bil.55/2001

Pendidik
Cikgu.PJJ
Artikel
Forum
Jalinan
RakanWeb
Perihal
Penggunaan teknologi sebagai sumber pembelajaran

PENGGUNAAN teknologi untuk penambahan nilai kepada sesuatu bahan sumber memerlukan kemahiran dan pengetahuan yang mencukupi.

Bagaimanapun, faktor masa mungkin menjadi kekangan kepada penyelaras pusat sumber untuk menyediakan bahan-bahan ini selain daripada faktor peluang untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.

Menurut Fadzilah Ariffin dari Sektor Perkhidmatan Sumber Pendidikan, Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan, penggunaan sumber pembelajaran berkomputer boleh meningkatkan koleksi bahan sumber di pusat sumber.

``Tetapi sumber dari komputer selalu terdedah kepada kerosakan hard disk, cakera padat, disket atau diserang virus,'' katanya pada kertas kerjanya bertajuk Penggunaan Teknologi Dalam Penambahan Nilai Bahan Sumber.

Kertas kerja itu disampaikannya pada Seminar Kebangsaan Penggunaan Bahan Sumber Pendidikan Dalam Pengajaran dan Pembelajaran' yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, guru penyelaras pusat sumber perlu berbincang dengan guru-guru mata pelajaran supaya dapat mengenal pasti semua sumber dan bahan pembelajaran yang boleh digunakan kepada muridnya.

Di samping itu juga, ujar Fadzilah, guru juga perlu mahir menggunakan bahan-bahan yang dikenal pasti itu dengan optimum untuk mencapai kesan yang baik.

``Ianya merangkumi beberapa strategi yang boleh diamalkan untuk mencapai pengoptimuman penggunaan sember pembelajaran,'' tambahnya.

Fadzilah berkata, pertambahan sumber-sumber pembelajaran dalam pelbagai bentuk dan format menyebabkan pembelajaran berasaskan sumber (resource-based learning) menjadi lebih berkesan.

``Dalam satu kajian di Amerika Syarikat, didapati pusat sumber yang kaya dengan pelbagai bahan sumber pendidikan termasuk kemudahan maklumat dari sumber elektronik dapat mencapai meningkatkan pencapaian akademik pelajar,'' jelasnya.

Tambah beliau, negara kita perlu mencontohi langkah tersebut bagi meningkatkan prestasi akademik di kalangan pelajar.

Ini kerana kata Fadzilah, sekiranya guru mengajar hanya dengan menggunakan papan tulis dan kapur sahaja akan membosankan.

Beliau menambah, topik pengajaran boleh ditambah nilai lawak jenaka dan bahan bantu mengajar pelbagai media untuk menjadikannya lebih menarik dan berkesan.

``Penggunaan bahan pelbagai sumber akan memberi kesan kepada pancaindera murid, malah aktiviti `hand on' serta interaksi dengan alat teknologi canggih akan mengoptimumkan proses pembelajaran murid,'' katanya.

Penggunaan internet juga, ujar Fadzilah, boleh didedahkan bagi mendedahkan pelajar dengan maklumat terkini.

``Pada akhir pengajaran, murid boleh digalakkan membuat persembahan hasil pembelajaran melalui komputer dan disebarkan kepada rakan sebaya mereka,'' tambahnya.

PeNdiDik©2000-2001.Emel:pendidikmy@yahoo.com
Counter