Apa khabar program Transisi
tahun satu ?
PROGRAM Transisi Prasekolah ke
tahun satu (Program Transisi) yang mula diperkenalkan pada tahun ini telah
membabitkan seramai 527,221 murid di seluruh negara yang baru memasuki
alam persekolahan formal.
Ketika mula-mula dilancarkan, ibu bapa dan guru-guru telah pun diberitahu
objektif program itu iaitu membantu murid-murid menyesuaikan diri dengan
persekitaran dan institusi baru yang lebih besar dan impersonal sifatnya
supaya tidak berasa bimbang atau terasing.
Selain itu, ia bertujuan membolehkan murid meneruskan pendidikan tanpa
merasakan perbezaan besar antara pendidikan yang diterima sebelumnya dengan
pendidikan di sekolah. Program Transisi itu juga bermatlamat menyedarkan
murid bahawa sekolah juga adalah tempat untuk bersosial dan bermain di
samping belajar perkara yang baru.
Berdasarkan taklimat yang diberi dan seterusnya pelaksanaan di sekolah-sekolah,
program peralihan itu perlu dijalankan dalam dua peringkat iaitu peringkat
orientasi dan peringkat transisi sebenar. Peringkat orientasi berjalan
dalam tempoh dua minggu pertama murid di sekolah manakala peringkat transisi
sebenar pula pada minggu ketiga hingga program itu berakhir iaitu yang
ditetapkan selama tiga bulan.
Pendeknya, hanya mulai minggu ketiga barulah kegiatan pengajaran dan pembelajaran
Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang sebenar bermula. Pada akhir
bulan ketiga, murid diharap berasa selesa dengan persekitaran sekolah,
mempunyai kawan, yakin dengan guru serta sedia bekerjasama dengan rakan
sedarjah.
Demikian antara skop dan harapan di sebalik Program Transisi yang begitu
rancak diperkatakan ketika mula ia diperkenalkan di alam persekolahan tahun
satu pada awal tahun ini. Tempoh tiga bulan itu sudahpun lama berakhir.
Sehingga kini kita tidakpun mendengar sebarang khabar berita berkaitan
program yang sama.
Barangkali juga, pihak pengurusan sekolah dan juga guru-guru tahun satu
yang menjadi penggerak utama program berkenaan tidak menghadapi sebarang
masalah sepanjang masa pelaksanaannya itu. Walaupun kebanyakan pihak sekolah
khususnya di pinggir-pinggir bandar ataupun di luar bandar terpaksa mencari
pelbagai sumber kewangan terutamanya melalui bantuan Persatuan Ibu Bapa
dan Guru (PIBG) semata-mata bagi tujuan melengkapkan bilik-bilik darjah
tahun satu (bagi mewujudkan suasana seperti di kelas-kelas tadika) namun
rungutan dan keluhan hanya kedengaran pada peringkat awal sahaja.
Begitu juga, walaupun pada peringkat awalnya bukan sedikit guru-guru tahun
satu yang bersungut dan mendakwa tempoh transisi selama tiga bulan itu
agak lama sehingga kebanyakan murid jelas kelihatan bosan dan lebih banyak
bermain namun tidak ramai yang berani mempertikaikannya secara terbuka.
Diakui Kementerian Pendidikan sendiri pernah memaklumkan tempoh selama
tiga bulan itu boleh dipendekkan berdasarkan kebijaksanaan guru namun tidak
ramai guru yang berani mengolah atau mengubah jeda masa transisi yang ditetapkan.
Tidak dapat dipastikan sejauh manakah keberkesanan mahupun kejayaan Program
Transisi yang dimaksudkan itu.
Jika kurang berjaya, dimanakah lompang mahupun kekurangan yang perlu diperlengkapkan
agar pelaksanaannya pada tahun hadapan lebih berkesan lagi? Oleh kerana
tidak didengar sebarang khabar berita berkaitan Program Transisi itu tadi,
bolehkan diandaikan segala-galanya beres dan berjaya lalu wajar diteruskan
pada tahun-tahun akan datang? Sudah pasti ada kajian dan laporan berkaitan
Program Transisi yang melibatkan belanja yang bukan sedikit ini.
Elok jugalah bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, kementerian berkaitan
menjelaskan kepada umum paling tidaknya bagi menjawab pertanyaan, ``Apa
khabar program transisi?''
Oleh :
Mokhtar Yusof
Lot 604, Lorong Tok Payung,
Jalan Sultan Mahmud,
20400 Kuala Terengganu,
Terengganu |