bil.63/2001
----------------------------
 

Mutu Pendidikan Boleh Merosot Jika Guru Terlibat Dengan Kelas Tuisyen


RAMAI guru-guru di bandar terlibat dengan kelas tuisyen di luar sekolah ini. Usaha murni ini amatlah baik demi mencapai wawasan pendidikan negara, lebih-lebih lagi pada zaman serba mencabar ini.

Tumbuhnya kelas-kelas malam atau kelas tambahan terutamanya di bandar-bandar besar amat memberangsangkan. Ia bertujuan memberi kemudahan kepada golongan pelajar untuk mengukuhkan lagi kefahaman di dalam pelajaran mereka di sekolah.

Perbezaan yang nyata hasil perkembangan semasa ini amatlah ketara jika dibandingkan dengan suasana pemelajaran pada zaman dahulu. Kelas-kelas tuisyen amatlah sukar ditemui pada zaman dahulu.

Jika ada, hanyalah satu atau dua buah sahaja. Itu pun hanyalah berpusat di bandar-bandar besar sahaja. Bagi yang tinggal jauh daripada bandar, mereka boleh mendapatkan kemudahan ini di Sekolah masing-masing - anjuran pihak Sekolah, terutamanya kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan penting pada tahun tersebut.

Perbezaan yang nyata di sini ialah guru-guru pada masa dahulu sanggup mencurahkan ilmunya tanpa mengenal penat-lelah secara percuma atas kesedaran guru itu sendiri manakala pada masa sekarang sejumlah wang perlu dibayar untuk mendapatkannya.

Kebanyakan kelas-kelas tusyen yang terdapat pada masa ini adalah dikendalikan oleh pihak swasta atau persendirian dan tenaga pengajarnya pula adalah terdiri daripada guru-guru sekolah kerajaan yang memberi perkhidmatan secara sambilan pada sebelah petang, malam atau hari cuti sekolah.

Pendapatan atau tawaran yang lumayan daripada instituasi ini amat menarik dan ini menggalakan guru-guru sekolah kerajaan untuk menerimannya.
Dengan berkecimpung kepada kerja-kerja sebegini seseorang guru kerajaan yang terlibat akan memperuntukan masa yang lebih ke arahnya. Ini sudah tentu boleh mengurangkan tumpuan yang wajar terhadap tugas rasmi mereka sendiri di sekolah.

Kebimbangan ibu-bapa terhadap mutu pelajaran yang diberikan di sekolah oleh guru-guru yang terlibat dengan kelas tuisyen diluar amatlah membimbangkan kerana dikuatiri mutu pendidikan secara formal di sekolah mungkin jauh lebih rendah daripada yang sebenarnya. Gejala ini timbul mungkin sebagai satu cara untuk menggalakan pelajar sekolah supaya mengikuti kelas tuisyen di luar atas anjurannya.

Tidak kurang juga terdapat guru-guru sekolah kerajaan yang mempunyai atau menubuhkan pusat tuisyennya sendiri secara tertutup. Pihak kementerian haruslah memandang serius perkara ini dan pemantauan haruslah dijalankan dari masa kesemasa. Kelas-kelas tuisyen atau kelas tambahan di luar seharusnya dikendalikan sepenuhnya oleh pihak swasta dan tidak melibatkan guru-guru yang secara khususnya merupakan kakitangan kerajaan.

Jika kelas-kelas sebegini tidak diceburi oleh guru-guru kerajaan ia boleh dijadikan satu medan persaingan diantara guru-guru kerajaan dan guru swasta itu sendiri. Persaingan sebegini adalah amat baik di dalam memperbaiki lagi mutu pendidikan negara.

Kerajaan telah membelanjakan berjuta ringgit setiap tahun semata-mata untuk meningkatkan mutu lagi pendidikan negara selaras dengan keperluan semasa. Jika gejala ini masih lagi berlaku maka sudah pasti ia akan merugikan negara.

Kiriman: Sbbnor Johor

***petikan ini dipetik dari Portal Pendidikan Utusan
Dihantar oleh maryani, SKSB Perlis.
PeNdiDik©2000-2001.Emel:pendidikmy@yahoo.com