Pelajar Melayu berfikir
secara bercapah
KAJIAN menunjukkan pelajar Melayu
berfikir secara bercapah (divergent thinkers) dan penyerap (assimilator)
yang lebih banyak menggunakan cara belajar pemerhatian dan renungan.
Sementara pelajar Cina pula mempunyai
fikiran tertumpu (converger) dan lebih banyak menggunakan strategi belajar
pengeksperimanan aktif dan pengalaman konkrit.
Kata Timbalan Naib Canselor (Hal
Ehwal Akademik) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Abdul
Samad Hadi, banyak yang telah dikaji mengenai punca kelemahan yang menyumbang
kepada pencapaian yang tidak memberangsangkan pelajar Melayu.
Beliau yang memetik kajian seorang
penyelidik, Amiruddin Mohd Yusof yang membuat kajian itu pada 1997, mendapati,
pelajar Melayu mempunyai falsafah jangan menyusahkan orang tua (autoriti).
``Dalam kes di universiti, `orang
tua' merujuk kepada pensyarah,'' katanya ketika membentangkan kertas kerja
semasa Kolokium Pemajuan Akademik Pelajar Melayu Di Institusi Pengajian
Tinggi di Genting Highlands, Pahang baru-baru ini.
Kertas kerja beliau bertajuk Senario
Semasa Pelajar Melayu Di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Menyentuh mengenai pencapaian
pelajar Melayu, Dr. Abdul Samad mengakui ia adalah isu duri dalam daging
hampir di setiap universiti.
Katanya, kelemahan yang sering
diperkatakan ialah sikap yang tidak mengutamakan kecemerlangan, sekadar
lulus cukup makan, malas berfikir, teknik pembelajaran lemah, kurang daya
inisiatif, kurang pengetahuan am dan isu-isu, serta mengamalkan budaya
``last-minute.''
Selain itu, katanya, pelajar Melayu
dilihat mudah jatuh cinta sejak di peringkat awal lagi.
``Mereka lebih suka bergaul dengan
kelompok sendiri, kelompok Melayu, dan di kalangan anak negeri sendiri,''
katanya.
Senario masa kini menunjukkan
wujudnya persaingan yang sengit di antara IPTA dengan institusi pengajian
tinggi swasta (IPTS) dalam mendapatkan calon atau pelajar.
Secara umumnya, kata beliau, kebanyakan
pelajar Melayu telah diterima masuk ke IPTA sementara pelajar bukan Melayu
memasuki IPTS.
Sejak tiga tahun yang lalu, kerajaan
menetapkan pengambilan prasiswazah mengikut nisbah sains dan bukan sains
ialah 60:40.
Bagaimanapun sehingga kini, nisbah
berkenaan belum dicapai sepenuhnya.
Didapati IPTA dan IPTS masih menghadapi
kekangan memandangkan kedua-dua IPTA dan IPTS itu masih bergantung kepada
penawaran yang terhad.
``Selain itu, terdapat juga pelajar
yang cemerlang di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah dihantar
ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran,'' ujarnya.
Mengikut statistik, pengambilan
pelajar perempuan mengatasi pelajar lelaki.
``Mungkinkah `trend' ini akan
berpanjangan?'' ujarnya.
Sebagai contoh, di UKM, kira-kira
63 peratus pelajar perempuan telah diterima masuk semasa pengambilan sesi
2001/2002 berbanding 37 peratus pelajar lelaki.
Namun kertas kerja beliau lebih
berfokus kepada senario semasa pelajar Melayu.
Beliau mengupas isu pelajar Melayu
itu kepada aspek politik (politik pelajar), kebudayaan, keagamaan, hubungan
antara etnik, gaya berfikir, pencapaian akademik, sosial, kecergasan atau
kesihatan, sosioekonomi (latar belakang keluarga), keupayaan bahasa Inggeris
dan kemampuan atau penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Menurut beliau, secara keseluruhannya,
ramai mahasiswa belum mempunyai ideologi yang mantap.
Golongan ini, kata beliau, mewakili
60 peratus pelajar di kampus.
Sebaliknya, wujud segelintir pelajar
yang mempunyai idealisme perjuangan dan terheret ke kancah politik, dan
golongan ini tidak melebihi 30 peratus, kata Dr. Abdul Samad.
``Selebihnya tidak memikirkan
apa-apa dan kebanyakannya adalah bukan bumiputera,'' katanya.
Dalam kelompok 60 peratus ini,
beliau berpendapat mereka boleh dikatakan berkecuali.
``Mereka ini memihak kepada parti-parti
dan calon-calon berdasarkan penilaian peribadi,'' ujarnya.
Faktor perkauman, persahabatan,
kenegerian dan kempen juga diambil kira di samping rekod kepimpinan kedua-dua
pihak.
Kata beliau, para pelajar juga
berkecenderungan untuk memihak berdasarkan kepada isu.
``Dalam isu tertentu, mereka seperti
menyokong pihak A, dan dalam isu yang lain pula, mereka seolah-olah menyokong
pihak B,'' katanya.
Menyentuh mengenai hubungan etnik,
beliau berkata, pandangan umum mengenai hubungan antara kaum di kampus
ialah kebanyakan mereka - atau 80 peratus - mengaku menyimpan perasaan
perkauman yang menebal.
Perasaan ini ditunjukkan dengan
adanya polarisasi kaum, perasaan curiga-mencurigai, pandangan pelajar yang
sempit dan persatuan-persatuan pelajar yang berteraskan etnik.
Mereka menyatakan perasaan kaum
ini berlaku kerana pengaruh masyarakat luar, pemimpin-pemimpin parti politik,
ibu bapa dan pemimpin-pemimpin persatuan pelajar.
kata Dr. Abdul Samad, walaupun
secara zahirnya hubungan pelajar-pelajar Melayu dengan bukan Melayu adalah
baik, tetapi mereka masih belum menerima untuk tinggal bersama dalam satu
bilik di kolej kediaman, belajar secara berkumpulan atau makan di kantin
secara bersama-sama.
Mereka juga masih belum menerima
persatuan yang dipelopori oleh pelajar bukan bumiputera dan sukan yang
dikuasai oleh bukan bumiputera.
Gaya berfikir pelajar Melayu dan
bukan Melayu juga berbeza, kata Dr. Abdul Samad.
``Jelas nampak perbezaan antara
pelajar bumiputera dan bukan bumiputera,'' ujarnya.
Antaranya, kata beliau ialah pelajar
Melayu tidak mempunyai matlamat hidup yang jelas sekiranya ibu bapa atau
orang lain tidak melakukannya untuk mereka.
``Kebanyakan pelajar Melayu tersedar
setelah terhantuk,'' ujarnya.
Ciri-ciri negatif lain, tambah
beliau ialah pelajar Melayu hanya meletakkan sasaran selepas mereka dicabar.
``Mereka lebih berminat makan
gaji daripada menjadi usahawan,'' katanya.
Tambah beliau, kebanyakan punca
kelemahan pelajar Melayu ialah tidak pandai untuk meletakkan keutamaan
dalam melakukan sesuatu gerak kerja dan aktiviti |