekanisme untuk memperbaiki profesion perguruan," katanya mengulas
cadangan itu.
Cadangan itu, yang diumumkan
oleh Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Abdul Aziz Samsuddin baru-baru ini,
telah dibantah Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).
sumber:www.agendadaily.com |