Isu `evergreen' kesesakan
kelas
Oleh: KAMIS ABD. HALIM RUSTIM
- Sandakan, Sabah
DALAM buletin Guru Malaysia terbitan
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPKK) baru-baru ini didedahkan
isu kesesakan kelas yang masih wujud di seluruh negara kita.
Melalui pembicaraan isu ini dinyatakan
bahawa purata setiap kelas di sekolah menengah sepatutnya menampung 34.5
pelajar dan 34 murid setiap kelas di sekolah rendah.
Bagaimanapun, terdapat juga kelas-kelas
yang menampung lebih 35 murid setiap kelas. Berdasarkan bancian, keadaan
sebegini didapati meliputi 42.02 peratus di sekolah menengah dan 47.9 peratus
di sekolah rendah.
Kemudiannya, Kementerian Pendidikan
dalam ulasan dan maklum balas menyatakan bahawa fenomena itu adalah disebabkan
kebanyakan sekolah - khususnya di bandar - menghadapi masalah kekurangan
bilik darjah yang serius (Utusan Malaysia, 17 April 2001).
Dinyatakan terdapat bahawa kira-kira
9,952 kelas (21.82 peratus) daripada kira-kira 45,478 bilangan kelas di
sekolah rendah terpaksa menampung lebih 40 murid setiap kelas.
Di sekolah menengah pula kira-kira
3,371 kelas (10.99 peratus) daripada kira-kira 30,668 kelas di seluruh
negara, menghadapi masalah yang sama.
Kelas-kelas yang mempunyai bilangan
pelajar kurang daripada 25 orang hanya sekitar 6.65 peratus di sekolah
rendah dan 6.37 di sekolah menengah.
Menghadapi isu ini, mengingatkan
kita kepada kajian-kajian yang pernah dijalankan dan perakuan-perakuan
tertentu yang dilaksanakan dalam usaha menangani permasalahan berkaitan
isu ini.
Sebelum kemerdekaan misalnya,
Peraturan 30 dalam ``Schools (General) Regulations 1951,'' menetapkan bilangan
maksimum murid dalam sesebuah kelas ialah 40 orang.
Kemudiannya pada tahun 1971, Suruhanjaya
Aziz mencadangkan lebih kurang 40 pelajar atau murid dalam sesebuah kelas,
sama ada di sekolah menengah atau sekolah rendah.
Tahun 1980 pula, melalui Surat
Pekeliling Iktisas, ditetapkan hanya 30 pelajar atau murid sebagai bilangan
maksimum dalam sesebuah kelas.
Kemudiannya melalui pelaksanaan
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR)dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah
(KBSM), had maksimum berubah menjadi 36 orang dalam sesebuah kelas.
Keadaan-keadaan ini memperlihatkan
kepada kita betapa kesesakan kelas ini merupakan satu isu yang berterusan.
Isu ini sudah lama didedah dan
dibincangkan. Namun demikian apa yang berlaku, sehingga kini pun belum
ada jalan penyelesaiannya.
Justeru kita warga guru sebenarnya
tidak ada pilihan lain, selain perlu rasional dan fleksibel menghadapi
situasi ini.
Kita perlu menggembleng kudrat
kita menghadapi cabaran situasi ini, walaupun terpaksa mendepani tugas-tugas
berat yang lainnya, terutama kerja-kerja perkeranian yang menimbun.
Melalui pengalaman dan pemerhatian
penulis, 40 pelajar atau murid dalam sesebuah kelas sesungguhnya amat menyulitkan
kawalan kelas.
Hal ini juga boleh menjejaskan
proses pemerolehan pelajar.
Dalam keadaan ini, teori kawalan
kelas amat sukar dijelmakan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran
yang sebenar.
Kawalan kelas ini semakin terasa
sukar untuk dilaksanakan dengan wujudnya sikap agresif yang keterlaluan
di kalangan sebilangan pelajar mutakhir ini.
Mungkin juga kesesakan kelas turut
menyumbang kepada gejala pelanggaran disiplin di kalangan pelajar.
Suasana yang tidak kondusif akibat
kesesakan kelas pastinya boleh mendorong pelajar atau murid melakukan gejala
tidak sihat.
Justeru, isu kesesakan kelas ini
sesungguhnya memerlukan penyelesaian segera.
Sehingga itu, pihak guru tidak
ada pilihan lain selain mendepani situasi ini.
Sesungguhnya kesabaran, keprihatinan
yang tinggi, dan kerja berpasukan dalam sesebuah sekolah, difikirkan sebagai
langkah positif ke arah menyuburkan sikap fleksibel guru untuk menangani
masalah yang `evergreen' ini.
Dengan suburnya sikap fleksibel
itu nanti, pastinya akan lebih menyerlah kemuliaan profesion perguruan
ini.
Sumber:Portal Pendidikan
Tutor |