bil.59/2001
----------------------------
Guru Diingat
Jangan Timbulkan Suasana Perkauman
JASIN - Golongan pendidik diingatkan
supaya tidak menimbulkan prasangka buruk kepada pelajar dengan memainkan
isu perkauman ketika mengajar di sekolah.
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Abdul
Rafie Mahat berkata golongan guru sentiasa dinasihatkan supaya membimbing
pelajar dengan penuh kasih sayang dan tidak memilih-kasih dalam pengajaran
mereka di dalam kelas.
"Teras pendidikan ialah untuk mengenal
pasti potensi anak-anak supaya membesar dengan penuh rasa muhibah dan mesra
dengan semua kaum. Ini akan mengukuhkan nilai-nilai yang baik," katanya
selepas menutup Perkhemahan Integrasi Murid-murid Sekolah Rendah Peringkat
negeri di Pusat Ko-Kurikulum Lanchang dekat Merlimau, petang semalam.
Beliau berkata kerajaan sentiasa
mengalakkan pelajar bergaul sesama mereka bagi mewujudkan perpaduan kaum
di negara ini dan dengan itu konsep sekolah wawasan yang bertujuan untuk
memastikan semua kaum dapat bekerjasama, diperkenalkan.
"Konsep sekolah wawasan itu jelas,
mewujudkan kerjasama dan persefahaman antara kaum di negara ini. Dengan
cara itu, perpaduan akan lebih kukuh untuk memajukan negara," katanya.
Diminta mengulas mengenai kejadian
seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di Melaka dipukul oleh
pelajar seniornya, Abdul Rafie berkata kementerian telah menerima laporan
mengenai kejadian itu dan kini sedang menyiasat.
"Setelah siasatan selesai, baru kita
boleh ambil tindakan," katanya.
Pada kejadian 24 Sept itu, pelajar
tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Muzaffar Syah, Air Keroh, dipukul
sekumpulan pelajar tingkatan tiga di luar bilik asrama, kira-kira pukul
2 pagi.
Pelajar berkenaan dikatakan terdengar
kekecohan di luar bilik asrama berkenaan dan keluar untuk melihat keadaan
tetapi dipukul oleh sekumpulan pelajar terbabit. - BERNAMA |